bila keputusan diambil

 awal tahun 2007 saya ditawarkan untuk melanjutkan pengajian sarjana secara separuh masa selama dua tahun di UiTM Kampus Kota Samarahan. Kelas dijalankan pada setiap hujung minggu sabtu bermula pukul 2 sehingga pukul 5 dan Ahad dari pukul 8 pagi sehingga pukul 5 petang. Sewaktu sesi orientasi, pihak UiTM awal- awal lagi telah memaklumkan yang selama tempoh dua tahun tersebut para pelajar akan kehilangan kehidupan normal hujung minggu mereka seperti bersiar- siar dengan keluarga atau menghadiri jemputan atau majlis kenduri saudara mara. 

selain dari itu, semua tugasan adalah diwajibkan dalam kumpulan tiga orang. objektifnya adalah untuk mendedahkan pelajar mengenai semangat kerja berkumpulan termasuk kemahiran komunikasi, bekerjasama dan yang sewaktu dengannya. kami pelajar juga diingatkan bahawa ia bukan perkara yang mudah kerana pernah sebelum itu ada kumpulan yang berpecah kerana tiada persefahaman di antara ahlinya. secara peribadi, saya tidak begitu terkesan dengan amaran- amaran awal ini kerana keputusan saya untuk menyambung pengajian bukan suatu yang mudah. lantas apa sahaja yang cabaran yang bakal dihadapi, adalah terlalu kecil. 

namun, hakikatnya semua yang dinyatakan pada peringkat awal itu benar- benar terjadi. ada pelajar yang berhenti separuh jalan, ada rakan baik yang tak bertegur sapa setelah bekerja dalam satu kumpulan malahan saya sendiri mengalami kejadian ditengking oleh ahli kumpulan kerana sebab yang saya sendiri dah tak ingat. 🤣🤣. 

selain dari cabaran komunikasi antara ahli, kemudahan rujukan juga amat terhad. waktu itu telefon belum begitu bijak dan belum ada kemudahan mesej yang ada masih terhad kepada sms sahaja. wifi di rumah pun belum ada. untuk melayari internet kami terpaksa melepak di starbuck kerana hanya di situ ada kemudaham tersebut. waktu itu saya akan berada di starbuck berjam- jam sekadar untuk memuat turun pelbagai artikel rujukan. anak- anak saya yang masih kecil bersama suami akan turut sekali menemani saya sama ada untuk mencari rujukan atau perbincangan kumpulan. 

kelengkapan saya yang paling penting waktu itu adalah laptop yang dibeli suami untuk tujuan saya belajar dan printer kecil mudah alih Fuji Xerox Docuprint 302A yang akan saya bawa di mana sahaja saya berada. Printer tersebutlah yang saya gunakan untuk mencetak setiap tugasan kumpulan dan individu saya selama 2 tahun termasuk laporan projek akhir kumpulan saya. masih ingat saya yang sediakan laporan dalam keadaan lengkap sewaktu saya beberapa hari selepas melahirkan sebelum rakan sekumpulan membantu untuk binding sebelum dihantar kepada Penyelia kami. 



hari ini dengan pelbagai kemudahan teknologi sedia ada seperti telefon yang amat pintar, sistem mesej yang berkesan serta kemudahan wifi di rumah, saya merasakan betapa mudah untuk belajar dan merujuk. kemudahan yang tidak sempat saya  rasai semasa saya belajar. namun, kesukaran tersebut saya jadikan salah satu perangsang untuk menghasilkan yang terbaik. 

bak kata pepatah, alang- alang mandi biar basah. sekali memilih jalan, biar sampai ke penghujung. dan setiap tindakan yang diambil biar hasilnya adalah yang terbaik. 


Comments

Popular posts from this blog

Sajak Dr Lim Swee Tin

Al- Wida