Posts

Showing posts from 2008

AKu kini m engerti

Ibu tersulam sabar di jiwamu sembilan bulan sepuluh hari aku kini mengerti

Pelangi Pagi- Puan Khadijah Hashim

Hari ini saya berasa gembira. Kenapa? Ada beberapa perkara yang menggembirakan hati saya. Pertama, semalam saya telah terjumpa beberapa buah buku yang ditulis oleh penulis-penulis wanita tersohor tanahair seperti Puan Fatimah Busu dan Puan Khadijah Hashim. Sebenarnya buku-buku tersebut pernah saya baca semasa saya masih kecil. Ibu saudara saya, seorang guru gemar membeli pelbagai jenis buku dan saya kerap "menyelongkar" almari buku beliau. Salah satu daripada buku-buku yang saya jumpai bertajuk "Pelangi Pagi" tulisan Puan Khadijah Hashim. Buku ini menyimpan kenangan bagi diri saya. Sempena ulang tahun saya yang kesepuluh, ibu saudara saya seorang guru tersebut telah menghadiahkan saya buku novel Pelangi Pagi dengan pesanan sekiranya saya tidak lagi berminat dengan buku tersebut, saya hendaklah mengembalikan buku tersebut kepadanya. Pesanan ini menunjukkan betapa bernilainya buku tersebut kepadanya dan buku bernilai tersebut telah dihadiahkan kepada saya yang masih h

Orang berbudi kita berbahasa

Adat orang kita, "Orang berbudi kita berbahasa". Namun atas nama globalisasi dan perniagaan, saya sendiri tidak tahu telah dicampak ke lautan mana adat budaya kita. Baru sebentar saya menerima panggilan telefon dari satu nombor yang tidak dikenali. Berdasarkan adat bahasa, salam diberi harus disambut, saya menjawab panggilan tersebut. Keadilan juga harus diberikan kerana setiap orang berhak diberi peluang untuk menyatakan hasratnya. Sebaik sahaja punat jawab yang berimejkan gagang telefon berwarna hijau ditekan, suara halus wanita yang amat sopan menyapa telinga saya dengan salam. Salam yang diberi saya jawab dengan nada sopan yang serupa. Dengan penuh kelembutan dan berbudi bahasa, pemilik suara menyatakan hasratnya untuk membuat penghantaran kad penghargaan untuk pemilik kad kredit yang masih aktif yang telah bernasib baik terpilih untuk skim tersebut. Saya mengiakan sebagai isyarat bahawa beliau boleh meneruskan cerita beliau. Namun apabila beliau bertanya mengenai bank ya

Batuk

Mak Jah menarik nafas panjang. Dadanya terasa pedih seolah-olah dicucuk jarum. Tangan kanannya mengurut-urut dada. Mungkin dapat mengurangkan sakit yang dirasainya sekarang. Dilepaskannya penyapu lidi yang sedang dipegangnya ke tanah. Perlahan-lahan Mak Jah melangkah ke arah pangkin kayu di bawah rumah. Selipar yang mengalas kakinya diseret di atas tanah. Serasa tidak berdaya dia hendak melangkah ke pangkin yang hanya beberapa tapak sahaja di depannya. Mak Jah dicengkam hairan. Akhir-akhir ini dia mudah letih walau melakukan kerja ringan. Mak Jah menghempaskan punggungnya ke pangkin. Belakang tapak tangannya menyapu dahi yang dibasahi sedikit peluh. Mata Mak jah dilontarkan jauh ke tengah bendang yang menghijau. Sayup-sayup tersergam bukit-bukit yang melatari pemandangan desa yang indah itu. Mentari petang memancar dengan lembut. Mata Mak Jah terasa layu. Mengantuk dibuai bayu. "Assalamualaikum, Mak Jah," suara halus menyapa telinga Mak Jah. Dia menoleh ke arah suara tersebu

Rumah

Sepanjang tempoh tiga puluh enam tahun aku menyedut udara segar di bumi Allah ini tanpa disedari telah cukup banyak juga aku mengembara. Walau mungkin tidak seperti orang lain yang telah menjenguk ke seluruh pelosok dunia, namun boleh dikatakan kehidupanku tidak terhad kepada satu kediaman sahaja. Menurut ibu, kami tiga beradik yang tua dilahirkan di kampung asal nenek dan datuk kedua-dua belah ibu dan abah di pinggir Sungai Sarawak. Namun, samar-samar dalam fikiranku, kami pernah menghuni rumah kayu di tepi jalan yang sunyi. Rumah tersebut terletak berhampran dengan hutan. Di belakangnya terdapat bukit batu kapur. Terbayang juga di ruang mataku sebuah perigi yang jernih airnya. Semasa tinggal di rumah itu ibu melahirkan anak perempuannya yang keempat di Hospital Kuching. Namun, tiba-tiba kami kembali semula ke kampung. Menurut ibu, kami terpaksa berpindah balik ke rumah nenek di kampung kerana risaukan keselamatan kami anak beranak ketika abah bekerja. Memang abah bekerja syif malam s

Monolog

Ruang kosong yang menghuni cepu fikirnya dikuak perlahan. Jemarinya mula rancak bertandak di atas petak huruf papan kekunci. Satu demi satu aksara muncul di skrin komputer di depannya. Matanya tajam menancap bait-bait kata yang mula bercantum membentuk patah ayat. Dia tekun menyusun aksara-kasar tanpa menghiraukan sama ada telah melahirkan sebarang makna. Saat itu dia enggan mengalah kepada kotak mindanya yang menghantar mesej kononnya tiada sebarang maklumat yang ada. Dia harus menafikan fakta itu yang tidak semestinya tepat. Dia percaya bahawa dialah yang seharusnya mengawal aktiviti mindanya dan bukan sebaliknya. Dia harus yakin. Dan dia harus menghanttar mesej itu kembali kepada pusat pemproses data di mindanya. Aku yang mengawal, bukan dikawal. Dia berbisik tegas.

Bukit

Sinar mentari petang terdampar di meja kerjaku. Pandanganku sedikit silau. Aku meninjau ke luar tingkap lewat cermin kaca di sebelah kiriku. Nun jauh di kaki langit tersergam deretan bukit. Nampak membiru. Puncaknya jelas kelihatan seolah-olah memesrai awan-gemawan yang menipis di dada langit..

Makmal kehidupan

Deria hidungku mengesan bau yang kurang menyenang. Abah yang sedang berehat di katilnya memandang ke arahku. Secarik senyum terukir di bibirnya yang pucat. Aku mengesan mesej simpati di sebalik kerlip bening matanya. "Angah makan kat luar sikit," bisiknya sambil bibirnya menjuih ke ruang wad sebelah. Aku yang sedang menyudu nasi putih berlauk ikan terubuk menu hospital ke mulut terhenti seketika. Petang tadi sebaik sahaja tamat waktu pejabat aku terus bergegas ke hospital. Risaukan adikku yang telah menemani Abah semenjak tengahari, aku tidak singgah di kafeteria hospital yang terletak di sebelah tempat letak kereta. Lantas, nasi Abah yang berbaki di dalam bekas makanan hospital terus aku pindahkan ke dalam bekas plastik untuk mengalas perut. Bisikan Abah kubiarkan sahaja berlalu. Baki makanan dalam bekas plastik kuhabiskan setakat yang mampu. Sekurang-kurangnya boleh lagi aku bertahan sehingga giliran ku tamat malam nanti. Alhamdulillah, aku bertahmid sendiri. Kasih sayang A

nyata atau maya

Di ruang ini maya bertemu nyata bercumbukan rasa sehingga kita lupa adakah hidup ini nyata atau khayalan maya semata

Kita bernama manusia

Selagi kita bernama manusia keluh adalah nafas yang menghidupkan resah adalah degup yang menjanjikan kewujudan pada titik hari esok

To show, not to tell...

Cerpen yang bermutu cenderung untuk bercerita dan bukannya memberitahu. Betulkah itu?. Dalam bahasa Inggeris ia berbunyi " To show and not to tell". Sebagai contoh, Ahmad berasa sedih adalah memberitahu. Bercerita pula membawa pendekatan begini, " Seulas senyum yang tadinya mekar di bibir Ahmad tiba-tiba lenyap. Perlahan-lahan awan kesayuan meredupkan sinar kejora di matanya. Pantas dia mengedip-ngedip kelopak matanya yang mulai lembap. Biarlah di mata rakan-rakannya dia tetap seorang lelaki yang berjiwa kasar." Beberapa hari yang lepas aku berpeluang merayapi blog beberapa orang penulis tersohor. Mana tahu aku boleh mengutip petua-petua untuk menulis karya yang bermutu. :). Namun, sebaliknya kian lama, keyakinan mereka dalam menghasilkan karya menyebabkan aku kian tenggelam ke dalam lubuk kecewa. Rasanya sampai bila-bila pun mungkin tidak bisa menyalin gaya mereka walau hanya sebesar hama. Tapi ada juga satu dua penulis yang bernada selamba yang bisa membe

Jeda

" Assalamualaikum Bapa," saya memulakan bicara. Jeda. Kepala lelaki yang saya panggil bapa itu masih tunduk. Salam saya seolah-olah tidak memberi apa-apa makna kepadanya. Saya enggan mengalah. "Assalamualaikum Bapa," saya mengulangi salam dengan nada serupa. Perlahan-lahan kepalanya didongak. Mata saya ditenungnya dengan tajam. Saya yang sedang duduk bersila berhadapan dengannya mulai risau. Mulutnya berkumat-kamit seolah-olah menjawab salam saya. Hati saya dicengkam sedikit resah. Rambutnya yang putih panjang mencecah bahu bergerak-gerak dihembus bayu laut. Dia masih tetap dengan diamnya. Suasana subuh masih lagi pekat dengan kedinginan. Sekali-sekala deru ombak menghempas pantai menyapa gegendang telingaku.

Gobok

Kolam hatiku tiba-tiba berkocak. Jalur rindu perlahan menyusup masuk ke kamar perasaan ku yang telah lama kelam. Kian lama cahaya nostalgia kian menyebar ke segenap ruang. Pandang mata hatiku merayap liar. Gobok resah yang selama ini terselindung di sebalik kegelapan sedikit demi sedikit menampak bayang. Aku terpana. Terlalu lama. Terlalu usang. Sehingga aku sendiri hampir terlupa akan kewujudannya.

Rintihan seketul hati

Telah sekian lama merayap dan meniarap di segenap nadi dan saraf menghisap dan menyerap toksik dengki dan khianat yang berakar umbi di kumbah hati yang kian mati wahai insan lontarkan segumpal simpati buat seketul hati yang kian lesu semakin bisu justeru terlalu tepu terlantar di bumi berdebu...

Sketsa kehidupan

Seorang doktor gigi ingin mengetahui komen saya mengenai satu persoalan yang mungkin tiba-tiba muncul semasa beliau mengintai-ngintai gigi dan mulut pelanggannya. Sms nya berbunyi berikut " Dulu saya tak suka Ina Naim tapi meminati Suhaimi. Sekarang saya berpendapat Ina sesuai dengan Suhaimi. Saya juga tidak menyukai Ikin(Mawi) tetapi berpendapat kedua-duanya memang sesuai di antara satu sama lain". Secara peribadi saya berpendapat inilah yang dinamakan jodoh. Setiap insan akan menemui jodohnya sendiri. Justeru, tidak semestinya orang yang pertama yang kita sukai itu jodoh kita. Malahan pasangan suami isteri yang telah berkahwin pun belum tentu itulah jodohnya sehingga ke penghujung hayat. Sebijaknya, kita harus menerima hakikat bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Illahi. Dan yakinlah bahwa Allah Maha Mengetahui. Sebaliknya pengetahuan kita terlalu amat cetek hatta berguni "phd" yang dikendong. Dalam Al-Quran sendiri ada dinyatakan bahawa pengetahuan Allah

Rakyat cukup makan

Menelusuri pelbagai blog merupakan salah satu cara untuk memastikan kita sentiasa mengikuti perkembangan semasa selain dari mendapat maklumat dari pelbagai media arus perdana. Tanpa melihat dari sudut kesahihan maklumat yang diutarakan, lambakan blog tempatan pastinya tidak dapat lari dari membincangkan isu-isu hangat terkini ternyata memberi peluang kepada masyarakat untuk menilai dari sudut lain. Hasilnya, sebarang rumusan sudah pasti bakal disimpulkan dan lebih terperinci. Sebagai contoh, isu debat di kaca tv yang baru sahaja berlalu turut mencuri perhatian pemblog-pemblog. Pelbagai pendapat diutarakan. Banyak yang mengkritik dan tidak kurang pula yang menyokong hujah-hujah pendebat. Namun, benar seperti kata salah seorang dari mereka, walaupun mungkin terdapat golongan rakyat yang tidak begitu memahami makna yang tersirat di sebalik angka dan statistik yang dilaungkan, tapi pihak yang berbicara dengan bahasa rakyat pasti akan lebih diberi perhatian. Justeru, golongan negara

Kenapa?

Menatap akhbar pagi ini mataku hanya menyorot ruangan gosip artis yang sudah jelas ketidakjelasannya Menonton televisyen malam tadi langkah kuorak ke kamar tidur saat jarum jam berengsot ke angka lapan ingin aku berteriak biar jiran sebelah terdongak adakah aku golongan alpa yang tidak lagi berminat kepada fakta yang terpapar di media perdana?...

Skrin Komputer

Jari jemariku cekatan menari di atas papan kekunci. Mataku pula menancap ke skrin komputer peribadi di atas meja kayu beralas kaca di hadapanku. Bila aku perlu mengeluarkan arahan untuk dilaksanakan oleh pusat pemprosesan utama tangan kanan ku menggagau tetikus yang setia tercatuk di hujung papan kekunci. Jari telunjukku mengetik-ngetik bahagian depan sebelah kiri tetikus yang menyerupai belahan kaki kuda. Serentak terpapar ikon mesin masa bersaiz mini di skrin menandakan ia sedang memproses arahan yang diberikan. Kekadang aku berasa lebih mudah berurusan dengan mesin daripada berbicara dengan manusia. Ini bukanlah bermakna aku bersikap autokratik. Di pejabat aku lebih cenderung berkomunikasi dengan rakan sepejabat secara terbuka. Sesiapa sahaja berhak meluahkan pandangan dan pendapat tanpa perlu berasa risau. Namun, akhir-akhir ini bibit-bibit tekanan mula bertputik dalam diriku. "Puan, saya kurang bersetuju dengan sikap puan yang terlalu mendengar kata Ketua Pegawai Eksekutif sy

Bulan dan Mentari- Zaharah Nawawi

Mataku terasa berpasir. Tubuhku didakap keletihan. Namun kugagahkan jua untuk menyelesaikan dokumen-dokumen yang bertimbun di ruang berlabel "Masuk" di sudut kanan mejaku. Tengahari semalam dalam perjalanan balik dari kuliah, aku singgah sebentar di toko buku kegemaranku yang terletak di Jalan Haji Taha. Tujuan asal hanya ingin melengkapkan koleksi majalah Dewan Masyarakat tahun 2007 dalam simpananku. Dengan harga RM2 senaskah aku perlu mendapatkan lapan naskah lagi. Sebaik sahaja melangkah masuk ke toko tersebut, aku terus menuju ke arah tangga yang mengarah ke ruang atas kedai. Selok-belok kedai tersebut memang sudah sebati dalam benak mindaku. Tiba di ruang atas kedai aku terus menuju ke ruang belakang yang menempatkan majalah-majalah tahun terdahulu keluaran DBP. Selepas membelek satu-persatu aku hanya berjaya memperolehi lima naskah majalah sedangkan masih ada tiga keluaran lagi untuk mencukupkan koleksiku. Dihambat sedikit kecewa, aku mengarah ke rak yang mempamerkan pe

Abi dan TV

Matanya bersinar menyorot dokumen kecil dibalut plastik bersaiz 7cm x 4 1/2cm di tangannya. Terpapar di sudut kad wajahnya yang ceria ayu bersolek nipis. Hatinya dibalut bangga. Akhirnya dia berjaya memperolehi lesen memandu. Namun sinar suria di wajahnya tiba-tiba terlindung dek awan muram yang gelap. Hatinya sayu. Terlalu lama dia memendam rasa itu. Di mata rakan-rakannya dia seorang yang ceria dan jarang emosi. Namun baginya dia lebih selesa menyimpan cerita peribadinya kemas di gobok hati. Bukan prinsipnya untuk menjaja pahit manis hidupnya semata-mata untuk menagih simpati orang lain. Baginya sokongan orang tidak akan menguntungkannya sesen pun manakala umpatan orang pula mustahil akan meluakkannya walau secubit. "Abi, Kak Anjang nak ambil lesen memandulah, dah mendaftarpun kat sekolah memandu petang tadi'," Ena bersuara manja lewat talian telefon. "Hah, eloklah tu Kak Anjang. Lama dah Abi suruh. Kak Anjang kata nak pakai duit Kak Anjang sendiri. Sekarang Kak An

Manifestation of Sarawak Cultural Arts

Mesco 2008 Manifestation of Sarawak Cultural Arts ENHANCING THE SARAWAK CULTURAL ARTS Venue : Dewan Suarah Kuching Date : 25th and 26th July 2008 Time : 8.00 p.m CAPERENA PRESENTS AUTHENTHIC and CREATIVE ARTS PERFORMANCES IN DANCE, MUSIC AND THEATRE BY WELL-KNOWN GROUP ORGANISED BY: Cultural arts Performers’ Arena Ticket RM 10 available at: MSN Gymnasium Counter, Dewan Suarah Complex Kuching Or CAPERENA Contact Person: Encik SHARKAWI BIN HAJI AMIT 0198394222 OR 016 8878090 OR 082 259468 (o)

Menganyam tikar

Adik raup muka dengan kedua-dua belah tapak tangan. Adik buat seperti Nenek Wa selalu buat sewaktu sedang ambil wuduk. Lutut Adik terasa lenguh. Mak Jah masih buat macam Adik tiada di kedainya. Dia masih lagi tergodek-godek melayan tiga orang lelaki kurus pendek dari kapal besar di tengah sungai. Anak dara diapun masih tergodek-godek sama. Sesekali telinga adik ditusuk suara langsing anak dara Mak Jah mengilai. Adik menggeser sedikit mengurangkan lenguh. Hati adik dimamah kecewa. Mak Jah macam tidak memahami betapa Adik terpaksa berjalan jauh dari rumah nenek di hilir kampung untuk datang ke kedai Mak Jah. Lainlah kalau Adik duduk di rumah Nenek Wa. Rumah Nenek Wa terletak di hulu kampung. Rumah Nenek Wa terletak betul-betul di kaki bukit. Rumah Nenek Wa jauh dari sungai tidak macam rumah nenek. Semasa kecil, Abah suka bermain sorok-sorok di atas bukit di belakang rumah Nenek Wa. Nenek Wa kata Abah manja sebab dia anak bungsu Nenek Wa. Abah bukan macam Pak Ngah yang semenjak kecil lebi

Ikan Nyolong

Tangis adik mulai reda. Adik teringat emak yang belum balik dari pekan. Awal pagi tadi emak bertolak ke pekan bersama Abah. Selalunya kalau emak dan abah pergi ke pekan, mereka akan belik lewat petang. Adik ikut Kak Long hantar emak dan abah hingga ke pengkalan. Kak Long kata ekspres air akan singgah di pengkalan untuk menurunkan penumpang yang datang dari kampung Muara Tebas. Adik tanya di mana letaknya kampung Muara Tebas. Kata Kak Long kampung Muara Tebas terletak berdekatan dengan pintu laut besar. Ekspres air akan hantar emak dan abah sampai ke pengkalan ekspres di Pending. Lepas itu emak dan abah akan naik bas biru nombor ke pekan. Kak Long sebut nombor bas biru yang emak dan abah naik tetapi Adik sudah lupa. Adik memang mudah lupa. Malam tadi sebelum tidur emak ukur kaki adik dengan tali rapia warna merah jambu. Kaki Kak Long pun emak ukur. Emak kata dia dan abah nak beli kasut baru untuk Adik dan kak Long. Adik memang suka kasut baru. Adik suruh emak beli kasut warna merah tera

Rintihan marhaen

Jelaskan kepadaku apakah makna kemakmuran andai detik demi detik menjerut urat leher orang kebanyakan angkara nilai ringgit kian kontang dek teriknya mentari inflasi adakah ia bermakna resah saat satu demi satu anak-anak marhaen mencanak data pengangguran lantaran mainan teori Adam Smith tiada lagi penghasilan di kilang kerna tiada permintaan barangan maka berdegarlah kata bijak pandai cergaskan keinginan pengguna dengan giuran kemudahan belian dalam bentuk pinjaman ternyata rakyat kebanyakan yang ditadah kesengsaraan demi mengempukkan poket dan membuncitkan perut kapitalis yang sedia kaya jawablah kemusykilanku adakah kami pengguna alat penyubur ekonomi negara yang didamba sentiasa untuk memakmurkan negara ...

Kapal Besar

Adik masih tidak berganjak dari kedai Mak Jah. Adik nekad tidak akan mengalah selagi Mak Jah tidak menunaikan permintaannya. Mata adik yang berair menancap ke wajah Mak Jah yang sudah mula memerah. Di mata adik, Mak Jah sudah berubah menjadi harimau lapar. Macam harimau sarkis. Tapi harimau sarkis jinak. Adik melontar pandangan ke luar kedai. Mata adik mencerlang jauh ke tengah sungai. Adik nampak kapal- kapal besar berlabuh. Adik sempat kira satu persatu. Ada empat buah semuanya. Muncung kapal menjuih macam muncung itik serati nenek yang gemar mengejar budak-budak yang bermain di depan rumah nenek. Emak kata kapal-kapal besar itu semuanya datang dari luar negara. Adik tanya emak di mana letaknya luar negara. Emak akan senyum lebar sambil memicit hujung hidung adik yang kecil. Emak akan gomol adik kuat-kuat sampai adik tidak dapat bernafas. Emak kata luar negara tempat yang jauh. Adik tanya lagi," Jauh tu terletak di mana mak?". Emak akan gelak kuat-kuat. Adik suka kalau em

Badut dan sarkis

Adik menangis teresak-esak. Butir jernih air mata berjejeran di pipinya yang gebu dan montok. Disekanya perlahan-lahan dengan belakang tangan kanannya. Dia amat tidak faham. Mengapa Mak Jah, tuan punya kedai runcit di hujung kampung enggan memenuhi hajatnya. Sedangkan ini bukan kali pertama dia melakukan perkara itu. Kedai Mak Jah yang gemar berkebaya merah hati itu memang kerap dikunjunginya. Terutama apabila emak keluar ke pekan. Apabila emak hendak pergi ke pekan, dia akan berbedak seperti Mak Jah. Cantik. Emak akan pakai baju kurung sedondon dengan kain sarung susun. Emak akan keluarkan tudung barunya dari almari pakaian. Adik akan ambil peluang bermain dengan minyak wangi emak. Botol berwarna kuning air itu hanya akan muncul apabila emak pergi ke pekan. Adik akan setia duduk di samping emak. Emak sapu bedak rata-rata di seluruh wajah. Selepas itu emak akan tepuk-tepuk serbuk berwarna merah jambu di pipi. Warna coklat di atas kelopak mata. Adik gelak terkekeh-kekeh. Adik teringatka

Industri Hiburan kian Goyah...

Suatu ketika dahulu, tidak pernah terdetik di minda kita bahawa industri musik tanah air akan turut diwarnai oleh alunan lagu-lagu nasyid kontemporari yang mengajak ke arah nilai- nilai murni dan syaksiah terpuji. Malahan lagu-lagu nasyid hanya terhad kepada irama padang pasir yang terikat kepada persembahan yang kaku dan membosankan. Namun pada hari ini, irama nasyid kontemporari mampu berbangga kerana ia telah berjaya mencetuskan fenomena baru di dalam industri muzik tanah air. Dan anjakan budaya ini berjaya diwujudkan kerana keberanian dan keyakinan untuk menongkah arus muzik perdana yang telah ditunjukkan oleh Kumpulan Raihan yang dianggotai pada masa itu oleh Nazrey, Almarhum Zairey, Amran, Che Amran dan Bakar. Situasi ini membuktikan bahawa pada hakikatnya khalayak ramai sentiasa tercari-cari alternatif kepada kecenderungan arus perdana untuk mengisi kekosongan jiwa. Namun yang kerap terjadi, amat kurang golongan yang berani mengambil risiko untuk mencetuskan pembaharuan yang men

Lina Maisara: Kesempurnaa

Lina Maisara. Memikirkan nama itu sahaja sukmaku bisa mengawang ke langit ketujuh. Gadis ayu dari bandar kecil di tanah utara itu memang cukup sempurna di mataku. Bicaranya tegas. Anak sulung dari tujuh beradik, sikap berdikarinya telah terasuh sejak kecil. Ayahnya nelayan yang tabah. Ibu pula setia membantu dengan berniaga ikan tahai dan pelbagai kuih asli di pasar tamu di pinggir sungai. Lantas Lina Maisara menjadi seorang gadis yang mendambakan kesempurnaan. Di bahunya terpikul harapan ayah bonda untuk meringankan beban keluarga. Seusai kuliah di peringkat diploma, Lina Maisara menjawat jawatan Penolong Pegawai Akaun. Dan takdir itu menemukan dua hati yang hauskan kasih sayang sesama insan. Cinta pandang pertama menjadikan kami sepasang merpati dua sejoli di pejabat. Namun obses Lina Maisara terhadap kesempurnaan tidak pernah bernoktah. Di jarinya yang lentik, setiap laporan akan diperincikan sehingga ke angka perpuluhan. Kesilapan menaip bukanlah alasan yang dia boleh terima denga

Lina Maisara

Jarum panjang jam dinding menunjukkan angka tiga. Masih ada lebih kurang empat puluh lima minit lagi sebelum temujanjiku yang telah direncanakan. Kopi panas kuhirup perlahan. Kehangatannya menjalar ke seluruh urat saraf. Aku menarik nafas panjang. Dinding kantor yang berwarna kuning terang tidak lagi menarik perhatianku. Aku mula tenggelam dalam pusaran kenangan yang mengheret aku kian jauh. Jauh ke lubuk kekecewaan yang teramat dalam. " Assalamualaikum. Saya Lina Maisara, pegawai baru di Cawangan Kewangan", suara lembutnya mengetuk gegendang telingaku. Aku mendongakkan mukaku. Mata nakalku menyeluruh wajah polosnya yang dibaluti tudung hijau daun pisang gaya Wardina. Baju kurung batik Malaysia warna kuning pinang bercorak bunga hijau tua meruntun hatiku. Mata beningnya kurenung. Gadis Melayu Terakhir rupanya masih wujud di zaman ini, aku sempat bermonolog. Cepat-cepat dia menundukkan pandangan. Tiba-tiba suara mendehem mengembalikan kewarasanku. Wajah nakal Puan Mariah terse

Di tepi pantai

Kepalanya didongakkan sedikit. Kedua-dua kelopak matanya ditutup kejap. Perlahan Amira membuka kelopak matanya. Direnungnya tompokan awan hitam yang berselerakan di langit. Suasana di tepi pantai itu tidak begitu meriah. Hanya seorang dua pengunjung yang masih merayau-rayau sambil menikmati suasana petang. Pohon-pohon kelapa bergerak seperti penari-penari inang melentokkan badan. Fikirannya kusut. Kewarasannya hampir luput. Pertimbangannya goyah. Pandangan mata hatinya semakin kabur. Hati Amira betul-betul terbakar. Usaha murninya selama ini diketepikan selayak sisa makanan yang tidak diperlukan lagi. Yang pastinya akan mengenyangkan hanya anjing dan kucing yang bakal menggeledah tong sampah di tepi pagar rumahnya. Amira menanam tekad. Dia harus kembali kepada kewarasan dan pertimbangan kukuh sebelum membuat sebarang keputusan. Perlahan-lahan dia bangun. Serasa satu beban yang amat besar telah terlepas dari pundaknya. Langit kian cerah dan awan-awan hitam mula berarak pergi. Amira yaki

Lu Fikirlah sendiri

" Saya terpaksa kurangkan komisyen awak kerana kos barangan telah meningkat", Encik Syarif bersuara tegas. Memek mukanya jelas menunjukkan kerisauan seolah-olah hanya dia seorang yang menghadapi masalah barang mahal. "Baik encik, saya faham. Keputusan ini pasti mampu membantu kedudukan kewangan syarikat secara keseluruhan", Mamat mengangguk-angguk kepalanya menunjukkan yang dia faham masalah majikannya. Kalau boleh, mahu dia memberi kesemua wang gajinya untuk membantu meringankan beban majikannya. Namun jauh di dalam hatinya berbisik, "Tambah pokai lah nampaknya aku". "Untuk mengurangkan beban awak, saya akan bayar upah awak setiap minggu bukan secara bulanan seperti sekarang," serentak air muka Encik Syarif bertukar lembut. Dia betul-betul mengambil berat mengenai kemaslahatan pekerja bawahannya. Maklumlah, semua pekerjanya bergantung hidup dengan gaji yang diperolehi dari syarikatnya. "Alamak encik, kebanyakan perbelanjaan saya diatur

Kelebihan puasa di Bulan Rejab (Petikan e-mel)

Pada 4 Julai 2008 (Jumaat) kita memasuki bulan Rejab. Bulan Rejab adalah bulan Allah swt. Let's overview ada apa di sebalik bulan Rejab itu. Diriwayatkan bahwa Rasulullah saw telah bersabda, "Ketahuilah bahwa bln Rejab itu adalah bulan ALLAH swt, maka:" 1. Barang siapa yang berpuasa 1 hari dalam bulan ini dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH swt 2. Dan barang siapa berpuasa pada tanggal 27 Rejab 1429h/Isra Mi'raj (Rabu, 30 Julai 2008) akan mendapat pahala seperti 5 tahun berpuasa 3. Barang siapa yang berpuasa 2 hari di bulan Rejab akan mendapat kemuliaan di sisi ALLAH swt 4. Barang siapa yang berpuasa 3 hari yaitu pada tanggal 1, 2, dan 3 Rejab (4, 5, 6 Julai 2008) maka ALLAH swt akan memberikan pahala seperti 900 tahun berpuasa dan menyelamatkannya dari bahaya dunia dan seksa akhirat 5. Barang siapa berpuasa 5 hari dalam bulan ini, insyaallah permintaannya akan dimakbulkan Allah swt..InsyaAllah 6. Barang siapa berpuasa 7 hari dalam bu

Lidah Fitnah

Lidah fitnah yang merah terjulur menjilat deretan ketenangan di jalanan panjang berliku dan berkerikil tajam berbisa jejak simpati kian lenyap degup insani kian senyap ditelan darah hitam yang mengalir dari kumbah ketamakan manusia tanpa kemanusiaan...

Kafe Francais di Pusat Pengajian Tinggi

Rempuhan teknologi komunikasi dan maklumat ternyata telah melakarkan lanskap baru dalam kehidupan masyarakat hari ini. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan tiada aspek yang terkecuali dari mendapat kesan atau tempias dari fenomena luar biasa tersebut. Malahan ia mampu mewujudkan pelbagai sub budaya baru, sama seperti semasa Revolusi Perindustrian suatu waktu dahulu. Penciptaan teknologi mesin yang membolehkan pengeluaran produk secara besar-besaran telah mengakibatkan perubahan besar pada institusi keluarga terutama anjakan peranan isteri, ibu dan wanita. Jika sebelumnya semasa Revolusi Pertanian menekankan peranan suami atau bapa dalam memikul tanggungjawab menyara keluarga, pembukaan banyak kilang yang memerlukan tenaga kerja yang banyak, memberi peluang kepada golongan wanita membantu untuk menyumbang kepada meningkatkan pendapatan isi rumah. Hal ini seterusnya secara langsung mahupun tidak mengubah struktur dan cara hidup masyarakat pada waktu itu termasuklah dari aspek pendidikan.

Masjid Jamek

Tanganku menolak pintu kayu berwarna coklat gelap. "Selamat pagi Encik Razif," suara Marina yang gemersik menyapa kedatanganku. Pembantu peribadiku sejak tiga tahun lepas itu memang sentiasa datang awal ke pejabat. Tidak pernah sekali dia lewat tanpa sebab. "Pagi ni pukul sembilan Encik Razif ada temujanji dengan wakil Syarikat Berjaya Maju yang baru. Pukul tiga petang pula ada mesyuarat pengurusan di bilik mesyuarat utama", Marina membacakan jadual rasmiku untuk hari itu. Tangannya cekatan menyusun fail-fail yang berselerak di atas mejaku. Pasu bunga bercorak etnik Sarawak yang sudah beralih tempat di letakkan semula ke sudut meja. Bunga mawar merah, kuning dan biru berceracak terjulur dari mulut pasu. Seolah-olah megah ditakhtakan di meja kantor walaupun pada hakikatnya tidak seindah bunga asli. Seketika kemudian Marina keluar. Tidak sampai lima minit, Marina berlenggang masuk dengan secawan kopi panas ditatang. Sebelah lagi tangannya menggenggam buku nota. Aroma

Pertemuan di lif

Sebaik sahaja pintu lif terbuka, dia melangkah masuk dengan yakin. Bibir nipisnya mekar dengan senyum seolah-olah pagi itu merupakan pagi yang bertuah baginya. Hari itu dia mengenakan baju kemeja hitam. Ia disesuaikan dengan skirt labuh hijau lumut bercorak kulit harimau bintang. Rambut panjang separas bahunya kemas dihias dengan sepit rambut hitam senada dengan kemejanya. Mataku sempat menangkap tahi lalat sebesar mata anak mancis di hujung cuping telinganya. Perlahan-lahan, wangi haruman yang nyaman menyelubungi ruang lif yang kecil itu. Haruman yang mengingatkan aku pada seseorang. Ingatan yang telah aku lontarkan jauh di gaung sejarah silam. Kerana ingatan itu juga aku terpaksa mendiami kota ini. Kota yang jauh dari segala-galanya yang mengenali diriku. Termasuk keluargaku sendiri. Ting.Tong. Pintu lif terbuka semula. Terpampang angka sepuluh di dinding luar betul-betul di hadapan pintu lif. Aku terpinga-pinga. Aku keseorangan. Dengan longlai aku mengatur langkah keluar dari lif

Gawat

Merawat gawat bergelut selut terjerat hasrat kian parah kian punah kecuali yang tabah...

Majalah Harmoni

HARMONI merupakan sebuah majalah kekeluargaan yang banyak memberi fokus kepada isu-isu yang berkaitan dengan kekeluargaan dan kemasyarakatan seperti pengurusan rumahtangga dan kewangan, masakan, kesihatan, psikologi keluarga, pendidikan anak-anak, kraftangan serta banyak lagi tip-tip dan isu-isu semasa yang berkaitan dengan dunia wanita dan keluarga mereka. Majalah ini mula diterbitkan pada bulan Oktober 2004. Majalah Harmoni juga diperhatikan menggunakan pendekatan menarik dalam paparan muka depan di mana golongan selebriti seperti Ina Naim dan Lisdawati pernah dipaparkan sebagai personaliti muka depan. Secara ringkas, majalah Harmoni sesuai sebagai bacaan rujukan bermanfaat keluarga. Sasaran:Keluarga&Wanita. Umur:20-35 tahun. Terbitan: Dwi Bulanan. Laman web: http://www.utusankarya.com.my

Kita harus berubah

Hatiku berbisik lagi. Keperluan kian mendesak. Minda kita harus berubah seiring dengan masa. Andai kita gagal berubah, kita akan pupus. Kita akan pupus seperti dinosour yang pada suatu ketika dahulu merupakan makhluk yang gagah. Namun, kini mereka hanya wujud dalam rakaman sejarah. Hanya tinggal nama. Aku pasti kita akan mengalami nasib yang serupa seandainya kita masih enggan beranjak dari takuk sekarang. Kita pun akan tinggal nama sahaja. Manakan tidak. Enggan berubah bermakna kita tidak bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Seperti sekarang, kenaikan harga petrol ternyata amat menekan. Poket yang telah sedia kempis sudah kian kontang. Akibatnya, kita turut tertekan. Jiwa yang tertekan mengakibatkan minda tidak mampu berfikir dengan waras. Rumah tangga bakal berantakan. Ibu bapa berusaha untuk memastikan kehidupan keluarga terjamin sehingga tidak menyedari anak-anak terabai. Suami sudah jarang berada di rumah. Isteri kian sepi. Suami kian menyendiri. Anak-anak kian

Lakaran kata

Getus angan yang menerobos ke tingkap mindaku tidak lagi mampu ku tepis. Lantas, satu demi satu serpihan kenangan menerpa dan bercantum semula. Namun tidak begitu jelas imej-imej yang terpantul darinya. Rekahan cermin itu seolah-olah tersenyum mengejekku yang begitu takut untuk berhadapan dengan sejarah silam. Sejarah yang pada sesetengah orang harus dikambus dalam-dalam di dasar ingatan. Biar bumi terpongkah. Biar gunung bergoyah. Jangan sekali-kali kenangan itu terbongkar. Jalur cahaya yang menerobos di celah-celah rekahan itu amat menyilaukan mataku. Serasa mahu buta dek dinar jingga kemerahan itu. Mahu aku sirna di dalamnya. Biar seluruh warga dunia tidak lagi mampu mengejekku. Biar mereka sedar bahawa aku juga punya hati. Aku juga punya perasaan. Perasaan ingin dihormati. Harga diri yang telah lama menyepi di dalam ketidakupayaan ini. Ah... Mana mungkin aku mampu memiliki harga diri. Golongan seperti aku ini hanya mampu menerima hinaan dan ejekan. Itulah yang selayaknya untukku. M

Generasi Wawasan

Anakku, Selendang budaya di bahu semurni kejap kerudung melitup lembar maruah dijunjung permata ibunda ditatang amanah ayahanda tersulam di benak sukma Anakku, di persada jagat kau bersimpuh santun menyusun susur galur kesopanan merentas anjung globalisasi yang berbaur debu kelabu hedonisme yang membelenggu anakku di taman jati diri ini akan kau raih kekuatan akan kau rengkuh keazaman demi mendokong cita-cita semurni wawasan seindah kenyataan

Keupayaan Modal Insan Menangani Krisis

Krisis ekonomi antarabangsa akhirnya dirasai di negara kita terutama apabila kenaikan harga petrol sebanyak 82 sen setiap liter diumumkan awal Jun yang lalu. Ramai yang merungut dan tidak kurang juga yang memuji langkah kerajaan menarik balik subsidi petrol yang telah sekian lama dinikmati. Pihak yang bersetuju berpendapat bahawa subsidi petrol hanya dinikmati oleh sebahagian masyarakat yang memiliki kenderaan sahaja yang rata-ratanya berpendapatan tetap manakala kumpulan masyarakat yang berpendapatan lebih rendah tidak berkesempatan menikmati subsidi tersebut kerana tidak memiliki kenderaan. Justeru, secara teorinya tindakan menarik balik subsidi petrol adalah langkah yang bijak dengan syarat penjimatan tersebut harus disalurkan untuk tujuan yang lebih berfaedah dan berupaya memanfaatkan semua. Hal ini bersesuaian dengan peranan yang perlu dimainkan oleh kerajaan dalam menangani masalah ekonomi ketika negara dihimpit krisis. Namun, pada masa yang sama kita tidak harus menaf

Interior Plantscaping

Interior Plantscaping - Bringing the Outdoors in Interiorscaping originated in the Denver Metro area some time in the late 1950's or the very early 1960's. A small group of plant people came up with the novel idea of placing houseplants in offices for hire. Today the trade has grown and matured into a multi-million dollar industry. Every where you go... offices, hotels, banks, shopping malls, restaurants, airports... all have live tropical plants enhancing their interior environment. Many modern buildings are actually built around the placement of interior plants. But why plants? You may not realize it... but interior plants can be a powerful tool: Employee productivity... productivity is one of the greatest benefits of interior plants. Studies have shown that work areas with interior plants increase employee moral, productivity and employee job satisfaction. Large open areas... will feel more inviting. Interior plants function as sound absorbers removing the echo from large sp