Saturday, September 28, 2013

Mencari Redha

0 comment

Pada nadi dan darah
Mengalir doa cekal 
dan semangat yang merah
Mengorak tabah di heret langkah 
Menggema azam di hela nafas
Sesungguh solatku, ibadahku,
hidupku dan matiku
Hanya kerana 
Mencari Redhamu semata.


Thursday, September 19, 2013

Setia selamanya

0 comment
Senja itu kau kembali ke sini
Menekuni sajak usang
Sekian lama terlantar sunyi
Di birai kecewa

Langsir kenangan yang kian pudar
Biarkan ia di situ
Aku dan dia
Setia selamanya

Bulan tanpa cahaya

0 comment
Semalam kau berbisik di telingaku
Telah berputik mawar merah
Saat musim bunga menyapa
Dan resah pun bertapa
Bila irama mesra kian menjauh

Malam yang panjang
Bulannya tidak lagi bercahaya

Sajak seorang pejuang

0 comment
Dan dendam yang membarah
adalah igau tanpa kesudahan
Cerita duka seorang pejuang
Tanpa kubur dan nisan
Esok aku khabarkan
Datukmu bara semangatnya 
Tak pernah padam.

Wednesday, September 18, 2013

Bicara buat gadis melanau

0 comment
Saat kau genggam bara
Di jiwa mengalir sungai yang dingin
Dan igau malammu
Tidak lagi bertandang

Sunday, September 15, 2013

Taman syurga

0 comment
Biarkan kenangan bertandang
Membawa bersama sejambak ceria
Dan segeluk air mata
Di anjung semalam

Wahai kenangan
Tidak pernah aku menyesal
Memikul berkas kecewa
Untuk dipersembah 
Di persada kehidupan

Kerna ikatan tabah
Yang dirangkai setia
Adalah lantai yang kukuh
Untuk istana bahagia
Yang tersergam hari ini
Di taman syurga dunia.

Tuesday, September 10, 2013

Manusia

0 comment
Pada manual ciptanya
telah ditulis hauskan darah melimpah
lantas saat penciptaannya 
telah ditanya malaikat kepada Pencipta
kenapa dicipta manusia
yang cintakan tumpahan darah

memang Pencipta Maha Mengetahui sifat makhlukNya
"Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui".

Dan diciptakan Adam as
berbekalkan ilmu melimpah ruah

maka terangkatlah martabat manusia
melangkaui malaikat yang setia
hanya seandainya insan masih tetap mendakap
ilmu di dada dan jiwa.

Hantu!!!

0 comment
Hantu!!!
Lari!!!

Apa yang ditakutkan?
Mati?!

Bukankah ke sana kita kan pergi,
Walau ke mana kita nak lari...

Yang kekal
hanyalah Pencipta 
Yang Maha Tinggi...

Kembara yang panjang

0 comment


Esok adalah perjalanan 
yang maha panjang
Bagi seorang pengembara
Yang singgah sebentar di sini
Mengumpul tenaga
Dan sedikit bekal
Agar cukup bersedia
Saat menyambung semula
Kembara yang tak pasti
Noktah kesudahan

Bila dan di mana
Akan ada titik perhentian.

Monday, September 9, 2013

Langkah yang sumbang

2 comment

Langkah yang sumbang
Usah berpencak di sini
Pahlawan petang

Tiada kami ingin
Darah dan sanggah
Hanya kami rindu harumnya 
mawar di taman bonda

Anak- anak kami
Biarkan mereka bercanda mesra
Tanpa sempadan bahasa dan bangsa

Darah kami yang merah
Biarkan hanya mengalur 
Di jiwa dan raga setia
Bukan melimpah di jalan raya.

Friday, September 6, 2013

Kota Sakinah

0 comment

Kemaskini (10.09.13):
  
Meniti perjalanan ini
dalam debar dan sedar
kita bina titik tujuan
dari lorong yang bersimpang

saat mata hati bergeser
percikan api mula membakar
dan ruang sedar pun bergetar
lantas getar mengundang debar

dari arah mula yang berbeza
peta hidup kita bersua
pada garisan yang sama
usah gentar mencarta rasa
kerna di setiap benua
akan bersama kita bangunkan
Kota sakinah
mawaddah wa rahmah.


(Asal)

Meniti perjalanan ini
Dalam debar dan sedar
Kita bina titik tujuan
Dari lorong yang bersimpang

Saat mata hati bergeser
Percikan api membakar
Ruang sedar pun bergetar
Dan debar  pun menggapai
Dan getar mengundang debar

Dari arah mula yang berbeza
Peta hidup kita bersua
Pada garisan yang sama
usah gentar mencarta rasa

Kerna di setiap benua
Akan bersama kita bangunkan 
Kota setia. sakinah
mawaddah wa rahmah.


Thursday, September 5, 2013

Raikan ujian

0 comment

(Kemaskini pada 10.09.2013)

Sebenarnya kesukaran dicipta
untuk kita lebih mengerti
makna usaha,
pengorbanan
dan persahabatan.

Raikanlah ujian,
kerana ia menganjak nilai diri
ke tahap yang lebih tinggi.

Janganlah kita mengaku beriman
sedangkan kita belum diuji”.



(Asal)

Sebenarnya kesukaran dicipta
untuk kita lebih mengerti
makna usaha
makna pengorbanan
makna persahabatan

raikan ujian
kerana ia menganjak nilai diri
ke tahap yang lebih tinggi

Janganlah kita mengaku beriman
sedangkan kita belum diuji.


Tuesday, September 3, 2013

Mari menulis

0 comment



Bukan mudah nak mengatur kata. Di dalam minda memang macam- macam yang ada. Ada drama. Ada jenaka. Ada cerita. Tapi, bila nak diluah dalam tulisan, semuanya lari bercempera. 

Kata orang, golongan penulis memiliki kelebihan berfikir secara berstruktur. Itulah sebabnya golongan ini mampu melahirkan pemikirannya mereka dengan mudah. Pemikiran mereka telah disusun dengan teratur di dalam minda. Dan apabila mengalir keluar, ia mengalir dengan mudah.

Oleh itu, jangan pandang sebelah mata dengan aktiviti menulis. Ia merupakan salah satu dari kemahiran yang boleh dibanggakan sekiranya dimiliki dan tidak rugi untuk belajar sekiranya tiada.

Memanglah gambar memberi seribu makna, namun peranan kata- kata dalam bentuk huruf yang boleh dibaca juga tidak boleh diketepikan. Lagipun, penulisan merupakan salah satu perakam sejarah yang mempunyai peranan tersendiri yang tidak dapat diganti oleh walau beribu gambar.

Jadi.... 

Mari kita biasakan menulis....

Rintihan marhaen

0 comment



Pagi ini

cahaya mentari berbeza hangatnya
membahang hingga ke jiwa

saat janji mula dikota
rantai kuasa
dipintal menjadi denda
kerana enggan menyerah
pada agenda dan propaganda
yang dijaja

memang di sini 
ada yang berkuasa
ada yang disiksa
ada yang tak endah apa- apa

namun jangan lupa wahai saudara
setiap yang ditanam
akan dituai
di daerah sana.

Monday, September 2, 2013

Sebutir debu tanpa nama

0 comment


(Dikemaskini pada 10.09.2013)

Berdiri di ruang ini
segalanya adalah rahmat
yang tidak ternilai
walau bergunung harta
menjadi galang

sekali nafas kuhela
terlalu amat berharga
namun kerap aku terlupa
akan lautan nikmatNya
sehingga semuanya
kuanggap milik selamanya

berdiri di ruang ini
betapa aku terasa
kebesaranNya
dan rupanya
aku hanya sebutir debu
tiada bernama...



(Asal)

Berdiri di ruang ini
Segalanya adalah rahmat
Yang tidak ternilai
Walau selautan harta
Menjadi gantinya

Sekali nafas kuhela
Terlalu amat berharga
Namun amat kerap aku terlupa
Akan nikmatNya

Berdiri di ruang ini
Betapa aku terasa
KebesaranNya
Dan aku hanya
Sebutir debu tiada bernama...