Posts

Showing posts from January, 2021

Sejingkat Di Hati

Image
kampung saya terletak di pinggir Sungai Sarawak. Selang beberapa kampung akan bersua dengan muara sungai yang menghadap ke Laut China Selatan. Kerana itu, semasa saya masih menetap di kampung, banyak kapal besar berlabuh di sekitaran kampung.  walaupun suatu masa dulu dalam perjalanan melalui sungai sarawak dari kuching ke muara sungai, kampung saya paling awal dilalui, ia tidak dikenali pada waktu itu. oleh itu, sewaktu saya mula- mula berpindah ke bandar kuching, rakan- rakan sekelas dan guru saya akan bertanya di manakah letaknya kampung saya setiap kali saya memperkenalkan diri dan kampung asal saya. dan, bila saya mendapat tempat pertama di kelas, cikgu akan memberi contoh supaya mengikut jejak langkah saya yang datang dari kampung yang tidak dikenali tapi tetap cemerlang dalam pelajaran. ☺️☺️ namun, kini saya berbangga kerana kampung yang suatu masa dulu langsung tidak dikenali telah diambil namanya untuk menamakan salah satu kawasan perindustrian yang terkenal di Sarawak.

pesan buat anakanda (fatihah)

membuat pilihan memang sukar. kerana,  tiada kepastian  apa yang ada di hujung, mampukah bahu memikul  kesan dan akibat, baikkah atau buruk?  mudahkah atau sukar? luruskah atau bengkok?  namun, tiada dibebankan apa yang tidak mampu ditanggung, baik atau buruk mudah atau sukar lurus atau bengkok; hadapi dengan semangat yang waja iman dan takwa takut dan harap syukur dan sabar pasti jaya itu milikmu di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung ular menyusur akar takkan hilang bisanya. -ummufatihah/ petra jaya- 28 januari 2021

hidup ini hanya persinggahan

dari kecil kami kerap berpindah- randah. kata Mak ia adalah kerana mencari kehidupan yang lebih selesa. pertama kali berpindah ke bandar kuching tapi rumah kami jauh dari bandar. kenangan saya hanya sayup- sayup. Mak melahirkan adik saya yang kedua bongsu semasa kami tinggal di situ. bermakna saya berumur sekitar 3 tahun.  selepas itu kami kembali ke kampung.  kata Mak rumah kami terlalu jauh dari kawasan utama dan terletak terlalu berhampiran kawasan hutan. Abah pula bekerja shif malam dan kami adik beradik masih kecil. kalau saya berumur 3 tahun, abang saya hanya berumur 4 tahun dan adik di bawah saya pula berumur setahun serta seorang adik saya yang baru berumur beberapa bulan. kami berpindah semula ke bandar kuching semasa saya berumur 6 tahun. Abang saya sudah mula bersekolah di kampung, ditinggalkan sementara bersama kakak Mak.   kali ini, kami tinggal di kampung setinggan. namun kami tinggal lama di sini walau bekalan api dan air yang terhad. Mak berjaya memulakan kedai runcit. 

Kita hanya merancang

Image
  tahun hadapan saya akan menjejaki usia separuh abad. walaupun tidak menjanjikan untuk saya mengetahui separuh dari rahsia kehidupan, namun telah saya lalui pelbagai perkara yang kini terserlah kesan dan akibat dari pilihan yang diambil suatu ketika dulu.  walau mungkin akan ada kesan dan akibat baru akan muncul selagi saya belum sampai ke penghujung perjalanan kehidupan ini. beberapa tahun yang lepas saya bersua kembali dengan rakan sekelas buat kali pertama selepas tamat sekolah menengah, lebih 20 tahun sebelum itu. salah satu pertanyaannya, “macamana awak boleh jadi akauntan?”. kenapa soalan itu yang muncul? kerana semasa di sekolah menengah, kelas kami adalah dari sastera tulen dan tiada sabjek perniagaan, simpan kira atau sewaktu dengannya.  atas sebab saya dari aliran sastera tulen, sukar saya untuk memilih bidang pengajian selain dari pengajian islam di UM atau kalau di UIA, bidang undang- undang atau sains sosial. dan tanpa panduan kerjaya seperti zaman sekarang, saya berangga

bukan sekadar nama

Image
 apa ada pada nama? bagi saya, nama merupakan hadiah pertama dari ibu bapa kepada anak mereka. dan ia adalah hadiah yang paling penting dalam kehidupan anak tersebut di dunia dan akhirat.  nama yang indah dan bermakna akan menceriakan setiap kali ia disebut.  itu yang saya rasa setiap kali saya memperkenalkan diri atau nama saya disebut. dan setiap kali itu juga saya bersyukur kerana ibu bapa saya menghadiahkan saya dengan nama AZIAH.  mungkin tiada makna yang jelas, tetapi bagi saya amat indah didengar telinga (saya). dan unik kerana ia bukan nama yang biasa diberi kepada anak- anak generasi saya.  lantas,  sebaik sahaja saya bertemu jodoh, saya telah sediakan awal nama anak anak sulung saya, walaupun rezeki saya hanya menerima kedatangannya selepas dua tahun lebih menanti.  begitu juga dengan anak- anak yang seterusnya. saya tidak pernah menyangka akan ada anak kedua dan ketiga namun sebaik sahaja mendapat anak pertama, saya telah sediakan nama untuk anak kedua dan begitulah juga unt

Misi Terlaksana

Image
Selepas sebelum selepas sebelum Sasaran:  Sepanjang 5 hari bercuti kali ini, saya sasarkan untuk mengemas sudut koleksi buku kami. Cabaran:   ruang terhad sedangkan jumlah buku amat banyak.  penyelesaian:  menggunakan sebaik- baiknya ruang yang ada namun tetap memastikan semua tajuk buku dapat dilihat. yang penting, semua buku yang dikeluarkan dari rak, dapat dimasukkan kembali. Misi Terlaksana. Akan Datang: menyusun mengikut tema pilihan.  

andai suatu masa nanti

Image
  ada ketika saya merasakan kepala saya penuh dengan kata- kata dan cerita, berbual dan berdebat sesama sendiri.  ada ketika pula, ia sunyi sepi, enggan bersuara walau didesak. dan hal yang sedemikianlah  yang berlaku pada saat ini.  saya tidak pasti sejak bila saya mula menulis. ia muncul tanpa saya sedari. namun, sedar tak sedar usia blog saya sudah mencecah lebih dari 12 tahun. sudah boleh mendaftar masuk ke sekolah menengah. sepanjang 9 tahun saya aktif menulis, saya rasa seperti tiada apa yang menarik di sini.  namun, saya cuba untuk mencatat apa sahaja yang saya dapat fikirkan kerana bila difikirkan semula, saya menulis bukan kerana memang saya mahir tetapi sebaliknya blog inilah satu- satunya wadah untuk saya belajar menulis tanpa rasa segan.  walaupun kemungkinan ada yang datang secara tak sengaja ke blog ini dan terbaca tulisan saya, namun secara biasanya saya menganggap blog ini buku latihan untuk subjek Penulisan saya tanpa sebarang audien. kalau di FB atau IG, setiap entri

bukan hanya kebetulan

Image
  sepanjang perjalanan kehidupan, pasti kita berjumpa pelbagai watak  yang mempengaruhi jalan cerita  lantas memberi bentuk kepada apa yang kita ada pada hari ini.  ia bukan hanya watak positif sahaja. malahan,  watak negatif juga memberi kesan  bergantung kepada bagaimana kita bertindakbalas. oleh itu, hargailah setiap pengalaman dan jadikan ia titik penting  untuk bergerak ke depan dalam perjalanan menuju destinasi abadi. kerana  setiap yang berlaku bukan hanya satu kebetulan. -ummufatihah/ petra jaya- 21 januari 2021

Dare to Dream

Image
penuh dengan contengan untuk membantu kefahaman buku teks untuk subjek Reading Aras 1 bagai baru semalam saya mula belajar bahasa inggeris secara serius semasa masuk ke Pusat Matrikulasi UIA, Kampus Lembah Pantai pada Julai 1990.  kerana tiada asas Bahasa Inggeris yang bagus, saya ditempatkan di aras paling bawah iaitu Aras 1. ini bermakna selama setahun penuh saya akan belajar kursus Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab sahaja kerana kursus teras hanya akan diajar apabila kami berjaya masuk Kursus Bahasa Inggeris Aras 3. selama setahun kami bukan makan bola tidur bola, tetapi makan bahasa inggeris, tidur bahasa inggeris malahan bernafas pun bahasa inggeris.  kami betul- betul bermula dari sifar.  sehinggakan guru kelas Grammar saya, Ms Diane dari UK memperuntukkan satu slot khas untuk mengajar kami cara menggunakan Dictionary Oxford for Students. dan kami diwajibkan untuk membawa Kamus tersebut ke kelas setiap hari.  Cara pembelajaran kami terutama untuk kelas Grammar memang seperti kelas

nikmat yang tak ternilai

Image
saat kita dibanjiri kesenangan, kerap kita lupa menghargai nikmat yang ada. selepas berpindah dari kampung semasa saya berusia 6 tahun, kami menetap di  kampung “setinggan” yang terletak di kawasan Petra Jaya, berdekatan dengan sungai Sarawak . Ia merupakan sempadan yang memisahkan bandar Kuching dan Petra Jaya.  Walaupun berdekatan bandar, kampung kami tidak mempunyai bekalan elektrik dan air paip.  sehingga kami berpindah ke kawasan penempatan teratur 10 tahun kemudian, kami hanya menikmati bekalan elektrik terhad dari janakuasa yang dimiliki oleh penduduk di situ dari tempoh 6 petang hingga 10 malam. selebihnya kami  sekiranya perlu, kami menggunakan tenaga bateri kereta ( tak tau nama saintifiknya) untuk menyalakan lampu.  manakala, bekalan air paip hanya disediakan di tepi jalan dalam bilangan yang terhad. bekalan utama air untuk kegunaan mandi dan kebersihan lain adalah simpanan air hujan dan air perigi. semalam, saya mengeluh kerana letih mengemas dapur dan mencuci pinggan.  tib

Tahniah Klinik Kesihatan Petra Jaya (KKPJ)

Image
hari ini saya menjalani ujian saringan covid kerana ada rakan sepejabat yang positif. ini kali kedua saya menjalani ujian saringan selepas kali pertama pada awal bulan November tahun lepas. waktu itu, bangunan pejabat kami memiliki kluster sendiri dan semua penghuni diarahkan menjalani saringan. pernah menjalani saringan covid tidaklah menjadikan pengalaman itu kurang mendebarkan.  kedua- dua rongga hidung dan tekak dikorek untuk mendapatkan sampel. mungkin tempohnya tidak sampai 60 saat untuk setiap prosedur, namun dirasakan seperti perjalanan yang tak berpenghujung.  lantas, sikap ceria dan santai pegawai kesihatan yang menjalankan tugas mereka walaupun pastinya keletihan, sedikit sebanyak berjaya menenangkan debaran kami yang menunggu giliran untuk dikorek. terima kasih dan tahniah Pusat Saringan Covid Klinik Kesihatan Petra Jaya (KKPJ) kerana perkhidmatan cemerlang kalian. saya bagi  🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟

when going gets tough

Image
“ keep your feet planted firm” -yasmin mogahed- no matter what will happen. seperti motto sekolah lama saya  -Fastaqim kama Umirta- “berpegang teguhlah seperti yang Kami perintahkan kamu” Saya genggam kukuh dan erat terutama apabila berasa hampir putus asa dan ingin undur ke  belakang, ingin mengalah kepada ujian kehidupan. tapi amat tepat kata- kata di atas, andai lari, ingin lari ke mana? adakah jaminan bahawa di sana tidak akan ada ujian lain menunggu? atau lebih menggerunkan, mungkin ujiannya lebih tragis dari yang sedang dilalui. 💀💀💀 jadi, wahai diri, bertabahlah. sesungguhnya tibanya kesukaran itu adalah bersama kesenangan.

keseimbangan kehidupan

Image
seimbang dalam erti kata sebenar  adalah meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya. lantas,  lembaran imbang duga yang sepertinya “seimbang” kedua- dua belah debit dan kredit  belumlah seimbang dalam erti kata sebenar kerana  masih ada kemungkinan  transaksi tersebut, walau direkod di lajur yang betul; tetapi, diletakkan di bawah tajuk yang salah. 🤨🤨🤨 contoh: perbelanjaan Gaji  direkodkan sebagai perbelanjaan Caj Elektrik 🧨🧨🧨💣💣🌪🌪 Betul direkod di bawah perbelanjaan, tetapi salah kategori. hasilnya: akan seperti seimbang tapi hakikatnya tidak menggambarkan keadaan yang sebenar. dan senario ini lebih mencabar  kerana sukar dikesan kewujudannya melalu Ujian Pengesanan Lembaran Imbang Duga seperti biasa kerana  ia tersembunyi di sebalik keseimbangan yang “pura- pura”. dan ia akan “bersembunyi” di situ sehingga suatu waktu  akan ada Akauntan Terlampau Cerewet membelek laporan satu persatu dan mengesan kejanggalan itu. ya, ia senario paling mudah, walau realiti itu jauh lebih pa

Imbang Duga

Image
  akauntan dan imbangan berpisah tiada. setiap transaksi, akan ada dua entri; debit dan kredit. dan tujuan akhir adalah lembaran imbang duga ( trial balance) yang mengandungi dua lajur yang wajib seimbang; debit di kanan dan kredit di kiri; kedua- dua belah mesti berjumlah sama. berjumlah seimbang kedua- dua belah, tidak semesti ia jawapan yang betul,  namun, apabila tiada keseimbangan, pastinya terdapat kesilapan di mana- mana transaksi. dan ia adalah mimpi ngeri.  ketidakseimbangan walau berjumlah satu sen, wajib dicari. sebab hakikatnya ia tidak seimbang. jadi, bermula dari Hari 1, akauntan adalah insan yang cuba dihindari kerana kecerewetannya. Namun,  cerewetnya bukan suka- suka,  tetapi kerana sedar bahawa kecuaian yang kecil akan mengakibatkan ketidakseimbangan di pengakhiran, yang memaksa untuk menyemak semula transaksi satu- persatu dari Hari 1 demi untuk mengesan di manakah letaknya kesilapan tersebut.  Selamat Hari Akauntan Sedunia. (Diisytiharkan oleh Akauntan Melampau)

ujian kehidupan

Image
Saat ini adalah ujian. kita telah berusaha sehabis baik.  namun, ada ruang yang tidak mampu dicapai. maka, tawakkal dan berserah adalah senjata simpanan  supaya kita berada di kalangan yang redha dan bersyukur serta berhenti sejenak untuk bermuhasabah  dan menginsafi, refleksi diri moga setiap kejadian  dan keputusan adalah kebaikan bagi mereka  yang mengambil pengajaran. ummufatihah/ petra jaya 11.43 pm 15 Januari 2021 wfh and self quarantine  day 1

rindu tak berpenghujung

kerinduan  tiada penghujung saat genggam tangan telah terlerai ingin menoleh  ke hari semalam walau hanya sekadar bayang kelabu hadirkan dia biar seimbas mimpi dalam tidur hingga nanti  kembali bersua  di taman abadi. ummufatihah/ petra jaya 1017 pm 14 januari 2021

Khauf wa Rajaa’

  mungkin  jiwa yang resah bukan satu musibah malah ia anugerah untuk lebih bersyukur dan menggenggam hakikat kita insan yang lemah lantas  harus sepanjang masa tumbuh subur di taman jiwa cambahan benih takut dan harap pada Dia Yang Maha Esa ummufatihah/ petra jaya 1350 am 14 januari 2020

Kembara Buku

Image
semasa di kampung, bahan bacaan kami adik- beradik adalah dua buah buku perpustakaan di tempat kerja Abah yang boleh dipinjam setiap dua minggu. waktu itu abang saya dan saya masih belum masuk sekolah dan adik- adik saya masih kecil. selepas itu, kami berpindah ke bandar kuching semasa saya berumur 6 tahun. pada masa itu Abah akan membeli majalah bulanan kanak- kanak Dewan Pelajar dan Utusan Pelajar. Majalah Gila- Gila juga merupakan bahan bacaan utama kami kerana pada masa itu ada jiran yang memang membeli majalah tersebut secara bulanan. sekali- sekala kami berjaya memujuk Abah untuk membeli majalah Gila- Gila kami sendiri. tapi ada keburukannya, sebab akan ada babak perebutan di antara saya dan Abang, siapa yang akan dapat giliran pertama.  Pada masa yang sama, beberapa orang sepupu dari kampung tinggal bersama kami sebab tidak mahu duduk di asrama. Seorang Sepupu belajar di Tingkatan Enam. Saya habiskan semua buku rujukan sasteranya seperti Sandera, Keluarga Gerilya dan Sejarah Mel

Cinta itu...

Image
maryam bertanya bagaimana saya dan suami boleh  kenal dan akhirnya merancang untuk berkongsi kehidupan. saya tidak bercerita perkara ini dengan anak- anak kerana tiada yang istimewa untuk diceritakan.  kami tiada istilah bercinta.  suami saya adalah guru sementara yang baharu keluar IPTA, mengajar di sekolah yang sama dengan rakan baik saya, seorang ustazah.  pada suatu hari, saudara saya mencadangkan kepada emak saya nama saudaranya untuk diperkenalkan kepada saya, dan saudaranya ini guru yang mengajar di sekolah yang sama dengan rakan ustazah saya. walaupun tidak begitu berminat dengan perkara ini, saya menghubungi kawan saya untuk bertanya mengenai saudara kepada saudara saya 🤣🤣.  namun, kawan saya tidak melayan pertanyaan saya. sebaliknya mencadangkan untuk memberi nombor telefon saya kepada seorang lagi guru yang baru sahaja tamat belajar. beberapa perkara yang dinyatakan oleh kawan saya ( bukan kekurangan peribadi suami tetapi lebih kepada pengalaman masa lampau saya) menyebabk

Terbang Bangau

 percubaan pertama nak upload video.  mengambil peluang beriadhah di sini sekiranya ada kelapangan sejak dari anak- anak masih kecil.  bagi saya tempat ini memang istimewa.  di sini terletak Pustaka Negeri Sarawak, tempat yang paling aman dan tenteram di dunia ( kenyataan melampau). kalau dulu, setiap petang sabtu ada aktiviti kraf untuk kanak- kanak. saya bawa anak- anak dan tinggalkan di situ selama sejam,  sementara saya ambil peluang menjenguk buku- buku di ruang berhampiran.  Taman dan Tasik di luar Pustaka juga istimewa. tempat kegemaran anak- anak semasa kecil kerana di tasik tersebut ada banyak ikan yang berenang berdekatan dengan tepi tasik terutama apabila dicampak roti atau makanan ikan.  sekarang dalam keadaan masih belum menentu, anak- anak hanya tinggal di rumah. hanya saya dan suami yang meluangkan masa di situ.  walau sekerap mana saya ke sini, tidak pernah jemu dan tetap terpegun dengan suasana kehijauan semulajadi “taman di dalam bandar” di sini.  Malahan, kawasan hij

berehat sebentar

Image
  berehat sebentar bukanlah mengalah namun mengumpul semangat  dan tabah moga esok mentari bakal bersinar lebih cerah -ummufatihah/ petra jaya- 9 jan 2021 11.45 am

Jalan Pulang

Image
Narsisis mencintai kesempurnaan namun ia hanya khayalan dalam mindanya sahaja.  Kerana insan tiada yang sempurna. Kerana kecintaannya terhadap kesempurnaan, ia sukar menerima hakikat saat ditimpa kegagalan. akibatnya, seorang yang narsistik akan cuba mencari jalan untuk meletakkan punca kegagalannya pada pihak lain.  Narsisis juga sukar mengakui kelemahan diri. setiap kali ditegur,  ia cuba mengalih fokus kepada kegagalan lebih besar yang dihadapi oleh pihak lain dan bertindakbalas seolah- olah dia adalah mangsa kepada ketidakpekaan pihak lain.  lantas, kesedaran bahawa kita insan yang tidak sempurna itu adalah amat penting.  melakukan kesilapan itu adalah manusia.  yang penting, harus tahu jalan pulang.

Prinsip Kehidupan

Image
hidup perlu ada prinsip.  in sya Allah, di mana berada, ke mana dituju, akan berjaya.  di saat menjejak alam remaja, tanpa ada kemudahan teknologi komunikasi yang canggih seperti hari ini, saya dibekalkan dengan hakikat kepentingan hidup berprinsip.  tahun 1988, saya mula meninggalkan rumah dan keluarga untuk masuk tingkatan 4 di Klang. ya, memang tidak jauh. hanya beberapa perhentian komuter sahaja dari Stesen KL Sentral.  tahun 1988, tiada Air Asia, tiada KL Sentral, tiada komuter, tiada talian internet, tiada telefon bimbit. berjumpa keluarga hanya setahun sekali. lantas, pesanan ibu bapa sebelum meninggalkan rumah menjadi pegangan dan prinsip sehingga kembali semula ke kampung halaman.  tahun 1996, sebaik sahaja selesai peperiksaan akhir, saya mencuba nasib mencari pekerjaan di sekitar KL. Kononnya sementara menunggu majlis konvokesyen selesai. Tapi akhirnya saya cuma kembali ke Kuching pada September 1997.  Sepanjang tempoh itu, emak tidak putus- putus memujuk saya untuk balik seb

bekerja bersama saya

Image
Mengendali sumber manusia dalam sesuatu organisasi bukanlah perkara yang mudah.  saya menganggap diri saya beruntung kerana sejak mula bekerja saya ditugaskan bersama sumber manusia yang kecil sahaja, paling ramai adalah sekarang ini iaitu seramai 11 orang.  pada tahun 2003, saya diarahkan membuka pejabat baharu bersama dua orang pegawai sahaja. saya sambut cabaran itu kerana dengan cara itu sahaja saya dapat bertugas di tempat yang sama dengan suami. bagi saya, jumlah pegawai untuk bekerjasama tidak penting, yang lebih penting adalah keserasian dan kesediaan untuk bekerja di dalam satu kumpulan. semakin ramai pegawai dalam satu kumpulan atau unit, sebenarnya semakin banyak karenah yang perlu ditangani.  dipandang pada mata kasar, amat mudah menyelia sekumpulan manusia dewasa namun cabarannya adalah setakat mana sumber ini dapat diyakinkan bahawa mereka perlu bekerjasama untuk mencapai objektif organisasi untuk memenuhi kehendak pelanggan.  dan organisasi tersebut tidak berbeza sama ad

Asiah, penutup bicara

Image
  Januari 2013. Fatihah di Tahun 5, Maryam di Tahun 2, di sekolah yang sama dan Asiah mula menempoh alam pra sekolah 4 tahun.  Anak ketiga, telah melalui dua pengalaman berbeza. lantas yang ketiga dapat diagak tidak akan sama dengan yang terdahulu. Asiah petah seperti Maryam dan meminati gajet seperti Fatihah. Namun sikap yang tersendiri, Asiah sukar untuk dipujuk untuk melakukan sesuatu yang bukan kemahuannya.  Seperti kakak- kakaknya, Asiah bersekolah di Tadika Islam Abim yang pastinya pakaian seragam pelajar perempuan termasuk tudung kepala. Fatihah dan Maryam memang telah biasa bertudung sebelum masuk ke tadika. Tapi Asiah enggan bertudung. Sebulan yang pertama Asiah merupakan satu- satunya pelajar yang tidak mengenakan tudung.  Saya akan bekalkan tudung di dalam beg sekolah dan memaklumkan kepada Cikgu mengenai perkara tersebut. Saya tidak ingat kenapa Asiah mula bersedia untuk memakai seragam yang lengkap tetapi yang pasti dia sendiri yang meminta untuk dipakaikan tudung sebelum

Dia yang penyayang

Image
Januari 2009. Fatihah menjejaki Tahun 1, Maryam mula masuk Tadika dan saya mengandung tujuh bulan. dan saya dan suami masih tinggal berasingan. Juga saya sudah di tahun akhir pengajian sarjana saya.  Kalau dulu saya gigih mengajar Fatihah sebelum masuk pembelajaran formal, untuk Maryam pula saya memang hilang fokus kerana saya mula belajar semula semasa Maryam berumur 18 bulan.  Maryam belajar lebih kepada mengikut cara biasa dengan sumber sedia ada seperti flash card, komputer mainan dan yang sewaktu dengannya tanpa saya melibatkan diri secara aktif. tambahan pula Maryam seorang yang tidak tahan dibuat sessi belajar latih tubi seperti Fatihah. Maryam mudah mengalah sekiranya lambat menangkap pembelajaran tapi dia dari kecil seorang yang ringan tulang. lebih suka menghabiskan masa menemani Kakak memasak dan mengemas rumah.  Fatihah pula biarpun sampai menangis kerana ditengking (saya ibu yang garang) semasa belajar, dia akan tetap terus mengikut belajar walau sudah teresak- esak(kesian

Buat Permata Ayahanda

Image
(untuk kalian anakanda- anakanda tragedi Feri Triso, Sarawak) saat permata ayahanda berangkat pergi bersama bonda dan empat adinda telah ayahanda titip seberkas redha damailah kalian di sana  menanti ayahanda di taman syurga 6.32 pm 2 Januari 2021 -ummufatihah/ kuching-