Thursday, April 30, 2009

pelangi bahagia...

0 comment
Titisan air mata 
di pipi gebumu
kesatkan ia 
kerna detik semalam 
telah lama berkelana

nun di ufuk timur
tidakkah kau lihat
segaris cahaya kuning
yang bakal menjingga
menyelaputi pohon angsana

dan 
daerah hatimu akan ceria
bersama warna-warni pelangi
yang menjanjikan
esok yang bahagia...

=latih tubi 0130 am 30.04.09=

Wednesday, April 29, 2009

Mega Nisaa

2 comment
Setelah berhempas-pulas beberapa hari, akhirnya saya berjaya menghabiskan pembacaan novel yang "amat" tebal ini. Sebenarnya novel Mega Nisaa hasil karya Azmah Nordin terbitan DBP tahun 2005 ini telah lama saya beli namun belum berkesempatan untuk membacanya. Di antara sebabnya adalah kesibukan aktiviti harian dan mungkin juga kerana ketebalannya yang pada jangkaan saya  hacita2 untuk menikmati tulisannya suatu hari nanti bila saya mempunyai kelapangan.
Lantas pada masa yang terluang sekarang ini saya pergunakan sebaiknya untuk menikmati novel ini. Walaupun tulisannya sedikit berat pada pendapat saya namun saya tetap menghargai penulisannya yang sarat dengan penggunaan kata yang indah dan pelbagai.
Secara ringkasnya novel ini mengangkat isu  feminisme sebagai temanya. Ia dikupas melalui perjuangan watak-watak utamanya untuk menghapuskan eksploitasi wanita dan kanak-kanak dalam industri pengiklanan. 
Antagonis novel ini pula adalah golongan lelaki yang terlibat di dalam industri pengiklanan yang berpendapat mereka bukan mengeksploit tetapi sebaliknya semata-mata tuntutan pelanggan yang inginkan produk mereka mendapat tempat di hati para pengguna dan kehendak itu mampu menghalalkan sebarang cara.
Secara keseluruhannya novel ini pasti menarik bagi golongan pembaca yang serius untuk menikmati pelbagai keindahan bahasa dan tema yang kontemporari dalam masyarakat yang terlibat dengan dunia korporat. Namun sebagai bacaan ringan mungkin novel ini bukan pilihan yang tepat untuk anda.

Tuesday, April 28, 2009

anakku...

2 comment
                   Gelak tawamu 
               bunga mekar harum
                  di taman hati

                    sendu tangismu 
                sapa mesra berlagu
                    di lembah jiwa


                    maka anakku
         andai sekali sekala aku terleka
             maafkan aku ibumu
             yang mungkin alpa...

-latih tubi 1636 pm 28.04.09-

Asiah- Hari yang ke-30

0 comment




Semalam Asiah puteri saya genap berusia 30
 hari. Alhamdulillah dia menjalani hari-hari awalnya dengan lancar. Cuma kulitnya masih sedikit kuning. Insya'Allah pada hari Khamis nanti dia akan menjalani
 ujian darah semoga kuningnya akan berkurangan di bawah 10. 

Setakat ini saya masih lagi berehat-rehat di rumah mengisi masa terluang dengan membaca di selang-selang meladeni kehendak Asiah.


Laporan projek akhir kuliah telah dihantar ke pihak Uni tetapi tarikh pembentangan masih lagi berubah-ubah. Tarikh paling terkini adalah 16 April setelah mengalami perub
ahan dua kali. Selesainya pembentangan menandakan pengajian saya telah selesai sepenuhnya selepas berhempas pulas selama lebih dua tahun (semenjak januari 2007). Tamatnya pembentangan juga bererti saya telah benar-benar merdeka setelah dua tahun cuti hujung minggu saya dikorbankan. 

Sekali-sekali saya juga mengasah minda kreatif saya dengan mencuba untuk menghasilkan sajak (entahl
ah sama ada is boleh dipanggil sajak... :). 


Semalam dalam perjalanan balik dari klinik membawa anak kedua saya yang demam, saya singgah di kedai kek. Sabtu lepas adalah hari ulangtahun pembantu rumah yang dipanggil sebagai "kakak" oleh anak-anak tetapi tiada apa2 yang istimewa diadakan memandangkan kekangan keadaan sekarang. Tapi

 Alhamdulillah, dengan membeli kek tersebut sekurang-kurangnya Kakak akan rasa dihargai sumbangannya terhadap keluarga kami selama ini walaupun telah terlewat dua hari. Selamat Hari Jadi, Kakak.


Monday, April 27, 2009

tikar harapan

0 comment
dalam kasmaran
kau tuangkan deritamu
ke cawan sepiku
menagih secarik simpati
untuk kau selubungkan
kedinginan silam
yang merusuh 

kian dalam
kian suram
di kaki malam

lantas kuhamparkan
tikar harapan yang kusam
moga saki baki deritamu
bisa menemu 
alas bahagia...

-latih tubi 1205 28.04.09-

Diri yang mati...

0 comment
Dalam degup yang ramah
kau menegur mentari merah
yang bergetar resah
di gemersik awan gelisah} citra kedua2 baris nampak sedikit tersasar berbanding 
menelusuri sungai pasrah}dengan baris2 lain, dicadangkan dikaji semula
hanya berserah

kian engkau bersembunyi
kian dirimu terserlah
menyapa sunyi
menguak lelah

akhirnya
kau diam menyepi
memerhati diri
yang kian mati....

(Latih tubi 11.30 pm 27.04.09)

Tuesday, April 21, 2009

gemerlap permata

0 comment
Di dasarmu 
gemerlap permata
yang setia menanti
untuk ditemui

bakal menyinar 
degup jiwa pencinta
yang tekun mencari cahaya
di kemuncak jaya...

*latih tubi 1015 pm 21.04.09

The Garden PArty and Other Stories

0 comment
Semalam saya telah menamatkan bacaan koleksi cerpen bahasa Inggeris bertajuk The Garden Party and Other Stories karya Katherine Mansfield terbitan Oxford University Press tahun 2000. Buku ini merupakan salah satu bahan bacaan yang dipinjam oleh Fatihah dari PUSTAKA. Terdapat  9 buah cerpen menarik yang dikumpulkan dalam koleksi cerpen ini dan pada pandangan saya cerpen yang paling menarik ialah cerpen pertama yang bertajuk Feuille d'Album. 

Cerpen tersebut mengisahkan seorang pelukis muda Ian French yang suka menyendiri sehingga dianggap misteri oleh masyarakat di sekelilingnya. Biarpun ramai wanita yang berusaha untuk mendekatinya namun tidak seorang pun yang berjaya menarik perhatiannya. 

Keadaan ini akhirnya berubah apabila Ian tiba-tiba tertarik dengan seorang gadis yang mendiami rumah berhampiran dengan tempat tinggal tanpa gadis tersebut menyedari kewujudannya. Ian boleh dianggap sebagai jatuh cinta pandang pertama walaupun tidak mengetahui nama gadis tersebut. Pada pandangannya gadis tersebut memiliki persamaan karakter  seperti dirinya yang suka menyendiri. 

Ian mula memerhati gerak geri gadis tersebut dalam usaha untuk mendekatinya. Dia ahirnya berjaya mengesan rutin harian gadis tersebut yang akan keluar ke pasar pada setiap petang Khamis untuk membeli barangan dapur.

Cerpen ini pada pendapat saya diakhiri dengan pendekatan lucu di mana Ian hampir gagal untuk mendekati gadis tersebut walaupun gadis itu telah menyelesaikan urusannya di pasar. Dalam usaha untuk menegur gadis itu, Ian menggunakan taktik mengembalikan barang kepunyaan si gadis yang dikatakan tercicir. Tetapi yang lucunya Ian hanya sempat mengambil telur dari kedai yang dilawati oleh si gadis yang pastinya telah pecah sekiranya ia benar2 telah tercicir dari simpanan si gadis.

Secara keseluruhan cerpen ini menggunakan pendekatan santai tetapi selepas dianalisis ternyata penulis amat bijak dalam pengolahannya. Sebagai contoh, penulis menggunakan pendekatan pancaindera seperti penglihatan, pendengaran dan deria bau untuk menarik perhatian pembaca.

"One evening he was sitting at the side window eating an apple and looking down...."

"He heard her washing the dishes after supper, saw her come to the window..."

"...and the air smelled of plants and wet earth."

Penulis juga menggunakan pendekatan "showing and not telling" sepanjang penceritaan.
"From the two big windows he could see boats on the river and an island covered with trees. From the side window he looked across to a smaller and uglier house, and down below there was a flower market."

Seterusnya, penulis memasukkan unsur2 psikologi ke dalam watak utama di mana Ian digambarkan sebagai seorang pemuda yang suka bersendirian dan mudah obses terhadap sesuatu yang diminatinya sehingga sanggup memantau pergerakan harian objek yang diminatinya sehingga ke tahap mengekorinya. Sikap ini juga kerap dimenifestasikan oleh golongan psikopatik terhadap objek yang diminati. Kegagalan untuk mengawal perkara boleh mengakibatkan seseorang itu mengancam jiwa orang lain.

Cerpen-cerpen yang lain yang terdapat di dalam buku ini juga tidak kurang menariknya. Buku ini saya kategorikan sebagai buku yang disokong untuk dibaca...Must Read...

Asiah- Hari ke 25.

0 comment



Hari ini Asiah menjalani ujian darah yang kesekian kalinya kerana jaundice. Saya berasa sedikit kecewa kerana bacaannya naik semula kepada 11.2 selepas pada aras 10.9 pada ujian Jumaat lepas.  Disebabkan usia puteri kecil saya ini telah melepasi 20 hari, bacaan 10 ke atas dikategorikan sebagai prolonged jaundice yang memerlukan darah dan air kencingnya di ambil untuk pengesanan lanjut sebab jaundice nya terlalu lama. 
Hati saya bagai diruntun apabila Asiah menangis kuat semasa pihak hospital mengeluarkan darah dari tangannya yang kecil. Ternyata jumlah darah yang diambil tidak banyak tetapi mungkin kerana tangannya yang kecil usaha itu saya rasa mengambil masa yang lama (walaupun pada hakikatnya hanya beberapa minit). Keputusan lanjut akan diketahui dalam masa dua minggu. 
Pada masa yang sama saya dibekalkan dengan peralatan untuk mengambil kencing Asiah untuk pemeriksaan lanjut. Ia merupakan plastik kecil yang berlubang yang bertindak sebagai alat menampung kencing  yang kemudiannya akan dipindahkan ke dalam bekas kecil untuk dihantar ke makmal.
Semoga jaundice Asiah akan segera turun supaya dia tidak perlu melalui perkara yang sama berulang kali... Insya'Allah.

Monday, April 20, 2009

engkau marah?...

0 comment
engkau marah?
saat api yang merah
menelan kesabaran 
di dasar hati

akhirnya 
kau terima hakikat
bahawa kau jua insan biasa
yang punya hati 
dan rasa...

(latih tubi 8.30 pm 20.04.09)

Irama fikir...

0 comment
Tiba-tiba jari menari rentak resah
di atas pentas keengganan
yang kau dirikan
dari kerancuan irama fikir
berselang-seli dengan
tiupan seruling semangat
terbit dari deru angin dingin
di perbukitan diri...

(latih tubi 8.10 mlm 20 April 2009)

Setelah sekian lama berehat dari menulis sajak, saya mula dihimpit keresahan. Kenapa harus resah?... Ya, saya resah kerana merasakan dunia yang penuh irama dan misteri itu semakin jauh dari diri saya. Saya rasa amat sukar untuk meluahkan rasa melalui bait-bait bicara yang penuh makna itu... Bukanlah saya ingin mengatakan bahawa sebelum ini saya seorang yang mahir, namun sekurang-kurangnya saya telah menulis dua tiga bahan yang saya boleh anggap sebagai sajak... Itupun setelah saya mencuba berkali-kali ... 
AKhir-akhir ini saya mula ingin untuk mencuba semula dan saya menyedari bahawa tidak semudah itu untuk kembali menulis apabila kita telah meninggalkan amalan dan latihan yang dibiasakan sebelum itu... Justeru saya mendapat pengajarannya... Untuk menjadi seorang penulis, jangan hentikan kebiasaan yang telah diamalkan dalam membina kemahiran menulis kerana sekali berhenti kita harus bermula semula dari garis awal...
Lantas, lakaran di atas lahir dari usaha untuk memulakan semula perkara yang telah beberapa ketika saya tinggalkan... Semoga ia akan konsisten...

Thursday, April 16, 2009

Projek Seterusnya...

0 comment

Sekarang saya sedang membaca buku bertajuk Penulisan: Cetusan Fikiran yang diterjemahkan dari buku hasil tulisan Susan R. Horton terbitan DBP pada tahun 1993. Nampak macam menarik tapi tunggu sehingga saya menamatkan pembacaan saya. Saya akan kongsi ulasan saya di sini... Tunggu...

Di Kaki Mimbar

1 comment

Malam kelmarin saya telah mula mengisi masa lapang saya dengan membaca antologi cerpen Zaharah Nawawi. Malam semalam pula saya menamatkan antologi cerpen terbaru Ghazali Lateh yang bertajuk Di Kaki Mimbar terbitan Cerdik Publications Sdn Bhd pada tahun 2007. 
Berdasarkan perbandingan kedua-dua buku tersebut, saya lebih menikmati pembacaan hasil karya Ghazali Lateh. Hal ini mungkin kerana gaya penulisannya yang lebih santai berbanding dengan gaya Zaharah Nawawi yang saya rasa lebih berat dan memerlukan usaha lebih untuk memahami mesej  yang ingin disampaikan melalui penulisannya.
Kumpulan cerpen Di Kaki Mimbar mengandungi 20 cerpen yang menyentuh pelbagai sudut masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Dari segi tema, Ghazali Lateh berjaya menarik minat saya untuk menelusuri penceritaannya. Sebagai contoh, cerpen Di Kaki Mimbar sendiri membincangkan kehendak seorang bapa ke atas anaknya untuk menjadi seorang Imam manakala cerpen Mama, Papa dan Bunga Plastik pula menjenguk perhubungan harmoni di antara anak remaja pelbagai bangsa dalam menghadapi ancaman pencemaran alam sekitar.
Setelah membaca kesemua cerpen yang terdapat di dalam kumpulan cerpen tersebut saya mendapati sekurang-kurangya hampir separuh daripada cerpen mengambil dunia pendidikan sebagai latar cerita.  Cerpen Budi Berganti mengisahkan seorang pelajar yang membalas budi 
gurunya yang telah menyara pembelajarannya sehingga berjaya di dalam kehidupannya dengan mendermakan buah pinggangnya semasa guru tersebut memerlukan penderma. Kasut Kelopak Jantung juga memanipulasikan tema yang sama di mana sikap seorang guru telah mendorong muridnya yang miskin untuk berusaha bersungguh-sungguh sehingga menjadi seorang peniaga kasut yang berjaya. Namun pada masa yang sama pengalaman bersama murid tersebut telah mengubah sikap guru tersebut dari seorang guru yang tegas membuta-tuli kepada seorang pendidik yang lebih perihatin terhadap masalah muridnya.
Walaupun semua cerpen merupakan cerpen yang menarik namun saya amat terkesan dengan cerpen Set Antik Emak. Cerpen ini membicarakan sikap ibu bapa yang lebih mengutamakan perabot mahal sehingga mengekang anak-anak untuk bergerak dengan selesa di rumah. Malahan lebih malang lagi sehingga sanggup mendenda anak dengan berat apabila perabot mahalnya tercalar.
Secara ringkasnya, kumpulan cerpen ini memang sesuai dibaca oleh semua golongan pembaca kerana temanya yang mudah dan penggunaan gaya bahasa yang mudah. Justeru, saya mencadangkan kumpulan cerpen ini dimasukkan ke dalam senarai bacaan anda dan pastinya anda tidak akan kecewa. 
Selamat membaca...

Tuesday, April 14, 2009

Jiwa Merdeka

0 comment

Saya pun tak pasti sama ada tajuk catatan ini relevan dengan catatan saya. :)... Sebenarnya saya sedang melalui hari2 akhir pembelajaran saya... Isnin hadapan merupakan hari penyerahan laporan projek akhir kepada pada pihak Uni. Pembentangan pula akan diadakan pada 9 Mei depan. Jadi, sebaik sahaja laporan dihantar, boleh dianggap dah murdika 99%... MURDIKA...
Jadi sekarang boleh lah saya membuat perancangan untuk pelbagai perkara yang telah ditangguh sepanjang dua tahun kebelakangan ini... Pertamanya, malam ni saya nak buang habuk kat pelbagai novel koleksi saya... Buku pertama yang telah terpilih untuk dibaca malam ni sambil jaga baby ialah Kumpulan Cerpen Zaharah Nawawi bertajuk Wangian Bukit Peranginan Terbitan DBP tahun 2001... Buku ni saya perolehi semasa Jualan Buku DBP 2008 yang lepas... Malam ni saya nak menikmati pelbagai cerita yang terdapat di dalamnya manakala perancangan-perancangan mega yang lain akan dilaksanakan selepas tempoh berpantang saya tamat awal bulan Mei nanti....

Thursday, April 9, 2009

Asiah- Hari keempat belas.

0 comment
Hari ini Asiah Nur Annisaa telah berusia 14 hari. Alhamdulillah, Asiah tidak banyak karenah. Cuma "kuning" yang dikesan semasa Asiah berusia 4 hari masih belum banyak turunnya. Pertama kali dikesan bacaannya adalah 8. Dua hari kemudian ia naik kepada 12.2. Doktor menasihatkan Asiah diberikan susu ibu sepenuhnya. 2 hari seterusnya bacaannya kuningnya turun kepada 11.7. Asiah anak dara saya ni. kalau dah tidur, sukar untuk dikejutkan untk menyusu. Justeru bacaan seterusnya kembali menaik kepada 12 semula.
Perkara ini saya maklumkan kepada Doktor dan dinasihatkan untuk memastikan Asiah menyusu sekerap yang mungkin. Pagi tadi Alhamdulillah bacaan menurun kepada 11.5. SEkarang saya lebih prihatin untuk memastikan Asiah menyusu sekurang-kurangnya 2 jam sekali. Semoga kuning Asiah akan turun dengan segera, Insya'Allah.
Nampaknya sekarang saya perlu mengejutkan Asiah. Dia pun dah mula merengek. Salam...

Catatan tertangguh

0 comment

(Catatan ini dibuat sebelum melahirkan anak ketiga tetapi tidak dapat diupload kerana masalah talian- waktu tu menggunakan perkhidmatan celcom, sekarang belayar dengan streamix mobility)


Setelah sekian lama menyepi diri hati saya tergerak untuk menulis lagi. Kali terakhir saya mengemaskini blog adalah kira-kira 6 bulan yang lalu, Ogos 2008. Pelbagai sebab yang mendorong saya untuk bercuti sebentar dari menulis. Pertama sekali, saya telah kembali meneruskan pengajian separuh masa saya. Kesibukan menyiapkan tugasan kuliah di samping kerja rasmi menghalang saya dari menjenguk blog.

Tambahan pula saat itu saya telah disahkan akan menerima kedatangan "orang baru" yang ketiga. Tiba- tiba saya hilang minat untuk melakukan kebanyakan perkara yang saya sukai termasuklah aktiviti menulis. Saya bukan sahaja tidak mengemaskini blog ini malahan semua laman maya yang saya sertai. Saya juga hilang minat untuk menghasilkan sajak. Tugasan kuliah pun disiapkan semata-mata kerana telah ditetapkan tarikh hantarnya.

Hari ini saya sedang bercuti rehat menunggu saat-saat kelahiran orang baru. Mungkin rasa gentar menyebabkan saya tercari-cari aktiviti untuk menghilangkan perasaan itu. Pada masa yang sama saya telah menamatkan kelas saya dan sedang menyiapkan projek akhir. Jadi masa lapang saya amat "banyak" berbanding sebelum ini di mana setiap sabtu dan ahad adalah hari sekolah saya.

Dan yang paling penting sekali, sekarang saya mempunyai talian internet di rumah yang memudahkan saya untuk mengemaskini blog bila-bila masa sahaja. Entri ini hanya merupakan langkah permulaan. Semoga lebih banyak entri akan muncul di masa hadapan, Insya'Allah.

Sunday, April 5, 2009

Siri Susu Ibu Ekslusif

1 comment

http://www.susuibu.com


Link yang memberi banyak maklumat mengenai penyusuan ibu secara ekslusif... Saya terjumpa link ni semasa membuat carian untuk mengetahui maklumat mengenai tempoh simpanan susu ibu.
Berdasarkan pemahaman saya selepas membaca maklumat di situ, susu yang disimpan di bahagian bawah peti sejuk boleh tahan selama 24 - 72 jam manakala yang dibekukan boleh tahan sehingga 3 bulan. Tempoh ini pula banyak bergantung kepada cara mensteril bekas susu dan jenis peti sejuk yang digunakan. Sebagai contoh, peti sejuk dua pintu lebih menjamin ketahanan susu tersebut berbanding yang berpintu satu sahaja kerana bahagian beku peti sejuk dua pintu jarang dibuka berbanding dengan peti sejuk satu pintu.
Kepada ibu-ibu bekerja yang merancang untuk menyusukan anak secara ekslusif selama yang mampu sehingga bayi berumur dua tahun bolehlah mengatur perancangan secara teratur bermula dari dalam pantang lagi. Sepanjang masa pantang, berusahalah untuk menyediakan stok susu dalam bentuk beku sebanyak yang mungkin untuk kegunaan semasa telah kembali bekerja.
Hakikatnya merancang untuk menyusukan anak sendiri secara ekslusif memang bukan satu perkara yang mudah. Namun, dengan sokongan dari semua pihak seperti suami, keluarga dan pengasuh bayi, Insya'Allah hasrat itu pasti akan dipermudahkan oleh Allah.


cadangan kain raya tahun ini

2 comment




Wednesday, April 1, 2009

Puteri Sulung yang solehah...

1 comment
Puteri sulung kami ini bernama Syarifah Fatihah Humairaa. Dilahirkan pada 14 November 2002, Fatihah tahun ini berada di dalam Tahun Satu Saidatina Fathimah. Walaupun belum mencapai usia tujuh tahun, Fatihah telahpun lancar membaca Al-Qur'an dan menunaikan solat lima waktu secara bersendirian. Sebagai anak yang sulung, Fatihah dimasyhurkan bersempena surah pertama di dalam Al-Qur'an. Humairaa pula adalah bersempena nama gelaran yang diberikan oleh Rasululullah kepada Saiditina Aisyah. Semoga Fatihah Humairaa akan menjadi contoh yang baik kepada adik-adiknya dan menjadi insan yang bijaksana, INsya'Allah.

Puteri tengah yang bertuah...

1 comment
Syarifah Maryam Insyirah merupakan puteri kedua kami. Bakal berusia 4 tahun 15 Julai depan, dia semakin petah dan ceria. Walaupun sudah lebih 3 bulan menjejaki alam persekolahan, sampai hari ini Maryam masih lagi menitiskan air mata setiap kali hendak turun ke sekolah. Puteri kedua kami ini dimasyhurkan sempena nama Siti Maryam ibu kepada Nabi Isa (a.s) yang sabar dalam menempuh pelbagai ujian dari Allah. Pada masa yang sama, Maryam dan Insyirah juga merupakan dua surah di dalam Al-Qur'an. Semoga Maryam Insyirah akan membesar sebagai seorang wanita solehah yang sabar dan tabah dalam menjalani kehidupan, Insya'Allah.

Selamat datang puteriku...

5 comment


Hari ini genap 6 hari usia Syarifah Asiah Nur Annisaa. Tangisan pertamanya menyapa mama dan abah tepat pukul 7.53 pagi Jumaat, 27 Mac 2009.
Puteri ketiga kami ini dimasyhurkan sempena nama Asiah permaisuri Mesir yang amat berani dan tegas hatta berhadapan dengan Raja Fir'aun yang zalim. Nur Annisaa pula adalah bersempena nama surah di dalam Al Qur'an yang memuliakan golongan wanita.
Semoga Asiah Nur Annisaa akan membesar sebagai seorang wanita solehah yang menjadi kebanggaan mama dan abah, Insya'Allah...

Walau Sekadar Nama

Asiah Nur Annisa

salammu kusambut

moga cekalmu

sekukuh wanita syurga

menaungi bayi Musa

dari kezaliman dunia

Muhammad Dhuha

walau masih terlalu asing

ku panggilmu cahaya pagi

yang memancarkan rezeki

pada mereka yang mencari

Walau kalian hadir

hanya sekadar nama

kutunggu tibamu

bersama doa...

(Karya pemblog sendiri dipetik dari laman Kapasitor)
2008-08-14 14:30:18