Friday, August 30, 2013

Bicara yang belum selesai

0 comment


(Dikemaskini pada 10.09.2013)

Ada bicara yang masih belum selesai
pada diari usia
yang telah perang warnanya

ada lakaran kenangan di sana
masih mekar mewangi
sekali sekala semerbak harumnya
merentas laman maya

saat garis masa mengatur langkah
melambai pergi tak akan kembali
biarkan bicara itu membisu
senyumnya masih mesra seperti dahulu.




(Asal)

Ada bicara yang masih belum selesai
Pada diari usia
Yang telah perang warnanya

Ada lakaran kenangan di sana
Masih mekar mewangi
Sekali sekala semerbak harumnya
Merentas maya

Saat garis masa mengatur langkah
Melambai pergi tak akan kembali
Biarkan bicara itu membisu
Senyumnya masih mesra seperti dahulu....

Monday, August 19, 2013

Setitis air di lautan maya

0 comment
Assalamualaikum,

Hari ini Syawal 12, 1434 H. Hari pertama bekerja selepas bercuti bermula 16 Ramadhan yang lepas.

Dengan kekerapan menjenguk blog yang berkurang akhir- akhir ini, beberapa blog yang saya ikuti telah hilang dari dunia maya.

Seperti kehidupan di dunia nyata, perjalanan kehidupan di dunia maya juga tidak jauh berbeza. Dari semasa ke semasa, kita mengenali insan maya yang baru, dan pada masa yang sama ada insan maya yang lenyap dari dunia maya.

Seperti juga perasaan sedih andai kehilangan rakan di dunia nyata, tak dapat dinafi terasa juga kehilangan dan terkilan bila terbaca yang rakan blogger buat entri terakhir. Bila klik untuk baca entri tu, blognya dah tak wujud.

Tapi, seperti juga di dunia nyata, kehidupan perlu diteruskan dan setiap insan tak kira di dunia nyata atau maya, perlu dihormati keputusan yang mereka pilih.

Bagi saya pula secara peribadi, In sya Allah setakat ini saya lebih suka mengekalkan blog yang sedia ada walau mungkin keupayaan untuk mengemaskini blog adalah tidak dapat dijangka. Seperti tajuk blog saya, "Di kanvas ini saya kongsi pelbagai lakaran kehidupan yang mewarnai hari-hari saya"  di sini merupakan koleksi catatan kehidupan yang mampu dikongsi secara tersurat. Malahan ketiadaan catatan juga merupakan catatan kehidupan walaupun hanya tersirat.... 

Sebab itu, sekiranya ada di kalangan rakan maya blogger yang kurang atau tidak lagi aktif tetapi masih mengekalkan blog mereka, saya amat menghargai tindakan itu, kerana sama ada mereka sedari atau tidak, ada seorang insan di antara jutaan insan maya yang menghargai kehadiran mereka walau hanya sekadar menatap entri terakhir mereka yang mencatatkan tarikh yang telah lama berlalu.

Sekian.

Sehingga berjumpa di entri lain, in sya Allah...

 Salam persaudaraan dari saya,

Ummu Fatihah