Masjid Jamek
Tanganku menolak pintu kayu berwarna coklat gelap. "Selamat pagi Encik Razif," suara Marina yang gemersik menyapa kedatanganku. Pembantu peribadiku sejak tiga tahun lepas itu memang sentiasa datang awal ke pejabat. Tidak pernah sekali dia lewat tanpa sebab. "Pagi ni pukul sembilan Encik Razif ada temujanji dengan wakil Syarikat Berjaya Maju yang baru. Pukul tiga petang pula ada mesyuarat pengurusan di bilik mesyuarat utama", Marina membacakan jadual rasmiku untuk hari itu.
Tangannya cekatan menyusun fail-fail yang berselerak di atas mejaku. Pasu bunga bercorak etnik Sarawak yang sudah beralih tempat di letakkan semula ke sudut meja. Bunga mawar merah, kuning dan biru berceracak terjulur dari mulut pasu. Seolah-olah megah ditakhtakan di meja kantor walaupun pada hakikatnya tidak seindah bunga asli.
Seketika kemudian Marina keluar. Tidak sampai lima minit, Marina berlenggang masuk dengan secawan kopi panas ditatang. Sebelah lagi tangannya menggenggam buku nota. Aroma wangi kopi Arabika kegemaranku mengusik deria bauku.
"Encik Razif perlukan apa-apa bantuan lagi?" tanya Marina sambil mengeluarkan pena dari poket kemeja lengan panjangnya. Gayanya memang saling tak tumpah seperti setiausaha yang kerap aku tonton di televisyen. "Tak apa, Marina. Terima kasih. Kalau saya perlukan apa-apa bantuan, saya akan interkom awak", aku tersenyum.
Sebelum menghilang di sebalik pintu Marina sempat mengenyitkan matanya. Aku tergelak. Aku memang tidak pernah meletakkan sempadan di antara pegawai seliaanku. Bagiku mereka adalah rakan yang harus dihormati.
Pandanganku melayah jauh menembusi tingkap kaca terus ke menara Masjid Jamek. Dari situlah laungan azan tersebar ke segenap kalbu setiap kali waktu solat menginjak tiba. Di sebelahnya tersergam kubah biru muda yang mendamaikan. kemudian mataku terus singgah ke bangunan Pustaka Negeri Sarawak yang berhadapan tasik buatan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis ikan. Seolah-olah terdengar jelas di telingaku kecipak air setiap kali ikan berebut makanan. Ketenangan itu berbaur menambahkan lagi keheningan yang menyerap masuk ke lubuk jiwaku.
Betapa aku telah sekian lama ingin lari dari kenyataan. Betapa aku berasa letih yang teramat. Semakin aku ingin lari, semakin bayangan itu mendekatiku. Aku benar-benar letih. Hakikat itu semakin jelas diasak haruman lembut di lif tadi. Aku harus berdepan dengan masalah dan bukannya bersembunyi di sebalik tabir keceriaan dan pura-pura. Bagai terngiang-ngiang di benakku desakan halus itu.
Comments
Post a Comment