Kafe Francais di Pusat Pengajian Tinggi
Rempuhan teknologi komunikasi dan maklumat ternyata telah melakarkan lanskap baru dalam kehidupan masyarakat hari ini. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan tiada aspek yang terkecuali dari mendapat kesan atau tempias dari fenomena luar biasa tersebut. Malahan ia mampu mewujudkan pelbagai sub budaya baru, sama seperti semasa Revolusi Perindustrian suatu waktu dahulu. Penciptaan teknologi mesin yang membolehkan pengeluaran produk secara besar-besaran telah mengakibatkan perubahan besar pada institusi keluarga terutama anjakan peranan isteri, ibu dan wanita. Jika sebelumnya semasa Revolusi Pertanian menekankan peranan suami atau bapa dalam memikul tanggungjawab menyara keluarga, pembukaan banyak kilang yang memerlukan tenaga kerja yang banyak, memberi peluang kepada golongan wanita membantu untuk menyumbang kepada meningkatkan pendapatan isi rumah. Hal ini seterusnya secara langsung mahupun tidak mengubah struktur dan cara hidup masyarakat pada waktu itu termasuklah dari aspek pendidikan.
Hari ini setelah beberapa abad, sekali lagi tamadun dunia menyaksikan satu lagi fenomena besara yang berupaya menganjak peradaban manusia melalui arus hebat teknologi komunikasi dan maklumat. Jika dahulu manusia menjadikan jarak dan masa sebagai halangan, hari ini ia tidak lagi menimbulkan masalah. Manusia mampu berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain walau berada di planet yang berbeza. Maklumat dalam kadar yang banyak mampu disampaikan dalam jangka masa yang amat singkat. Justeru, definisi masa dan tempat yang suatu masa dahulu berperanan sebagai kayu ukur dan sempadan kehidupan kini tidak memberi sebarang makna lagi. Malahan internet yang sedikit masa dahulu hanyalah permainan golongan tertentu telah berjaya menyusup masuk ke dalam institusi masyarakat dan membentuk sub budaya terkini. Hal ini terbukti apabila satu kelompok masyarakat di ibu kota menggunakan kemudahan internet untuk membentuk komuniti maya. Komuniti ini menyediakan forum untuk membincangkan pelbagai isu dan topik semasa. Malahan mereka turut mengatur pelbagai acara bertitik tolak dari perbincangan maya tersebut.
Pengaruh internet yang tercetus dari fenomena hebat ini ternyata begitu berpengaruh terutama dalam bidang pendidikan. Pendidikan jarak jauh yang diteraskan kepada kemudahan atas talian memberi peluang kepada lebih ramai untuk menikmati kemudahan belajar. Di samping itu, rujukan pelbagai sumber dari segenap pelosok jagat boleh diperolehi tanpa perlu bergerak dari meja tulis. Terima kasih kepada pelbagai laman web y ang boleh diakses melalui kemudahan internet. Hal ini banyak membantu pelajar-pelajar terutama mahasiswa pusat pengajian tinggi dalam memastikan mereka memperolehi maklumat terkini untuk penyediaan tugasan atau tesis. Ternyata keperluan ini diakui oleh pihak berkaitan apabila baru-baru ini tersiar di akhbar kenyataan membenarkan kafe francais seperti kopitiam, dunkin donut dan starbuck beroperasi di beberapa pusat pengajian tinggi tempatan.
Secara umumnya, hasrat ini menunjukkan betapa golongan mahasiswa mendapat perhatian dalam kepentingan mereka sebagai pelapis kepada pemimpin hari ini. Kejayaan mendidik mereka menjadi insan yang berketerampilan amat siginifikan dalam memastikan keutuhan negara tanpa mengira di sektor mana mereka bakal berada. Tidak dinafikan insan berpengetahuan menjadi tonggak kepada perkhidmatan awam, menjana ekonomi mampan melalui sektor swasta dan menjadi asas komuniti minda kelas pertama melalui pembentukan keluarga bersakhsiah.
Namun apabila direnung dengan lebih jauh, kita harus bijak membuat taakulan terutama semasa negara dilanda cabaran menangani kegawatan seperti sekarang. Pelbagai rombakan telah dilaksanakan demi untuk memastikan negara mampu memikul beban kewangan. Sebagai contoh, baru-baru ini subsidi petrol telah dimansuhkan menyebabkan kenaikan harga petrol secara mendadak. Dipandang sebagai ubat pahit di mana subsidi tersebut hanya dinikmati oleh golongan yang memiliki kenderaan sahaja, rakyat akur dan berusaha untuk berjimat cermat walaupun kenaikan harga bahan api pastinya akan diikuti dengan kenaikan pelbagai barangan utama lain. Bantuan wang tunai pastinya tidak membantu golongan yang tidak memiliki kenderaan sendiri manakala beban kenaikan harga barangan sudah tentu turut dirasai oleh golongan ini. Ternyata pada saat ini, semua lapisan masyarakat didesak untuk menjimatkan apa sahaja yang mampu demi memastikan mereka menikmati taraf hidup yang serupa sebelum kenaikan harga bahan api.
Justeru, rakyat tidak perlu dibebani dengan tuntutan kewangan yang "remeh temeh" seperti kenaikan belanja bulanan anak- anak untuk tujuan perbincangan ilmiah di kafe francais. Seperti yang dimaklumi, mahasiswa pengajian tinggi hari ini tidak lagi menikmati kemudahan pendidikan seperti sepuluh tahun lepas dan rata-rata mereka dibiayai oleh Tabung PTPTN ataupun pembiayaan ibu bapa. Walau bagaimana pembelajaran mereka dibiayai, yang pasti mereka tidak membelanjakan wang titik peluh mereka sendiri kerana masih belum bekerja. Maka, demi untuk keperluan perbincangan ilmiah, anak petani atau nelayan ataupun tukang sapu terpaksa mengunjungi tempat mewah yang tersebut yang telah dipersetujui oleh rakan kumpulan yang lain. Akibatnya, dia terpaksa berbelanja secawan kopi yang sama nilai dengan gaji sehari ibu bapa mereka. Pastinya perkara ini suatu yang tidak adil. Hal ini dibangkitkan kerana alasan yang dinyatakan untuk kebenaran kafe ini beroperasi adalah untuk tujuan perbincangan ilmiah.
Dari satu sudut lain pula, alasan untuk mengelakkan pelajar-pelajar ini dari melepak di luar kampus pula terasa amat pincang. Sudah pasti kita tidak akan memberi kebenaran untuk pusat pusat hiburan dangdut atau kelab malam beroperasi di pusat pendidikan berteraskan ilmu hanya semata-mata kerana terdapat beberapa kerat mahasiswa-mahasiswa bermasalah yang mengunjungi tempat-tempat tidak bermoral seperti itu. Malahan, sekiranya dipandang secara mendalam, mahasiswa-mahasiswa harapan masa hadapan kita sepatutnya tidak menggunakan peluang keemasan berada di menara gading untuk melepak di tempat-tempat mewah seperti itu. Malahan kecenderungan seperti ini menyerlahkan simtom-simtom yang berakar umbi dari permasalahan lain yang lebih serius.
Secara keseluruhannya, keprihatinan pihak berwajib dalam mengenal pasti keperluan golongan pelapis kepimpinan yang menghuni pusat-pusat pengajian tinggi tempatan memang amat dialu-alukan. Hal ini mampu menjamin keupayaan kita membentuk teras negara yang berkualiti dan bersyakhsiah tinggi. Namun, setiap tindakan yang bakal dilaksanakan perlu diteliti secara terperinci supaya ia bakal merealisasikan aspirasi negara dan bukan setakat menyelesaikan masalah secara luaran sahaja seperti kata pepatah "Sekadar melepas batuk di tangga".
Comments
Post a Comment