Terapi Taman Mini

Kian hari, kemelut kehidupan kian mencabar diri setiap individu bergantung dengan peranan beliau dan suasana di mana beliau berada. Cabaran kehidupan sebagai seorang ahli keluarga tetap menguji kesabaran tidak kira sama ada beliau seorang bapa, ibu atau seorang anak. Manakala cabaran kerjaya juga tidak boleh dipandang ringan terutama dalam era teknologi maklumat yang tidak lagi mengenal erti sempadan masa dan tempat. Justeru, setiap individu harus bijak menangani setiap cabaran untuk memastikan keseimbangan fizikal dan minda dapat dikekalkan demi untuk menjalani kehidupan harian dengan lebih bermakna dan ceria.
Seorang individu yang cemerlang harus bijak mengenal pasti petua atau tips yang boleh diamalkan sebagai terapi untuk mengekalkan ketenangan minda selepas menjalani aktiviti harian. Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan untuk menenangkan minda bergantung dengan kecenderungan masing-masing. Sebagai contoh, seorang yang meminati suasana laut boleh meluangkan masa untuk bersantai di di kawasan pantai dan menikmati angin segar laut yang sepoi-sepoi sambil berjalan-jalan menyusuri pantai yang putih. Manakala seseorang yang cenderung kepada kaedah bersenam bolehlah memperuntukkan sedikit masa untuk meregangkan otot-otot dan menyihatkan badan. Namun, bagi individu yang berkerjaya, selalunya mereka terpaksa menyelesaikan pelbagai tugasan sehingga sukar untuk bercuti ke tempat-tempat yang mereka inginkan.
Terdapat tips yang mudah dan tidak memerlukan masa yang tertentu sebagai alternatif terapi minda untuk golongan yang memiliki masa yang terhad. Terapi ini dikenali sebagai terapi taman mini. Sebenarnya, terapi ini tercetus dari konsep kehijauan di mana ramai yang telah mengiktiraf bahawa warna hijau tumbuhan-tumbuhan mampu memberikan ketenangan minda kepada manusia. Namun perkara ini kerap diambil lewa kerana perubahan cara hidup masa kini yang semakin mengabaikan kehijauan yang dianggap sebagai anti kemodenan. Hal ini semakin ketara apabila kehidupan kampung semakin asing dan generai kini terpaksa menerima kehidupan taman perumahan yang menawarkan persekitaran hijau yang amat minima. Taman mini sebenarnya merupakan usaha untuk membawa suasana taman sebenar ke dalam kehidupan harian individu dengan mengurangkan saiz sebenar pokok sehingga ia boleh diletakkan di mana-mana sahaja yang diinginkan di rumah atau pejabat.
Terapi taman mini sebenarnya berfungsi melalui dua cara. Pertama, ia berperanan sebagai aktiviti rekreasi yang mudah di mana semua orang boleh melakukannya tanpa memerlukan tempat yang besar. Aktiviti yang dilakukan bermula dari menanam sebarang tanaman ke dalam bekas kecil seperti biasa. Seterusnya, mengikutu proses tumbesarannya setiap saat menjadikan kita lebih bersemangat untuk menghadapi masa depan. Hal ini kerana telah menjadi lumrah bahawa kita akan ingin untuk mengetahui hasil dari usaha yang telah dilakukan. Keseronokan yang tidak ternilai akan dinikmati pada setiap saat memerhatikan hasil tanaman kita membesar dengan subur. Di samping itu, satu lagi peranan taman mini ini ialah kita boleh menikmati kehijauannya pada setiap masa. Hal ini adalah kerana kita boleh meletakkan taman mini di mana-mana sahaja seperti di meja makan, di bilik tidur, di bilik mandi mahupun di pejabat. Malahan ia boleh menyerlahkan lagi kediaman atau pejabat kita.
Secara ringkas, terapi taman mini boleh dimanfaatkan oleh semua orang tanpa mengira peringkat usia dan kerjaya. Ia diharapkan akan meningkatkan lagi kualiti hidup masyarakat agar setiap detik yang dilalui memberikan nilai yang lebih bermakna.

Comments

Popular posts from this blog

Koleksi Buku Motivasi HM Tuah Iskandar (Terpakai)

tahniah anak