Dia yang penyayang



Januari 2009.

Fatihah menjejaki Tahun 1, Maryam mula masuk Tadika dan saya mengandung tujuh bulan. dan saya dan suami masih tinggal berasingan. Juga saya sudah di tahun akhir pengajian sarjana saya. 

Kalau dulu saya gigih mengajar Fatihah sebelum masuk pembelajaran formal, untuk Maryam pula saya memang hilang fokus kerana saya mula belajar semula semasa Maryam berumur 18 bulan. 

Maryam belajar lebih kepada mengikut cara biasa dengan sumber sedia ada seperti flash card, komputer mainan dan yang sewaktu dengannya tanpa saya melibatkan diri secara aktif. tambahan pula Maryam seorang yang tidak tahan dibuat sessi belajar latih tubi seperti Fatihah. Maryam mudah mengalah sekiranya lambat menangkap pembelajaran tapi dia dari kecil seorang yang ringan tulang. lebih suka menghabiskan masa menemani Kakak memasak dan mengemas rumah. 

Fatihah pula biarpun sampai menangis kerana ditengking (saya ibu yang garang) semasa belajar, dia akan tetap terus mengikut belajar walau sudah teresak- esak(kesian anak saya). 

Maryam memang berjiwa lembut berbanding Fatihah. Selama hampir 6 bulan, mula masuk tadika tetapi dia masih tetap menangis setiap kali ditinggalkan di sekolah. Syukur salah seorang guru di situ merupakan anak kepada sepupu saya dan dialah yang memanjakan Maryam di sekolah sehingga dia membiasakan diri di situ. 

Bagi Maryam, saya tidak begitu risau kerana dia memiliki kelebihan mudah mesra terutama dengan guru- gurunya. Saya tidak lagi begitu menekankan pencapaian akademik berbanding semasa dengan Fatihah. Maryam saya biarkan mengikut kemampuannya sendiri (kesian anak sulung). 

Dari sudut pembelajaran, Maryam melalui proses biasa seperti kanak- kanak yang sebaya dengannya. Namun, saya menganggap ia suatu perkara yang baru bila menyedari Maryam memiliki daya empati yang tinggi walaupun masih di peringkat awal usia kanak- kanak.

Suatu ketika Fatihah terlepas belon Maryam lalu terbang ke udara. Saya dapat mengesan wajah kecewanya dan hampir menangis. tetapi bila dia melihat rasa bersalah pada air muka Fatihah dan risau saya akan memarahi Fatihah, dia menenangkan keadaan dengan kata- kata, “Tak apa lah”. Sehingga sekarang peristiwa itu masih melekat di ingatan saya. Kekaguman saya pada seorang anak kecil yang begitu memahami kerana sebelum itu saya menangani anak kecil yang berlainan tahap pertumbuhan emosinya. 

Pada masa yang lain, kami menonton dokumentari sekumpulan rusa liar sedang bersantai. tiba- tiba muncul seekor harimau menyerang dan mengejar salah seekor dari rusa tersebut. Kebiasaannya kita akan menjerit sahaja melihat senario kejar mengejar seperti itu. Itulah yang berlaku pada Maryam, tapi saat harimau menerkam rusa tersebut Maryam menangis teresak- esak sambil mengulang- ulang perkataan “kesiannya rusa..”. (sambil saya rasa kelakar pulak di dalam hati)



Pembantu saya, Kakak tidak begitu suka memasak tetapi sangat suka mengemas rumah. Dia boleh mengubah susun atur perabot rumah kami; rak- rak buku, almari dapor, meja makan dan sebagainya hampir setiap bulan. saya meninggalkan rumah di pagi hari dengan susun atur berbeza dan balik semula ke rumah untuk makan tengahari dan susun atur perabot rumah sudah berubah. (amazing..) 

Waktu ini Maryam berusia belasan bulan, dan saya perasan dia sudah boleh menolak dan menggerakkan perabot ringan seperti set meja ruang tamu. Dan apabila besar sedikit, dia sudah mula cuba mencuci pinggan walaupun perlu berdiri di atas kerusi. 

Kakak mula bersama kami semasa saya awal mengandung Maryam sehingga Maryam berusia 9 tahun. dan Maryam boleh dikatakan “anak” Kakak. Mungkin salah satu sebab perkembangan kemahiran Maryam cenderung kepada pergerakan adalah kerana bergaul rapat dengan Kakak yang “Strong Woman Bong Soon”. 

walaupun semasa kecil Maryam seperti mudah mengalah, namun sekarang dalam usia remaja, Maryam adalah pejuang. Berjuang menghafal Al- Quran walaupun pada mulanya mengalami kesukaran kerana tiada asas semasa sekolah rendah. Menangis teresak- esak sambil menghafal kerana sukar mengingat. Dan sekarang, Maryam mampu bersama kumpulan pelajar yang berada dalam jadual hafalan yang sepatutnya. 

Teruskan bertabah, Maryam Insyirah. Kuatkan semangat dan terus berjuang untuk mencapai cita- cita sebagai seorang Hafizah, in sya Allah. 




Comments

Popular posts from this blog

Sajak Dr Lim Swee Tin

Al- Wida