Cinta itu...
saya tidak bercerita perkara ini dengan anak- anak kerana tiada yang istimewa untuk diceritakan.
kami tiada istilah bercinta.
suami saya adalah guru sementara yang baharu keluar IPTA, mengajar di sekolah yang sama dengan rakan baik saya, seorang ustazah.
pada suatu hari, saudara saya mencadangkan kepada emak saya nama saudaranya untuk diperkenalkan kepada saya, dan saudaranya ini guru yang mengajar di sekolah yang sama dengan rakan ustazah saya. walaupun tidak begitu berminat dengan perkara ini, saya menghubungi kawan saya untuk bertanya mengenai saudara kepada saudara saya 🤣🤣.
namun, kawan saya tidak melayan pertanyaan saya. sebaliknya mencadangkan untuk memberi nombor telefon saya kepada seorang lagi guru yang baru sahaja tamat belajar. beberapa perkara yang dinyatakan oleh kawan saya ( bukan kekurangan peribadi suami tetapi lebih kepada pengalaman masa lampau saya) menyebabkan saya tidak berminat untuk kenal dengan guru tersebut, tapi saya menyerahkan kepada kawan saya sama ada hendak memberi nombor telefon saya atau tidak.
Disember 1999, malam bulan Ramadhan saya menerima panggilan telefon dari seseorang yang memaklumkan mendapat nombor telefon saya dari ustazah sekolahnya.
saya tidak ingat apa yang diborakkan tetapi selepas itu kami berhubung lebih kepada melalui email (hotmail.com). pertama kali kami bertemu secara bersemuka beberapa hari sebelum hari raya, sekadar bertanya khabar di jalanan.
bagi saya, tiada hubungan sekadar berkawan kerana kami bukan kawan. dari awal saya telah memaklumkan ke mana arah perhubungan kami sekiranya dia mahu kami terus berhubung. lantas, perbincangan kami selepas itu lebih kepada apakah langkah seterusnya.
selepas beberapa bulan cuba mengenali dan memahami antara satu sama lain, melalui telefon, email dan berjumpa bersemuka (ditemani ubat nyamuk), akhirnya pada bulan April kami sepakat; sekiranya ingin terus berhubung, kami perlu membuat keputusan dan kesanggupan untuk perhubungan serius dalam jangka masa terdekat, manakala sekiranya ada sebarang penangguhan atau ketidakpastian kami bersetuju perhubungan kami perlu diputuskan.
akhirnya suami saya mendapat restu dari keluarganya untuk kami diijabkabul pada 1 Jun 2000 dan majlis pertunangan diadakan sebulan sebelum iaitu awal Mei 2000.
tempoh dari pertama saya menerima panggilan telefon dari suami dan tarikh ijabkabul kami hanyalah lima bulan lebih. kami hanya kenal antara satu sama lain ala kadar sahaja dan proses belajar memahami dengan betul- betul serius bermula selepas akad.
malahan proses mengenali antara satu sama lain dan belajar memahami antara kami tidak pernah berhenti sehingga saat ini.
dan mungkin, bagi kami, itu yang dipanggil “cinta” 👻👻
Comments
Post a Comment