Kita harus berubah
Hatiku berbisik lagi. Keperluan kian mendesak. Minda kita harus berubah seiring dengan masa. Andai kita gagal berubah, kita akan pupus. Kita akan pupus seperti dinosour yang pada suatu ketika dahulu merupakan makhluk yang gagah. Namun, kini mereka hanya wujud dalam rakaman sejarah. Hanya tinggal nama. Aku pasti kita akan mengalami nasib yang serupa seandainya kita masih enggan beranjak dari takuk sekarang. Kita pun akan tinggal nama sahaja. Manakan tidak. Enggan berubah bermakna kita tidak bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
Seperti sekarang, kenaikan harga petrol ternyata amat menekan. Poket yang telah sedia kempis sudah kian kontang. Akibatnya, kita turut tertekan. Jiwa yang tertekan mengakibatkan minda tidak mampu berfikir dengan waras. Rumah tangga bakal berantakan. Ibu bapa berusaha untuk memastikan kehidupan keluarga terjamin sehingga tidak menyedari anak-anak terabai. Suami sudah jarang berada di rumah. Isteri kian sepi. Suami kian menyendiri. Anak-anak kian terasing. Si remaja mencari kepuasan di luar. Si suami dan si isteri lebih mesra dengan rakan sekerja.
Akibatnya, institusi keluarga tidak lagi kukuh. Berantakan. Terumbang-ambing. Porak poranda. Lantas, masyarakat hilang keseimbangan. Hilang keutuhan. Natijahnya, bangsa kita Malaysia hilangnya asasnya. Condong paksinya. Tiris bumbungnya. Terlalu mudah anasir luar menyusup masuk bangsa yang sebegini goyah.
Ngeri aku memikirkan keadaan itu. Namun, itulah hakikatnya yang perlu dihadapi. Aku tetap pada pendirianku. KIta perlu sanggup berubah. Kita harus berubah. Itu yang berada dalam kawalan kita. Sebagai rakyat biasa, kita tidak berupaya mengawal keadaan sekeliling. Namun, minda kita perlu kuat. Jangan biarkan ia sia-sia.
Aku mula bersemangat setelah sekian lama termanggu dengan perubahan hidup yang perlu aku lakukan akibat krisis ekonomi sekarang.
***********************************************************************************
Comments
Post a Comment