Keupayaan Modal Insan Menangani Krisis

Krisis ekonomi antarabangsa akhirnya dirasai di negara kita terutama apabila kenaikan harga petrol sebanyak 82 sen setiap liter diumumkan awal Jun yang lalu. Ramai yang merungut dan tidak kurang juga yang memuji langkah kerajaan menarik balik subsidi petrol yang telah sekian lama dinikmati. Pihak yang bersetuju berpendapat bahawa subsidi petrol hanya dinikmati oleh sebahagian masyarakat yang memiliki kenderaan sahaja yang rata-ratanya berpendapatan tetap manakala kumpulan masyarakat yang berpendapatan lebih rendah tidak berkesempatan menikmati subsidi tersebut kerana tidak memiliki kenderaan. Justeru, secara teorinya tindakan menarik balik subsidi petrol adalah langkah yang bijak dengan syarat penjimatan tersebut harus disalurkan untuk tujuan yang lebih berfaedah dan berupaya memanfaatkan semua. Hal ini bersesuaian dengan peranan yang perlu dimainkan oleh kerajaan dalam menangani masalah ekonomi ketika negara dihimpit krisis.
Namun, pada masa yang sama kita tidak harus menafikan pertambahan beban yang ditanggung rakyat akibat kenaikan harga petrol yang bukanlah suatu angka yang kecil. Dengan mengambil contoh penggunaan petrol bulanan yang dianggap minima sebanyak 100 liter sebulan, kenaikan tersebut mampu mengempiskan poket sebanyak RM82. Situasi ini belum lagi mengambilkira kecenderungan masa kini di mana pejabat tidak semestinya terletak berdekatan dengan kediaman disebabkan kemudahan jalan raya dan kesukaran mendapat kerja yang sesuai. Pada masa yang sama, pertambahan beban disebabkan kenaikan harga barangan utama pengguna yang lain sudah dijangka akan mengambil tempat. Justeru, masyarakat perlu mengubah cara berfikir bersesuaian dengan situasi sekarang yang dianggap degitu mendesak dan kritikal. Kegagalan menangani suasana ini bakal mengakibatkan pelbagai masalah sosial yang berkemungkinan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada masyarakat hari ini malahan tidak mustahil akan diwarisi oleh generasi masa depan.
Dalam situasi seperti ini sebenarnya kita masih memiliki senjata ampuh yang selama ini tidak diberi perhatian kecuali oleh segelintir golongan tertentu sahaja. Namun pada hakikatnya pihak kerajaan telah menyediakan asas untuk negara menghadapi kegawatan hidup yang bukan sahaja mengancam ekonomi tetapi turut menjurus kepada ancaman dari sudut lain seperti sosial. Seiring dengan gagasan jangka panjang ke arah Malaysia Maju tahun 2020, kita telah didedahkan dengan kepentingan pembinaan modal insan kepada pembangunan negara. Pembinaan modal insan mengarah kepada keupayaan dan kebolehan insan menyerlahkan kecemerlangan apabila dilengkapkan dengan ilmu dan pengetahuan yang mencukupi. Ternyata saat untuk mengaplikasi teori modal insan akhirnya telah menjelang. Hal ini bermakna telah tiba masa kita menggerakkan daya minda untuk mencari jalan meningkatkan produktiviti individu tanpa meningkatkan jumlah sumber input.
Sebagai contoh, senario yang berkaitan terus dengan beban peningkatan harga petrol ialah bagaimana untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan kereta dan pada masa yang sama mengurangkan penggunaan petrol. Rangkaian e-mel telah lama menyarankan penjimatan petrol melalui teknik terbaik pengisian petrol dari segi masa dan mengepam. Turut dinyatakan juga teknik penggunaan tayar dan pengaruh berat barangan yang dibawa semasa pemanduan. Jika dulu saranan ini boleh diabaikan, namun sekarang tidaklah merugikan sekiranya kita cuba untuk membuktikan keberkesanan pelbagai teknik yang ada.
Dari sudut lain pula, masyarakat perlu memikirkan secara serius ke arah penwujudan masyarakat minda kelas pertama yang sentiasa memikirkan cara dan langkah untuk kebaikan diri sendiri dan pada masa yang sama tidak meminggirkan kepentingan masyarakat dan negara. Langkah-langkah mendidik tabiat dan cara hidup yang menghargai pelestarian alam sekitar turut memberi kesan positif melalui penjimat penggunaan tenaga elektrik dan bekalan air. Jika dahulu isu ini dipandang enteng kerana pengaliran keluar wang tidak begitu ketara tetapi dalal kegawatan seperti sekarang kita perlu memanfaatkan apa sahaja langkah yang mampu menyumbang ke arah penabungan setiap sen yang kita mampu. Bunyinya seolah-olah kita telah berubah menjadi insan yang kedekut dan mementingkan diri sendiri. Namun tidak salah sebenarnya kita berjimat dalam amalan seharian kerana hal ini turut membantu kita membentuk diri sebagai seorang insan yang bertanggungjawan dan bijak yang turut menjadi asas kepada pembentukan masyarakat dan tamadun bangsa.
Secara ringkas, kegawatan yang sedang kita alami sekarang ini pada hakikatnya telah mendorong kita untuk menganjakkan tahap pemikiran kita selangkah ke hadapan. Kita tidak harus menyalahkan keadaan ini tetapi sebaliknya memikirkan kaedah- kaedah baru yang berupaya mendokong kita bergerak maju seiring dengan kemudahan prasarana yang sedia ada. Kehidupan dan kemakmuran negara kita tidak seharusnya berakhir hanya kerana kos kehidupan kita telah meningkat tetapi masyarakat yang bijak akan sentiasa berusaha mengatasi segala cabaran berbekal kekuatan minda yang dimiliki.

Comments

Popular posts from this blog

Sajak Dr Lim Swee Tin

Al- Wida