Merakam Kenangan
Semasa anak- anak masih kecil, saya berazam untuk mencatat setiap aktiviti mereka di blog ini untuk tatapan mereka suatu hari nanti, iaitu masa ini. Azam saya bertambah kuat untuk anak ketiga, Asiah kerana semasa dilahirkan pada 2009, Blog ini telah wujud.
Namun, seperti biasa, hakikat tak seindah impian. Saya adalah saya, suka berangan tapi sukar untuk menjadikannya kenyataan. Saat ini, menjenguk kembali catatan lepas, banyak peluang merakam kenangan saya lepaskan begitu sahaja. Sekarang bila anak- anak telah meningkat dewasa, ruang untuk merakam kisah mereka tidak begitu luas. Kenyataan pahit yang harus ditelan, selepas melangkah ke sekolah menengah masa bersama anak- anak tidak banyak seperti mereka masih kecil. Terutama anak- anak saya yang dihantar ke sekolah berasrama.
Kalau dulu, kita sentiasa bersama selepas waktu kerja sebab telah menjadi kebiasaan saya walaupun anak- anak dijaga pembantu rumah terutama semasa saya menyambung pengajian separuh masa pasca ijazah di mana malam merupakan masa saya menyiapkan tugasan kuliah, saya akan tetap mengambil mereka tidur bersama walau selewat mana tugasan saya siap. Tambahan pula, saya dan suami tinggal berasingan kerana suami tidak dapat mengikut saya berpindah ke tempat yang lebih dekat dengan kampus pengajian.
Tapi seperti kata pepatah Inggeris, "Better Late Than Never".
Jangan biarkan sejarah berulang. Tiada siapa tahu apa yang akan berlaku di masa depan. Manfaatkan setiap peluang yang ada untuk merakam saat dan detik yang masih di depan mata. Hari ini kita rasakan tiada keperluan untuk mencatat kerana semua peristiwa segar di kotak fikiran. Namun, telah menjadi sunnah manusia, diberikan sifat mudah lupa. Sementara masih ada sisa- sisa cerita yang menghuni ruang memori, akan saya cuba untuk abadikan di ruang ini.
Mungkin suatu hari nanti, akan ada lagi "web archeologist" yang terjumpa tinggalan kenangan di blog ini semasa meneroka alam maya yang luas tanpa batas dan sempadan.
Comments
Post a Comment