Kita hanya merancang
tahun hadapan saya akan menjejaki usia separuh abad.
walaupun tidak menjanjikan untuk saya mengetahui separuh dari rahsia kehidupan,
namun telah saya lalui pelbagai perkara yang kini terserlah kesan dan akibat dari pilihan yang diambil suatu ketika dulu.
walau mungkin akan ada kesan dan akibat baru akan muncul selagi saya belum sampai ke penghujung perjalanan kehidupan ini.
beberapa tahun yang lepas saya bersua kembali dengan rakan sekelas buat kali pertama selepas tamat sekolah menengah, lebih 20 tahun sebelum itu.
salah satu pertanyaannya,
“macamana awak boleh jadi akauntan?”.
kenapa soalan itu yang muncul?
kerana semasa di sekolah menengah, kelas kami adalah dari sastera tulen dan tiada sabjek perniagaan, simpan kira atau sewaktu dengannya.
atas sebab saya dari aliran sastera tulen, sukar saya untuk memilih bidang pengajian selain dari pengajian islam di UM atau kalau di UIA, bidang undang- undang atau sains sosial.
dan tanpa panduan kerjaya seperti zaman sekarang, saya beranggapan lorong kerjayanya adalah pendidikan yang memang saya tidak minat.
dan tindakan berani mati saya dan seorang lagi rakan baik saya yang berjaya dihasut untuk sama terjun gaung adalah memohon Kursus Pengurusan dan Ekononomi di UIA , yang di antara syaratnya perlu ada subjek simpan kira atau Matematik Tambahan.
bermakna, kalau ditolak, kami berdua cuma ada pilihan untuk masuk tingkatan 6 atau mencuba memohon setahun lagi.
namun, kita hanya mampu merancang. Allah adalah pemilik perancangan sebenar.
dua tiga hari selepas borang permohonan kami dipos, pakcik saya datang ke rumah semata- mata untuk menyerahkan satu salinan suratkhabar yang memaparkan pembetulan kepada iklan kemasukan ke UIA sebelum itu.
“untuk memohon kursus ekonomi dan pengurusan (ENM) di pusat matrikulasi UIA, hanya perlu lulus sabjek bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sahaja tanpa mewajibkan sabjek simpan kira/ matematik tambahan”.
alhamdulillah.
saya mengikuti Kulliyah ENM tanpa sebarang asas dan tanpa mengetahui apa pengkhususan yang akan saya pilih di Kampus Utama nanti. maklumat yang paling hampir kepada saya adalah jurusan Ekonomi kerana pernah sebilik dengan pelajar tingkatan enam kelas ekonomi.
Semasa semester akhir di Matrikulasi, pelajar dari kampus utama membuat taklimat mengenai kursus pengkhususan untuk kami dan salah satunya adalah dari Kelab Perakaunan.
Di samping Presiden kelab yang berperawakan menarik (🤦🏻♀️🤦🏻♀️), semangat serikandi saya mencanak apabila mendengar kata- katanya yang Kulliyyah Perakaunan merupakan kursus yang paling sukar di antara tiga pengkhususan yang ada selain dari Kulliyah Ekonomi dan Kuliyyah Pengurusan Perniagaan, dan hanya sedikit pelajar yang berani menyertainya.
dan sekali lagi saya berjaya menghasut rakan baik saya untuk terjun gaung bersama saya menyertai Kulliyah Perakaunan walaupun pada masa itu masih tidak tahu potensi kerjaya yang ada selepas habis belajar.
Dan hari ini,
saya berada di sini,
menoleh ke belakang,
saya kian yakin,
kita hanya mampu merancang,
dan berusaha untuk mencapainya
namun
Perancangan Allah melangkaui segalanya.
Comments
Post a Comment