Kasih Abah

Baru sebentar tadi saya berkesempatan berbual dengan seorang bapa yang memerlukan saksi untuk mengisi borang bantuan kewangan anak sulungnya. Besar sungguh harapan seorang bapa kepada 9 orang anak yang bekerja sebagai seorang pemandu untuk melihat anak-anaknya berjaya di dalam hidup mereka.

Menurut bapa, anak ini adalah anak pertamanya dan merupakan pengalaman pertamanya dalam urusan menghantar anak belajar di IPT. Wajah bangga seorang bapa di atas kejayaan anaknya memang tidak dapat disembunyikan walaupun terpaksa bersusah-payah menyediakan kelengkapan dan keperluan anak. Tidak sekalipun terkeluar keluh dan kesah yang kemungkinan anaknya akan sukar memperolehi pekerjaan selepas tamat belajar nanti. Hal ini saya sedari kerana terdapat ibu bapa yang berbelah bahagi untuk menghantar anak mereka belajar di peringkat tinggi kerana berpendapat ia hanya sia-sia memandangkan keadaan ekonomi masa kini.

Tiba-tiba saya teringat dengan luahan kata yang emak saya selalu ungkapkan semasa kami adik-beradik masih belajar. Dia tidak pernah memikirkan sama ada kami akan berjaya menjawat sebarang pekerjaan selepas tamat belajar nanti tetapi kepuasannya adalah apabila menyaksikan kami berjaya menamatkan pengajian di peringkat yang paling tinggi yang kami mampu capai. Emak yakin dengan ilmu yang ada itu nanti kami pasti akan mampu menempuh sebarang cabaran yang mendatang walau dalam apa bentuk sekalipun.

Melihat kesungguhan bapa tadi saya seperti melihat abah saya sendiri yang sanggup bersusah payah turun naik pejabat yang menawarkan bantuan kewangan kerana hanya dengan bantuan kewangan sahaja kami boleh meneruskan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Walau pun abah hanya seorang pekerja rendah awam tetapi semua dokumen yang diperlukan untuk memudahkan urusan pembelajaran kami tidak pernah diabaikan. Sekarang baru saya sedar bahawa banyak urusan dokumentasi yang diperlukan untuk kami belajar dan semuanya mampu diuruskan abah dengan teratur.

Pernah satu ketika abah terlibat dengan kemalangan jalan raya sewaktu menguruskan borang kemasukan saya dan rakan baik ke pusat Matrikulasi UIA. Bukan kemalangan kecil. Motosikal yang abah tunggang dilanggar bas yang lambat membrek semasa berhenti di lampu merah. Abah tergolek di bawah bas dan ternyata Allah melindungi abah. Abah hanya cedera ringan yang memerlukan abah dirawat di hospital. Saya masih teringat, pemergian ke Matrikulasi UIA itulah satu-satunya pemergian saya ke semenanjung yang tidak dihantar oleh Abah.

Abah...
tidak banyak bicara
tapi kasihnya melimpah
tanpa suara....

Comments

  1. pengorbanan yang amat besar buat anak-anak dan keluarga ...dalam diam dia bersuara dengan usaha keras nya agar anak-anak serba cukup dalam segala..

    p/s: terharu membaca entry nie..huhu

    ReplyDelete
  2. entri yang tercetus tanpa dirancang... Unsung Hero.. :)

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Sajak Dr Lim Swee Tin

Al- Wida