Saya juga belajar

tahun 2006 adalah tahun pembelajaran saya yang seterusnya. Belajar untuk berpisah dengan anak untuk tujuan pendidikan formal. 

Fatihah akan berusia 4 tahun dan sampai masanya untuk menyertai alam pembelajaran bersama rakan sebaya yang lain. tapi sebenarnya Fatihah baru sahaja melepasi usia 3 tahun kerana dia anak penghujung tahun yang sentiasa akan menjadi adik bungsu kepada rakan sebayanya. lantas sebagai ibu bapa yang terlampau melindungi anak sulungnya, dan dengan alasan saya ada pembantu yang menjaga di rumah, Fatihah tidak didaftarkan ke pra sekolah pada awal tahun 2006.

namun begitu, fatihah telah mula diajar mengenal huruf dan angka memang dari kecil lagi. mungkin itu sindrom anak sulung di mana ibu bapa akan mempraktikkan apa sahaja teori yang dibaca atau didengar ke atas anak sulung sebaik sahaja anak tersebut sudah boleh memberi respon terhadap rangsangan luar. 

bagi fatihah saya tidak mengajar abc, 123 dan alif ba ta mengikut susunan. dalam erti kata lain, fatihah mengenal semua huruf jawi dan rumi sebelum mendapat pendidikan formal sekolah tetapi dia tidak boleh membaca a sehingga z mengikut susunan abc. sama juga dengan alif ba ta.   fatihah tidak bermula dengan menghafal huruf a b c tetapi terus bermula dengan bunyi suku kata. 

saya akan membuat potongan suku kata  a e i o u yang digabungkan dengan huruf konsonan dalam jumlah yang banyak. ba be bi bo bu, ca ce ci co cu dan seterusnya. juga potongan untuk n, t, ng, au dan yang sewaktu dengannya.  apabila fatihah telah mengenal bunyi asas dua huruf, saya mula menggabungkan keratan itu dengan keratan lain, ba tu, tu ba, ba ta, ta ba, ba si, na si, secara rambang. alhamdulillah, rangsangan awal sejak dari bayi dalam bentuk visual warna dan bentuk mungkin banyak membantu fatihah bertindak balas tanpa bergantung dengan hafalan mengikut susunan biasa. 

kaedah yang sama saya gunakan untuk asas mukaddam. dengan menggunakan buku iqra fatihah diajar bermula dengan bunyi. namun tidak dinafikan fatihah mengenal huruf al quran dengan mudah melalui cd a ba ta yang dimainkan berulang- ulang semasa fatihah kecil. melalui iqra, saya ajar bunyi asas pada setiap muka surat dan selepas itu saya menunjuk secara rambang pada muka surat tersebut untuk menguji sama ada fatihah mampu mengenal dan menyebut bunyi yang betul. apabila setiap yang ditunjuk secara rambang tersebut dapat dibunyikan dengan betul, fatihah akan beralih ke muka surat seterusnya. untuk iqra juga fatiha tidak belajar setiap muka surat tetapi saya cuma mengajar sehingga dia dapat mengenal semua bunyi yang ditunjuk secara rambang. apabila saya pasti fatihah telah dapat mengenal semua bunyi tersebut saya terus mengajar fatihah membaca huruf yang bersambung dalam bentuk perkataan lengkap seperti qara’a, ‘alama, quri’a. seterusnya belajar membaca surah ringkas yang terdapat dalam muqaddam dan terus mula membaca alquran sebelum fatihah masuk tahun 1.

fatihah mula mendapat pendidikan formal bukan pada januari 2006 tetapi pada bulan Ogos. itupun kerana saya dan suami berpendapat dia harus diberi peluang untuk berinteraksi dengan kanak- kanak sebaya. hal ini kerana kami perasan dengan kesukaran Fatihah untuk berkomunikasi dan memahami arahan berbanding dengan kanak- kanak seusianya. akibatnya dia akan bertindak memukul dengan apa sahaja yang ada di tangannya untuk mendapat perhatian terutama apabila kami tidak memahami apa yang dikatakannya. perbendaharaan katanya juga amat kurang terutama untuk yang melibatkan kata- kata abstrak yang tidak boleh ditunjukkan dengan jarinya. 

cara fatihah belajar membaca bahasa inggeris asas juga amat menarik. pada pertengahan 2006(atau mungkin seawal 2005) saya telah mula bersedia dengan perancangan menyambung pengajian saya dengan meningkatkan kemahiran bahasa inggeris. saya akan membaca surat khabar NST dengan kuat untuk membaiki cara sebutan saya. pada masa yang sama saya akan mengikut setiap bacaan saya dengan jari. 

apabila saya membaca perkataan ringkas seperti to, and, the, of, from dan yang sewaktu dengannya, saya akan mengajak Fatihah menyertai saya. untuk tema To saya akan menekan jari dan suara saya setiap kali saya sampai ke perkataan To. setelah saya membuat perkara itu berulang kali, saya akan cari perkataan To yang ada dalam artikel tersebut secara rambang dan menunjuknya tanpa saya mengeluarkan suara. sebaliknya Fatihah yang akan mengulang- ngulang perkataan tersebut yang menunjukkan bahawa dia telah dapat mengenal bentuk To dan bunyinya. dan dia boleh mencapai tahap itu untuk setiap tema yang saya ajar dalam satu sesi bacaan sahaja. Selepas itu dia boleh bergerak sendiri membaca buku cerita yang mudah walapun belum mengetahui makna yang disebut dan teknik pembelajaran yang digunakan adalah tidak jauh berbeza. melalui pembacaan kuat dan tunjuk secara rambang.  secara kasar saya dapati fatihah belajar bukan dengan cara mengeja tetapi dengan mengenal setiap bentuk sukukata secara individu dan meletakkan bunyi pada bentuk tersebut seperti dalam konsep iqra’.

Satu lagi sumber pembelajaran fatihah di peringkat awal seawal usia setahun adalah melalui komputer mainan. Pada mulanya dia akan dibantu untuk  mengoperasi tapi selepas itu Fatihah boleh bermain sendirian dan belajar setiap bunyi yang ada.  dan komputer ini banyak membantu fatihah menyebut perkataan, mengenal objek, warna dan angka. 

walaupun fatihah telah mengenal huruf dan angka sebelum masuk tadika, namun tadika banyak menyumbang kepada pertumbuhan kemahiran komunikasi dan interaksi Fatihah walaupun berbanding dengan rakan sebaya lain dia masih tetap lambat dalam kemahiran tersebut. Bagi saya, tenaga pengajar di Tadika adalah amat mengkagumkan kerana sabar melayan kerenah anak- anak terutama yang memerlukan perhatian dalam komunikasi seperti Fatihah. 

Fatihah belajar dan saya juga belajar. 

(disclaimer: kemungkinan tahun yang dinyatakan tidak begitu tepat kerana tempoh kejadian yang telah berlalu amat lama tetapi teknik yang digunakan adalah yang sebenarnya)



Comments

Popular posts from this blog

Sajak Dr Lim Swee Tin

Al- Wida