Tuesday, November 29, 2011

0 comment

Sunday, November 27, 2011

Hijrah

0 comment

Pada perjalanan di malam itu
telah terlakar setia seorang sahabat
meredah malam yang kejam
dikepung resah dan dendam
yang sekian lama dipendam

pada perjalanan di malam itu
telah terserlah gagah seorang puteri
tembok gentar roboh runtuh
menyembah pasir kontang
dan angin dingin tunduk tersipu

pada perjalanan di malam itu
tabir sejarah tersingkap megah
fajar hijrah menyingsing di ufuk timur
dan kota cahaya  menyinar
ke segenap arah.

1 Muharram 1433Hijrah

Friday, November 25, 2011

Nostalgia semalam

0 comment
Semalam aku kembali
menjenguk daerah kenangan
renung lesu danau kontang
mengucap salam rindu
pada pelangi impian

sekilas pandang menerpa
anak ikan yang pemalu
bersembunyi di balik daun hijau
teratai yang mesra

dan daunan kering berserakan
di perdu pohon
berterbangan bersama angin petang.

latih tubi

Monday, November 21, 2011

Kembara Iman

0 comment
Saat nadi mengalir syukur
doa bening di jemari subuh

dan benak berbisik
bertanya pada pengembara
yang tersungkur meratap
di hampar takwa

kenapa baru kini
erti dosa dan pahala
merangkai di catatan diri

kian lama di sini
kian gelisah menganyam harap
kian terungkai misteri alam
bergulat resah di anjung mimpi

dan perjalanan iman
belum ada noktah
untuk kita berhenti mencari.



Sekadar latih tubi setelah sekian lama berdiam diri

Friday, November 11, 2011

Mawar putih di pusara

0 comment


Mawar putih di pusara bonda
telah lama layu dan kering

namun harumnya tetap semerbak
di kamar hati kami.

Nota: Saya terjumpa blog ini dan hati saya disapa sayu. Peringatan buat diri yang sering lupa.

Wednesday, November 9, 2011

Satu lagi...

0 comment
Link Sudoku yang baru saya jumpa.

Tuesday, November 8, 2011

Tika Azan Bergema

0 comment

Tika azan bergema
daunan kering kembali hijau
melayang ke dahan iman

tika azan bergema
beburung hitam pulang ke sarang
menghampar sejadah takwa

tika azan bergema
mari kita kembali
menjadi hamba yang merdeka

latih tubi 12 Dzulhijjah 1432 H

Friday, November 4, 2011

Kita harus mula belajar

0 comment

Kita harus mula belajar
untuk lebih banyak mendengar
kerana sepasang telinga
bukan sekadar hiasan 
pelengkap wajah yang comel

Kita harus mula belajar 
untuk sedikit berkata
kerana sebentuk bibir yang mungil
bukan untuk membuat dosa
menyakitkan hati manusia

Kita harus mula belajar
untuk lebih menghargai
perasaan seorang insan
kerana Cinta Illahi 
hanya untuk mereka 
yang dicintai manusia.

Latih tubi 8 Dzulhijjah 1432H

Thursday, November 3, 2011

Kasih Ibu

0 comment

Sungai yang mengalir
adalah kasih ibu

tenang 
dingin
damai

selamanya.

Latih tubi 7 Dzulhijjah 1432 H

Wednesday, November 2, 2011

Selamat Berangkat (Buat ALmarhum Nenda)

0 comment

Saat embun mengucapkan salam
kau tersenyum menggenggam harap
tangan lembut yang sekian lama dihulur
kau sambut dengan hati yang luhur

fajar Dzulhijjah yang menyingsing
adalah saksi setia
kau berangkat pergi
memenuhi janji
yang telah lama dipateri

selamat bermusafir nenda
tanggungjawabmu telah selesai di sini
pergilah dengan hati yang tenang
kami akan menyusul
bila tiba masanya nanti.

AlFatihah untuk nenda tersayang yang telah mengadap Illahi pada 7. 15 pagi 4 Dzulhijjah 1432 H.