Tak Ternilai

Kalau anak pertama adalah Anugerah, anak kedua bagi saya adalah Hadiah tak ternilai. 

Fatihah lahir selepas 2 tahun lebih perkahwinan. dan selepas menjalani rawatan dengan izin Allah jua. oleh itu, saya anggap kedatangannya anugerah Allah dan tidak pernah mengharap akan ada lagi yang menyusul. selepas Fatihah lahir keluarga saya berpindah jauh dari bandar Kuching yang tidak memungkinkan untuk mendapat rawatan yang sama. 

Anak kedua, Maryam lahir semasa Fatihah berumur 2 tahun. memang amat tidak pernah dijangka malahan tiada sebarang perubahan ketara. Hanya kerana rasa kurang selesa, saya buat pemeriksaan kehamilan sendiri. itupun minta bantuan kawan untuk beli sebab ketidakyakinan itu amat tinggi. kebetulan suami waktu itu bertugas di luar stesen. 

Hasil pemeriksaan sendiri rupa- rupanya positif. tanpa menjalani sebarang rawatan, kehamilan itu adalah hadiah dari Allah. Syukur... syukur... tiada kata yang dapat mengungkapkan kesyukuran itu.

Kalau sebelum ini saya katakan pengalaman bersama anak pertama merupakan pelan perancangan ibu bapa untuk anak- anak seterusnya. Namun, pada hakikatnya setiap anak tidak akan sama sifat dan sikapnya. Lantas, mana mungkin satu teknik keibubapaan yang sama digunakan secara terbuka kepada semua anak- anak. 

Kalau dengan anak sulung, kekuatan ketara adalah dari segi akademik dan kebolehan “self- learning” serta berani mencuba perkara baru. Untuk anak kedua, kelebihan yang menyerlah adalah dari sudut kreatif dan komunikasi seperti menulis dan interaksi sosial.  Maryam juga adalah pelajar Ulul Albab yang telah berjaya menghafaz 19 juzuk AlQuran. Lantas, setiap mereka memerlukan templet teknik pendekatan keibubapaan yang unik walaupun prinsip asas masih sama; utamakan ilmu, jangan mudah mengalah dan jangan terpengaruh dengan tekanan persekitaran (sekadar menyebut beberapa contoh). 

Anak pertama cenderung mendapat perhatian yang penuh dari ibu bapa kerana belum ada anak yang lain serta masih teruja dengan kedatangan orang baru dalam keluarga muda mereka. Sebaliknya anak kedua tiba di saat ibu bapa masih tidak cukup tangan melayani kerenah anak sulung yang masih kecil. Juga, anak kedua juga terdedah kepada perbandingan dengan anak pertama terutama ddari sudut tingkah laku dan  perkembangan tumbesaran (mental dan fizikal).  dan pastinya terpaksa mewarisi pakaian dan permainan dan risiko berebut permainan dengan anak pertama. (kesiannya anak kedua... namun saya beruntung sebab abang saya selalu mengalah dan seperti dia pula yang dibuli anak kedua).

Secara ringkasnya, lain anak, lain cara menanganinya. Setiap anak memiliki keunikan dan kelebihan masing- masing. Setiap anak adalah anugerah dan hadiah yang tidak ternilai. Ibu bapa harus bijak dan berfikiran terbuka. Saya bukanlah ibu yang terbaik, namun yang pasti saya ingin yang terbaik untuk anak- anak saya. 

-salam sayang-


Comments

Popular posts from this blog

Sajak Dr Lim Swee Tin

Al- Wida