Prinsip Kehidupan
hidup perlu ada prinsip.
in sya Allah, di mana berada, ke mana dituju, akan berjaya.
di saat menjejak alam remaja, tanpa ada kemudahan teknologi komunikasi yang canggih seperti hari ini, saya dibekalkan dengan hakikat kepentingan hidup berprinsip.
tahun 1988, saya mula meninggalkan rumah dan keluarga untuk masuk tingkatan 4 di Klang. ya, memang tidak jauh. hanya beberapa perhentian komuter sahaja dari Stesen KL Sentral.
tahun 1988, tiada Air Asia, tiada KL Sentral, tiada komuter, tiada talian internet, tiada telefon bimbit. berjumpa keluarga hanya setahun sekali. lantas, pesanan ibu bapa sebelum meninggalkan rumah menjadi pegangan dan prinsip sehingga kembali semula ke kampung halaman.
tahun 1996, sebaik sahaja selesai peperiksaan akhir, saya mencuba nasib mencari pekerjaan di sekitar KL. Kononnya sementara menunggu majlis konvokesyen selesai. Tapi akhirnya saya cuma kembali ke Kuching pada September 1997.
Sepanjang tempoh itu, emak tidak putus- putus memujuk saya untuk balik sebab risaukan keselamatan saya, anak perempuan duduk menyewa jauh di tempat orang. lebih- lebih lagi kerap emak menelefon ke rumah pada sebelah malam, saya belum sampai ke rumah. zaman tiada LRT, solat maghrib hanya sempat di musolla di pusat membeli belah.
namun, menurut emak, setiap kali kerisauan diluah kepada adik- adik saya, mereka akan menenangkan emak dengan kata- kata,
“jangan risau, Mbok ( kakak) Yah ada prinsip sendiri, dia tetap akan berpegang pada prinsipnya walau terbang ke langit sekalipun”.
Alhamdulillah, saya insan biasa, dalam perjalanan kehidupan dari remaja sehingga sebelum berkahwin, tidak lari dari kenakalan yang memeningkan kepala Emak Abah (sshhh), namun bagi saya prinsip yang saya pegang tetap saya junjung.
Bagi ibu bapa, anak perempuan terutamanya harus menjaga maruah diri. Dan itu saya pegang untuk membalas kebebasan yang mereka beri kepada saya untuk merantau mencari pengalaman dari remaja sehingga dewasa. Dalam keluarga, hanya saya yang berpeluang belajar jauh seawal sekolah menengah sedangkan abang dan adik- adik saya hanya pergi jauh semasa menyambung pelajaran ke IPTA.
Semasa di alam pekerjaan, prinsip juga penting terutama di bidang professional yang melibatkan peraturan dan undang/ undang. Tanpa prinsip kita akan menjadi seperti lalang tanpa pendirian dan hanya mengikut trend semasa. Ia akan menyukarkan kita membuat keputusan dengan tepat apabila diperlukan.
akan wujud pelbagai situasi di mana pelbagai pihak mengharapkan kita membuat keputusan yang akan berpihak kepada mereka. Dengan prinsip yang jelas, akan lebih mudah kita membuat keputusan yang tidak berat sebelah dan memberi keadilan kepada semua pihak. Dan sentiasa konsisten tanpa mengambil kira tekanan dari mana- mana pihak.
Hidup tanpa prinsip akan seperti lalang yang hanya mengikut arah angin bertiup.
Berbangga lah dengan prinsip yang kita pegang, in sya Allah selamat hingga ke hujung penghidupan.
Comments
Post a Comment