Tuesday, February 28, 2012

Innalillahi W Inna Ilaihi Rajiun

0 comment
Assalamualaikum wb...

Pagi  ini berlaku musibah kecil.

Tapi saat itu saya menyedari, tidak semudah itu untuk mengamalkan  konsep sabar dan tawakkal yang kerap kita baca atau bermain di bibir.

Benarlah ungkapan, cabaran yang melanda adalah ujian untuk kita sendiri menilai di tahap manakah garis iman yang kita miliki.

Lantas, bila musibah itu berlaku pagi ini, saya cuba mendidik diri untuk terlebih dahulu mengungkap

"Innalillahi wa Inna Ilaihi Rajiun"


Mungkin bagi setengah orang, terlalu kecil perkara itu untuk satu ungkapan yang kerap diluahkan apabila kita menerima khabar kematian.

Tapi, tidak salah untuk kita mendidik diri kembali kepada Allah di atas setiap perkara walaupun kecil di mata insan.

WallahuA'lam.

(Balik rumah ni, wajib kena leter dek suami.. ;(....)

Friday, February 24, 2012

Saat Aku Bersujud

0 comment


Saat aku bersujud
terasa jiwa luluh
tanpa daya dan upaya
andai tiada cintaMu
Yang Maha Esa.

Monday, February 20, 2012

Tiada yang Milik Kita

0 comment
Assalamualaikum wb...

Apa dia milik kita?

Tiada yang milik kita,
yang ada pinjaman cuma
sepanjang kembara
di dunia sementara.

Tiba masanya,
akan diambil semula
oleh Yang Empunya.

Lantas,
jangan kita gundah gulana
atas kehilangannya,
kerana tempoh pinjaman
rupanya telah sempurna.

Wallahua'lam.

Saturday, February 18, 2012

Subhanallah....

0 comment
Assalamualaikum wb...

Dalam masa 30 minit sahaja...

Pemandangan tasik Pustaka Negeri dari ruang membaca.

Kemaskini...

Gambar ketiga 20 minit kemudian...


Itulah kehidupan...

Ada masa yang tenang, ada masa bergoncang, tapi yang pastinya, selepas itu keadaan akan bertambah baik, Insya'Allah...

Thursday, February 16, 2012

Selamat Ulang Tahun (Buat Seorang Insan bernama Bang Ya)

2 comment
Assalamualaikum WB...

16 Februari
41 tahun yang lampau
telah lahir seorang insan
anugerah buat ayah bonda 
sejak dari mula


kemilaunya tak pernah pudar
walau waktu bersilih ganti
menjadi suluh 
pada insan yang berdamping
dengannya

buat kekanda tersayang
terima kasih atas segalanya
hanya Allah yang mampu membalas
jasa baktimu
terhadap kami adik- adikmu 
yang pelbagai ragam
sehingga menjadi muslimah
yang terpelihara 
jiwa dan maruah,

Barakallahu fika.

(Ditulis dengan air mata.. :)

Wajah Kenangan

0 comment
Menatap wajah di cermin diri
lembaran usia kian pudar
dimamah debu perjalanan kehidupan
yang sarat dengan cabaran dan dugaan

namun jangan kau lupakan
pada selekoh dan simpang itu
telah kau temui pelbagai wajah lain
yang menitip kenangan untuk kau abadikan
di sudut kamar ingatan
yang kini saban hari 
semakin kabur dilitup tabir zaman

walau mungkin tiba ketikanya
tiada lagi bayangan semalam
mampu kau putarkan di layar waktu
tetap terlakar di kanvas diri
lukisan peribadi berjiwa tinggi.

Monday, February 13, 2012

Apa salahku?

0 comment
Assalamualaikum wb...

Naluri setiap insan ingin untuk disenangi oleh semua; rakan, saudara mara apatah lagi pasangan dan anak- anak.

Justeru, kita berusaha untuk mengambil hati mereka yang berada di sekeliling kita dan pada masa yang sama mengelakkan dari melakukan perkara yang tidak mereka sukai.

Namun selagi kita bernama insan, tiada perkara yang dapat kita pastikan akan berlaku seperti yang kita inginkan.

Banyak kali, tanpa kita sedari ada orang yang berkecil hati dengan kita sama ada kerana perbuatan yang tidak kita sengaja, ataupun perbuatan yang tidak pernah kita lakukan langsung.

Mungkin pernah kita alami, tiba- tiba hamba Allah yang baik dengan kita memalingkan muka apabila berjumpa. Malahan, sanggup mengambil jalan lain untuk mengelakkan dari bertembung.

Masih beruntung kalau  suatu ketika kita akhirnya mengetahui sebab sebenar perlakuan tersebut. Tapi tidak mustahil sehingga bila- bila kita masih tertanya- tanya sebabnya rakan kita bersikap demikian terhadap kita.

Persoalannya, adakah kita harus menerima akibatnya, menjeruk rasa kerana tidak mendapat layanan yang sepatutnya dari seseorang walhal kita tidak melakukan apa- apa kesalahan?

Akhirnya kita akur bahawa kita tidak berupaya untuk mengatur perjalanan hidup kita, menentukan apa yang kita inginkan dan mencapai apa yang kita impikan.

 Hakikatnya, hanya Allah SWT, Yang Maha Mencipta yang mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Mungkin saat itu, amat pahit untuk kita telan, namun seandainya hati kita bulat menyerahkan segalanya kepada Pemilik alam ini, tiada lagi yang lebih manis dan indah yang boleh kita kecapi di dalam kehidupan kita ini selain dari kepuasan kembali kepadaNYA.

WallahuA'lam.

Sunday, February 12, 2012

Andai ini sujud terakhirku

0 comment


Andai ini sujud terakhirku
Anugerahkan aku husnulkhatimah
Agar rehat panjangku
Tenang dan aman

Andai ini sujud terakhirku
Lindungilah kaum keluargaku
Agar bisa kami bersua kembali
Di taman indah penyejuk hati

Andai ini sujud terakhirku
Permudahkan urusan ku
Di dunia dan di akhirat nanti
Kerana hidup dan matiku

Hanya untukMU
Ya RABBI.

Thursday, February 9, 2012

Diam Lebih Baik

2 comment
Assalamualaikum wb...

Sering kali rasa menyesal selepas mengungkap kata- kata.

Tapi

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata.....

Hadith Nabi SAW,

"Berkatalah perkara yang baik atau diam".

Kesal kerana setelah difikirkan semula, rasa macam kata- kata kita tu berkemungkinan boleh menyebabkan teman berbual kita tu berkecil hati. Silap- silap tak tidur dibuatnya bila dihambat rasa bersalah. 

Memang pada asalnya kita berniat baik untuk memberi pandangan atau nasihat, namun perasaan teman perlu juga diambil kira. Sesuai ke kata- kata kita tu kalau dilihat dari sudut pandangan si teman?

Jadi, yang paling baik ialah berfikir panjang sebelum meluahkan kata dan bukan sebaliknya. Memberi pandangan pula, jangan hanya berdasarkan perspektif kita sahaja. Nanti terjerumus dalam kes syok sendiri. Beranggapan buah fikiran kita yang paling bernas. Walhal, garam secukup rasa yang menambah kesedapan lauk-pauk rupa- rupanya telah menambah pedih bila ditabur di atas luka.

Wallahu A'lam.

Saturday, February 4, 2012

Hari Perpustakaan

0 comment


Assalamualaikum wb...

Hari ini suami ada perbincangan di Pustaka Negeri. Alang-alang, terus bawa anak2 dan sepupu2 mereka melepak kat situ.

Selalunya pada pukul 3, ada aktiviti kreativiti untuk kanak2. Sampai kat Pustaka pukul 2, budak2 ambil peluang main komputer.

Saya pulak lepak kat tingkat atas. Selalunya saya baca buku ikut tema semasa. Kali ni saya isi masa tekap corak untuk projek sulaman, hobi terbaru saya.

Gambar kat bawah adalah ruang pejalan kaki Pustaka Negeri Sarawak.





Friday, February 3, 2012

Adi Muara

0 comment


Assalamualaikum wb...

Saya pernah bercerita mengenai perjalanan puisi saya. Bermula dari sifar tanpa mengetahui apa- apa mengenai penulisan sajak, saya belajar sendiri sedikit demi sedikit.

Mula2 berkenalan secara tak sengaja dengan dunia pusia melalui bengkel anjuran DBP, saya kemudian bertatih sendiri melalui pembacaan.

Saya beli Majalah Dewan Sastera keluaran lepas dengan harga yang murah. Saya suka majalah ni sebab dia ada ruangan ulasan sajak. Saya teliti kritikan yang dibuat terhadap sajak- sajak yang disiarkan.

Saya juga membeli buku- buku antologi puisi hasil tulisan pelbagai golongan penyair dari yang tersohor seperti SN A Samad Said sehingga ke penulis kontemporari.

Buku2 koleksi puisi tersebut saya kumpul dari Kedai Buku dan jualan gudang Dawama. Banyak yang saya belum sempat baca, tapi ada juga buku yang berkali- kali saya baca.

Buku sajak yang berulang- ulang kali saya baca semestinya yang ditulis oleh Pak Samad. Saya suka sajak2 nya yang bagai mengusik dan mencabar saya untuk memahaminya.

Tetapi, ada sebuah buku puisi ni, yang saya akan kembali kepadanya setiap kali saya nak menyegarkan kembali minda puisi saya selepas saya berhenti sejenak dari ruang puisi.

Buku antologi puisi Citra terbitan DBP 2006 hasil tulisan penyair Adi Muara ni merupakan di antara buku- buku puisi awal yang saya miliki.

Saya suka baca antologi ni sebab bahasa yang digunakan adalah bahasa yang mudah saya fahami. Namun pada masa yang sama, ia diolah dengan menarik untuk masih mampu mencabar daya faham saya untuk mencari makna di sebalik sajak2 tersebut.

Dan hari ini saya menyelak lembaran Citra semula untuk menghirup indahnya bahasa ibunda kita.

Kembara I
(Antologi sajak Citra, Adi Muara, Terbitan DBP, 2006)

Di pundak langit
ada kembara
menari sayang
lagu biru
di sudut awan
ada seniman
menulis sayu
cerita ungu
dan kelabu
di pinggir danau
perawan menangis sendu


Thursday, February 2, 2012

Kata tanpa Suara

0 comment


Ada ketika
kita kehilangan kata

suara yang dilontar
bergema di dalam diri

yang mendengarnya
hanya jiwa yang resah
mendesah meraung
mengharap akan ada
yang mengerti
tanpa perlu suara itu menjengah
gegendang telinga insan

namun ia akan tetap tenggelam
kian kelemasan
tanpa seorang pun
yang hadir melemparkan
pelampung keselamatan
dan menarik keluar
dari lubuk kecelaruan
yang dalam

dan ketika itu
yang mampu bersuara
hanya jemari longlai
di dada puisi.

Lembayung kedamaian

0 comment


Senja merah di kaki langit
kian menyerlah

cahayanya lembut 
mesra menyapa sang pengembara
berehatlah sebentar
di lembah ini

telah sekian lama
meredah hutan dan rimba
belayar di laut bergelora
berpanas di gurun gersang

namun pencariannya
tiada penghujung
kerana lembayung kedamaian
yang dicari
nun bersemadi
jauh di sudut hatinya sendiri.


Wednesday, February 1, 2012

Syukur Ya Allah

2 comment


Assalamualaikum wb...

Sekilas pandang, kehidupan ini memang macam sukar sangat.

Setiap ketika  diuji dengan pelbagai cabaran. Semalam kereta rosak. Minggu lepas anak demam. Bulan lepas paip bocor(sekadar meyebut beberapa contoh, tiada berkenaan dengan sesiapa yang masih hidup mahupun yang  telah meninggal dunia).

Sehingga, tanpa disedari, keluhan dilepaskan kerana mungkin terasa tidak sanggup untuk menangani cabaran dan ujian yang bersilih ganti.

Namun, pada hakikatnya, kita hanya akan "melihat" apa yang kita pilih untuk nampak di mata kita.

Justeru, berapa banyak nikmat kehidupan yang telah kita terima, jarang sangat kita hargai.

Semalam, suami saya ke klinik sebab matanya sakit. Bukan kerana dijangkiti sakit mata, tetapi kerana tercucuk kaki Barbie.

Hairan kan? Banyak tempat lain, kat mata suami saya juga dia nak sepak. Malahan sewaktu di klinik pun, menurut suami, petugas2 kat situ pun kata ini kali pertama mereka terima kes sakit mata sebab kaki Barbie.

Inilah kisahku... :)

Alkisah, suatu malam hujung minggu lepas sewaktu kami berehat sebelum tidur, suami dan Asiah bermain sembunyi. Kononnya dia nak suruh Asiah masuk tidur, jadi dia pun tarik selimut sampai ke kepala buat- buat tidur. Saya tak masuk campur sebab sebab buat kerja sendiri.

Tiba- tiba suami ambil Barbie dan buang ke luar bilik. Rupa2nya, sewaktu dia jenguk muka keluar dari selimut, benda terakhir yang dia nampak ialah kaki Barbie yang Asiah baling.

Memang merah betul mata suami waktu tu. Berair macam menangis. Memang menangis kot. :)

Nak marah lebih2, pun budak kecik. Waktu tu tak pergi klinik. Cuma bubuh Eye-Mo.

Malam kelmarin mata suami sakit balik terutama bila terkena pancaran lampu. Siangnya matanya bertambah merah. Saya risau sangat. Suami ke klinik tapi saya tak dapat temankan sebab ramai kawan pejabat yang cuti dan menghadiri kursus. Cuma saya dari semasa ke semasa telefon nak tahu perkembangan.

Bila suami kata yang doktor kata mata dia tak apa- apa, cuma bengkak, saya rasa syukur sangat.

Dan di saat itu, saya rasa apa- apa ujian kehidupan selama ni sangat kecil dibandingkan dengan berita baik yang saya terima.

Kesimpulannya, pilihlah untuk "melihat" nikmat yang Allah berikan setiap saat. Dan kita akan menyedari bahawa tidak cukup setiap ucapan syukur yang kita luahkan untuk membayarnya...

Malahan, diuji pun kita harus bersyukur kerana setiap ujian itu Allah datangkan dengan jalan penyelesaiannya. Yang penting, harus berfikiran positif.


-Count Your Blessing-