Lakaran kata

Getus angan yang menerobos ke tingkap mindaku tidak lagi mampu ku tepis. Lantas, satu demi satu serpihan kenangan menerpa dan bercantum semula. Namun tidak begitu jelas imej-imej yang terpantul darinya. Rekahan cermin itu seolah-olah tersenyum mengejekku yang begitu takut untuk berhadapan dengan sejarah silam. Sejarah yang pada sesetengah orang harus dikambus dalam-dalam di dasar ingatan. Biar bumi terpongkah. Biar gunung bergoyah. Jangan sekali-kali kenangan itu terbongkar.
Jalur cahaya yang menerobos di celah-celah rekahan itu amat menyilaukan mataku. Serasa mahu buta dek dinar jingga kemerahan itu. Mahu aku sirna di dalamnya. Biar seluruh warga dunia tidak lagi mampu mengejekku. Biar mereka sedar bahawa aku juga punya hati. Aku juga punya perasaan. Perasaan ingin dihormati. Harga diri yang telah lama menyepi di dalam ketidakupayaan ini. Ah... Mana mungkin aku mampu memiliki harga diri. Golongan seperti aku ini hanya mampu menerima hinaan dan ejekan. Itulah yang selayaknya untukku. Malah, bayu lembut yang berdesir mengusik daun-daun hijau pohon rimbun di tepi padang itu juga bagai tidak sudi bercanda denganku. Aku pasrah. Aku redha. Telah sekian lama aku tidak pernah merungut atau mengadu atas nasib yang ku alami. Hatta rerumput hijau yang kukuis dengan hujung seliparku pun hanya diam tidak mengendahkan sapaanku.
Langit cerah tenyata begitu ceria dengan warna kebiruan tanpa kehadiran tompok-tompok awan. Sesekali burung-burung kecil melayah turun lalu hinggap di dahan pohon rimbun itu. Aku akur. Pohon rimbun itu seolah-olah manifestasi ketenangan. Daerah ini memang tenang. Cuma aku yang tidak pernah menjiwai ketenangan itu. Walaupun setiap hari aku duduk di bangku menghadap pohon rimbun itu, tidak pernah aku nikmati ketenangan. Benakku sentiasa resah. Bara dendam yang telah lama bernaung di sudut jiwa ku tidak pernah padam. Tidak pernah dan tidak akan padam. Mana mungkin ia padam sedangkan kehadiranku ke daerah itupun bukan kerana kasih sayang. Walaupun anugerah kasih sayanglah jua yang membawa aku ke situ.
*****************************************************************************************************************
"Mas tak akan gugurkan kandungan ini, bang", Masniah bertegas. "Ini lambang kasih sayang dan cinta suci kita", esaknya bertambah kuat. Pundaknya dibeban penyesalan. Tidak pernah terlintas di hatinya ia akan berlaku. Bukan ini yang telah diajar kepadanya. Mama dan Papa tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mereka. Dia dididik dengan penuh kasih sayang. Semua keinginannya dituruti sesuai dengan kedudukannya sebagai anak tunggal. Walaupun bukanlah dari keluarga yang mewah, namun tidak pernah permintaannya dikecewakan. Mama sentiasa memahami masalahnya . Papa pula tidak pernah mengabaikannya walau terpaksa balik lewat malam kerana bekerja lebih masa demi untuk membahagiakannya.
Hatinya terluka. Hanya kerana menurut kata hatinya atas nama cinta suci, Mas tega meninggalkan keluarga walaupun belum menamatkan persekolahannya. Dia memperjudikan hidupnya demi untuk membuktikan kesetiaannya. Kata-kata manis Johari adalah segala-galanya. Dia sanggup meninggalkan alam remajanya dan menjadi isteri Johari. Johari, pemuda kacak yang tidak pernah dikenali keluarganya. Hanya Joharilah hidupnya. Johari jugalah nyawanya. Memang dia bahagia. Bahagia dengan alunan cinta yang dihembus ke hatinya. Bahagia dengan belaian kasih yang dilimpahkan. Tetapi itu hanya seketika. Pedih menjelma apabila dia mula mual dan loya. Apalagi apabila terhidu bau-bau yang kurang menyenangkan. Perhatiannya tidak lagi pada Johari. Lantas Johari mula bosan. Johari semakin tidak lekat di rumah. Mas kesepian melayani kehamilannya.
"Abang tak nak anak tu", sergah Johari. "Abang tak nak kebahagiaan kita dirampas. Abang bosan melayani karenah Mas yang manja tu". Akhirnya kebisuan Johari berakhir. "Mas gugurkan kandungan itu atau abang akan pergi dari sini", ugut Johari tanpa rasa belas. Johari pasti Masniah akan mengabaikannya. Dia tidak sanggup lagi hidup tanpa kasih sayang. Telah puas dia kesunyian sewaktu kecil. Mimpi ngeri itu tidak akan dia izinkan untuk berulang lagi.
***************************************************************************************************************
Sungguh tega Johari meninggalkan aku. Tanpa meninggalkan pesan, aku termanggu keseorangan. Pagi itu lembaran gelap mula menyelubungi hidupku. Mana mungkin aku hidup tanpa Johari. Selama ini dia yang menatangku bagai minyak yang penuh. Tanpa sebarang sijil memang sukar untuk aku mencari pekerjaan. Namun, aku perlu realistik. Aku perlu melangkah. Aku perlu tabah. Bisik hati kecilku memujuk walaupun aku sendiri tidak pasti bagai ke mana aku harus melangkah. Atau bagaimana aku harus tabah. Untuk kembali kepada Mama dan Papa adalah mustahil. Aku juga ada perasaan malu. Aku juga memiliki ego. Yang pasti, sekarang ada sebutir intan yang perlu ku lindungi. Namun bagaimana? Sedangkan diriku sendiri aku tidak pasti adakah akan dilindungi.
*****************************************************************************************************************
Kedinginan mula mencengkam. Memang apabila mentari mula condong ke barat, suasana daerah itu akan mula sejuk. Kawasan perbukitan itu akan dipenuhi dengan kabus lantas mengingatkan aku kepada kawasan pergunungan yang kerap ku lihat dalam filem Hindi. Terganggu sebentar aliran lamunanku. Akhir-akhir ini aku mendengar khabar yang ada orang berusaha untuk berjumpaku. Namun aku tetap dengan pendirianku. Aku tak ada sesiapa lagi di dunia ini. Mama dan Papa telah lama pergi. Seperti bayiku yang tak pernah mengenal keindahan dunia. Tidak pernah mengenal birunya langit. Tidak pernah mengenal hijaunya daun. Tidak pernah mengenal hitamnya malam. Lantas, kehilangannya menghancurkan sisa harapanku untuk hidup. Dunia ini kurasa sepi. malah memang sepi. gelap. aku tenggelam dalam kegelapan itu. Aku hanyut dalam kesepian itu. Aku sesat dalam kehilangan itu. Pusaran kekecewaan ku amat deras. Sehingga aku tidak dapat berpaut. Aku kian tenggelam. kian dalam. kian jauh. kian gelap.
Tapi, takdir bukan di tangan ku. Ada kuasa lain yang Maha Agung. KAsih sayangnya tidak berbelah bagi. Hanya aku yang lupa dan alpa. Tiba-tiba gapaian tangan ku disambut. Pusaran kecewa ku semakin perlahan. Malahan cahaya mentari kesedaran mula menerobos masuk ke dalam jiwaku. Aku akur pada takdir. Pada ketetapan Ilahi. AKu hanya makhlukNya yang harus pasrah dan patuh pada ketetapanNya. Makanya aku akhirnya berada di sini. Menghuni daerah perbukitan yang dingin ini. Yang dibina atas dasar kasih sayang penaungnya. Menghabiskan masaku melayani kesunyian bersama pohon rimbun hijau di pinggir taman. Hanya dia yang setia menemaniku.
****************************************************************************************************************
Tiba-tiba aku menyedari seseorang berada di sebelahku. Seolah-olah semangatku kembali. "Maafkan Abang, Mas", suara itu bagaikan baru semalam meninggalkan aku. "Abang sedar bahawa sejarah silam abang bukanlah alasan untuk mempersia-siakan kasih Mas. Abang telah lama mencari Mas. Izinkan abang menebus dosa yang telah abang lakukan selama ini." suara itu bagai embun dingin yang memadamkan bara dendam di jiwaku. Mega jingga di kaki langit seolah-olah mencerapkan semangat untuk aku bangkit membina harapan baru.

Comments

Popular posts from this blog

Sajak Dr Lim Swee Tin

Al- Wida