hidup ini hanya persinggahan
dari kecil kami kerap berpindah- randah.
kata Mak ia adalah kerana mencari kehidupan yang lebih selesa.
pertama kali berpindah ke bandar kuching tapi rumah kami jauh dari bandar. kenangan saya hanya sayup- sayup. Mak melahirkan adik saya yang kedua bongsu semasa kami tinggal di situ. bermakna saya berumur sekitar 3 tahun.
selepas itu kami kembali ke kampung.
kata Mak rumah kami terlalu jauh dari kawasan utama dan terletak terlalu berhampiran kawasan hutan. Abah pula bekerja shif malam dan kami adik beradik masih kecil. kalau saya berumur 3 tahun, abang saya hanya berumur 4 tahun dan adik di bawah saya pula berumur setahun serta seorang adik saya yang baru berumur beberapa bulan.
kami berpindah semula ke bandar kuching semasa saya berumur 6 tahun. Abang saya sudah mula bersekolah di kampung, ditinggalkan sementara bersama kakak Mak.
kali ini, kami tinggal di kampung setinggan. namun kami tinggal lama di sini walau bekalan api dan air yang terhad. Mak berjaya memulakan kedai runcit.
Semasa masuk tingkatan satu, Abah membeli rumah di kawasan yang lebih selesa. ada bekalan api dan air sampai ke rumah. Rumah lama kami dan kedai Mak dijaga oleh adik mak dan suaminya.
Mak yang tidak boleh duduk diam di rumah telah dapat menyewa satu lot kedai dan kami sekeluarga tinggal di bahagian belakang kedai yang hanya sekangkang kera (dalam erti kata sebenar). sebenarnya hanya sewaktu minggu balik bermalam atau cuti sekolah sahaja kerana kami adik beradik semua tinggal di asrama.
pada waktu itu, kampung setinggan kami telah dipindahkan ke kawasan kampung pindah yang lebih teratur dan tersusun. dan rumah baru kami dibina sedikit demi sedikit.
saya teringat menerima keputusan SRP semasa tinggal di rumah kedai yang sempit itu dan kami masih di situ semasa saya mula masuk ke Pusat Matrikulasi (1990). Dalam tempoh tersebut, rumah baru kami dijaga oleh adik Mak dan suaminya.
Kami sekeluarga mula tinggal di rumah Mak sekarang bila pihak Perbandaran yang memiliki bangunan rumah kedai tersebut menutup kawasan perniagaan di sana. Saya tidak ingat bilakah masa yang tepat. Saya gagal untuk mengingati kejadian tertentu yang boleh dirujuk tahunnya.
tapi saya ingat pada tahun tiga di UiA ada sesuatu yang penting berlaku (1995) dan sewaktu itu kami sudah menetap sepenuh nya di rumah Mak. tapi saya pasti kami sudah berpindah balik lama sebelum tahun 1995.
Itulah destinasi akhir keluarga kami.
tapi bagi saya, ia tidak berhenti di situ.
siri perpindahan saya bermula semula bila berpindah ke Mukah semasa Fatihah berumur 2 bulan.
Comments
Post a Comment