Posts

Showing posts from February, 2021

langkah pertama

Image
  langkah pertama adalah keberanian  meneroka  ketidakpastian ummufatihah, taman spawie 16 feb 2021

menjenguk ayahbonda

Image
  menjenguk ayahbonda adalah mengintai masa depan kita dan buah tangan yang dibawa adalah hari semalam mereka kian jauh perjalanan kehidupan kian kita mengerti setiap langkah adalah kebijaksanaan asalkan kita ambil pengajaran. -ummufatihah, kpg pawada- jumaat, 12 februari 2021 cny 2021

teruslah belajar

saya menghadiri bengkel penulisan artikel dan kreatif anjuran dbp sarawak kerana hendak meningkatkan kemahiran menulis artikel.  tetapi, kerana masa yang terhad kami perlu memilih satu jenis sahaja dan kebanyakan peserta memilih untuk belajar penulisan kreatif; cerpen dan sajak.  walaupun pada mulanya saya terkilan kerana beranggapan penulisan kreatif terutama sajak hanya untuk mereka yang berjiwa sentimental sahaja, akhirnya saya seronok apabila telah diajar serba sedikit cara menghasilkan sajak. saya seronok kerana “sajak” pertama saya dapat ditegur oleh pengajar yang bermakna saya berada di “jalan” yang betul.  sejak itu saya seronok mencabar diri bermain dengan kata dan makna yang kononnya menulis sajak, walaupun hakikatnya ia hanya ungkapan kata saya yang biasa-biasa sahaja.  walaupun hanya mengungkap kata- kata biasa yang belum layak dipanggil sajak, saya tidak akan berhenti mencuba kerana proses belajar tidak pernah ada penghujung. seperti kata penyair,  selepas berkarya,  lepas

Air Pasang Pagi

 setelah berpindah ke bandar kuching, kampung saya juga terletak di tepi sungai Sarawak. setiap kali air pasang besar, air sungai akan melimpah sehingga ke kampung kami.  ia boleh naik sehingga ke aras pinggang kami. jadi, sama ada kami perlu bertolak ke sekolah seawal mungkin sebelum air naik, atau meredah air pasang dan hanya menukar kepada seragam sekolah setelah sampai ke jalan besar yang terletak di kawasan yang lebih tinggi.  selalunya dalam keadaan ini abah akan mendokong saya manakala abang berjalan sendiri meredah air pasang di sebelah abah. pernah sekali, Abang tenggelam kerana terjatuh ke dalam longkang yang hilang dalam air pasang tinggi. namun abah sempat menarik tangan. hidup perlu diteruskan.

rumah nenek di tepi sungai

rumah nenek betul- betul di tepi sungai sarawak. setiap rumah dihubungkan oleh jambatan belian. dari jambatan tersebut,  berdekatan rumah nenek ada tangga kayu ke arah pantai berlumpur.  di situ diikat beberapa perahu kecil penduduk kampung hilir termasuk perahu datuk yang dipanggil Bapak.  uniknya di rumah nenek ada ruang seperti beranda tetapi tanpa bumbung. hanya berlantaikan papan kecil yang disusun kurang rapat. ruang ini kami panggil Jungkar.  bila air pasang, akan nampak ikan- ikan kecil berenang di bawah Jungkar. dan kalau air pasang tinggi, perahu boleh diikat di tepi jungkar.  Saya anak kampung di tepi sungai, namun sayangnya saya tak pandai berenang. dan kawasan rumah nenek di tepi sungai menjenguk igauan malam saya saat kerinduan pada masa kecil menerpa walau di bawah minda luar sedar. 

rumah nenek di kaki bukit

rumah nenek di kaki bukit. dikelilingi pokok- pokok rambutan.  berhadapan dengan sungai sarawak. manakala di antara rumah dan sungai, masjid kampung hulu tersergam megah. untuk masuk ke halaman rumah nenek, dari jambatan belian perlu melalui tepi masjid yang bersebelahan dengan ruang mandi jenazah. dan sekiranya perlu melalui kawasan itu apabila suasana telah beransur gelap, ia menjadi mimpi ngeri yang menjengah tidur saya sekali- sekala hingga saat ini. selepas hampir 40 tahun berlalu. 

kenapa menulis?

kenapa menulis? 1. merakam kenangan 2. berkongsi pandangan 3. meningkat kemahiran 4. mencatat sejarah mungkin suatu hari, menjadi rujukan.

siapa saya

kenangan awal semasa kecil saya adalah di rumah kami di tepi jalan di pinggir hutan.  berbeza dengan kampung asal saya di tepi sungai sarawak berhampiran muara menuju ke Laut China Selatan, kenangan awal saya adalah bau tanah, pokok ubi kayu dan malam yang sunyi. dan cerita yang mak selalu ulangi semasa zaman kanak- kanak mengenai saya adalah teka- teki yang saya cipta sendiri semasa bermain di kawasan rumah kami. sambil memegang ranting yang bercangkuk di hujungnya serta bertopi untuk menghalang cahaya matahari, saya akan menguji kebijaksanaan mak; saya ada cangkul saya ada topi siapa saya?