Thursday, July 31, 2008

Orang berbudi kita berbahasa

Adat orang kita, "Orang berbudi kita berbahasa". Namun atas nama globalisasi dan perniagaan, saya sendiri tidak tahu telah dicampak ke lautan mana adat budaya kita. Baru sebentar saya menerima panggilan telefon dari satu nombor yang tidak dikenali. Berdasarkan adat bahasa, salam diberi harus disambut, saya menjawab panggilan tersebut. Keadilan juga harus diberikan kerana setiap orang berhak diberi peluang untuk menyatakan hasratnya.
Sebaik sahaja punat jawab yang berimejkan gagang telefon berwarna hijau ditekan, suara halus wanita yang amat sopan menyapa telinga saya dengan salam. Salam yang diberi saya jawab dengan nada sopan yang serupa. Dengan penuh kelembutan dan berbudi bahasa, pemilik suara menyatakan hasratnya untuk membuat penghantaran kad penghargaan untuk pemilik kad kredit yang masih aktif yang telah bernasib baik terpilih untuk skim tersebut. Saya mengiakan sebagai isyarat bahawa beliau boleh meneruskan cerita beliau.
Namun apabila beliau bertanya mengenai bank yang mengeluarkan kad kredit saya, ternyata beliau telah memberikan mesej jelas bahawa panggilan tersebut dibuat secara rambang (walaupun pada hakikatnya saya menyedari perkara itu). Saya menggunakan peluang tersebut untuk memaklumkan kepada pemanggil bahawa saya tidak berminat dengan tawaran tersebut kerana saya berpendapat saya berhak untuk tidak menjawab pertanyaan tersebut. Sebelum selesai saya berkata-kata, tiba-tiba panggilan tersebut diputuskan. Datang tidak dijemput, pergi tidak dihalau. Tepuk dada, tanyalah iman.

2 comments:

  1. Bahasa jiwa bangsa.Rapuhnya bangsa kerana bahasa.

    ReplyDelete
  2. Alangkah sedihnya bila kita sendiri mengabaikan budi bahasa yang dijunjung tinggi oleh agama dan bangsa kita sendiri. Betapa setiap bangsa harus berbangga dengan keunikan warisan dalam pelbagai bentuk; bangsa kita Malaysia harus berbangga dengan warisan kelembutan budi bahasa yang telah tersohor sepanjang zaman.

    ReplyDelete