Badut dan sarkis
Adik menangis teresak-esak. Butir jernih air mata berjejeran di pipinya yang gebu dan montok. Disekanya perlahan-lahan dengan belakang tangan kanannya. Dia amat tidak faham. Mengapa Mak Jah, tuan punya kedai runcit di hujung kampung enggan memenuhi hajatnya. Sedangkan ini bukan kali pertama dia melakukan perkara itu.
Kedai Mak Jah yang gemar berkebaya merah hati itu memang kerap dikunjunginya. Terutama apabila emak keluar ke pekan. Apabila emak hendak pergi ke pekan, dia akan berbedak seperti Mak Jah. Cantik. Emak akan pakai baju kurung sedondon dengan kain sarung susun. Emak akan keluarkan tudung barunya dari almari pakaian. Adik akan ambil peluang bermain dengan minyak wangi emak. Botol berwarna kuning air itu hanya akan muncul apabila emak pergi ke pekan.
Adik akan setia duduk di samping emak. Emak sapu bedak rata-rata di seluruh wajah. Selepas itu emak akan tepuk-tepuk serbuk berwarna merah jambu di pipi. Warna coklat di atas kelopak mata. Adik gelak terkekeh-kekeh. Adik teringatkan rancangan sarkis yang adik tonton di televisyen.
Adik memang gemar menonton rancangan sarkis. Ada banyak binatang yang adik boleh tengok. Ada gajah yang pandai duduk di atas bangku bulat pendek. Ada harimau yang pandai melompat melalui gegelung api. Ada monyet yang pandai menunggang basikal. Tapi yang paling adik suka ialah bila badut yang bertopi tajam di hujung muncul di kaca televisyen sambil melontar banyak bola kecil dan cuba untuk menyambutnya semula. Kasut badut yang besar menyebabkan badut berjalan terkedek-kedek. Kadang-kadang badut itu akan terjatuh berguling-guling di atas pentas sebab tersandung kasutnya yang besar. Adik akan gelak sampai keluar air mata.
Adik gelak tengok emak pasang bedak warna-warni di muka sebab badut pun suka bubuh bedak warna-warni macam emak. Walaupun televisyen yang ditonton di rumah Pak Mat jiran sebelah cuma ada warna hitam putih, adik dapat cam muka badut yang putih melepak dan berhidung bulat seperti buah limau itu. Adik mesti tengok rancangan sarkis walau terpaksa membayar lima sen setiap kali menghadap skrin televisyen Pak Mat yang besar.
Adik tetap tegas dengan pendiriannya. Adik enggan berganjak. Baginya kebenaran harus ditegakkan. Seperti ungkapan yang kerap didengarnya. Lawan tetap lawan. Adik sebenarnya tidak begitu memahami makna ungkapan itu. Tapi dari riak wajah lelaki yang melaungkan kata-kata itu yang begitu bersemangat, adik yakin ia membawa makna semangat. Malahan adik yakin telahannya itu tepat apabila setiap laungan kalimat itu disambut dengan sorak-sorai yang gemuruh orang ramai yang berhimpun.
Comments
Post a Comment