Asiah seorang Sarjana
Tahun 2008 merupakan di antara tahun yang mencabar. saya telah diarahkan untuk berpindah kembali bertugas ke jabatan lama sebelum saya bertugas di Mukah. kalau sebelum ini pejabat saya di Kota Samarahan yang memang dekat dengan kampus, dipindahkan ke Kuching bermakna saya perlu berpindah juga dari rumah sewa di kota Samarahan dan tinggal di rumah sendiri di Kuching. Bermakna saya akan berulang- alik pula setiap hari pada hujung minggu selama 40 minit setiap perjalanan untuk menghadiri kuliah.
Taska baru Fatihah pula berhampiran rumah namun tidaklah terlalu hampir dan memerlukan saya keluar setiap tengahari untuk mengambilnya balik dari sekolah. sebelum ini hanya pembantu saya yang mengambilnya kerana taska Fatihah cuma selang dua pintu dari rumah sewa kami. Dan pada masa ini semua urusan rumah saya perlu selesaikan sendiri kerana suami masih belum dapat berpindah balik ke kuching. Anda fikir saya ada masa untuk pening kepala dan loya- loya? 🤦🏻♀️ lagipun saya sudah mula perlu memikirkan secara serius mengenai projek kajian kes untuk tujuan graduasi.
Waktu itu saya sudah tiga bulan di pejabat baru, sedang bersiap- siap untuk solat zohor bersama rakan sepejabat. memang saya tak boleh lupa waktu mengadu kepada kawan yang saya lapar tetapi telah beberapa hari tiada selera untuk makan. kawan saya tanpa berfikir panjang mengandaikan yang saya mengandung. saya pula dengan yakinnya menafikan sambil tergelak dan menganggap ia andaian yang kelakar.
beberapa hari kemudian saya mengikuti suami menghadiri kursus dan menginap di hotel. bila makanan hotel pun saya tak boleh terima, akhirnya saya mengalah dan mencadangkan kepada suami untuk membuat pemeriksaan kehamilan. keputusannya positif. walaupun keputusannya amat tidak dijangka, namun saya terima dengan hati yang amat gembira dan bersyukur untuk yang kesekian kalinya.
kali ini saya sekali lagi dikesan kandungan gula yang tinggi dan perlu pemantauan rapi. memandangkan saya perlu menghadiri kelas semasa hujung minggu dan tidak dapat ke klinik untuk mengambil bacaan gula, saya beli alat bacaan kandungan gula dan buat pemeriksaan sendiri secara sembunyi semasa kelas dijalankan. semasa mengandung anak pertama saya hanya berulang alik ke pejabat sahaja tapi kali ini saya perlu berulang alik juga untuk menghadiri kelas semasa hujung minggu sejauh 40km setiap perjalanan sehingga kandungan telah sarat. dan kereta yang saya pandu adalah model manual. syukur Allah beri kesihatan sepanjang tempoh tersebut.
semasa trimester terakhir, saya sibuk menyiapkan tugasan projek akhir bersama kumpulan saya untuk memastikan ia siap sepenuhnya untuk pembentangan sebelum saya melahirkan. alhamdulillah semua berjalan lancar seperti yang dirancangkan dan pembentangan akhir dibuat semasa saya baru sahaja 10 hari melahirkan.
Syarifah Asiah Nur Annisaa dilahirkan melalui pembedaham pilihan pada 27 Mac 2009 bersamaan 30 Rabiul Awwal 1430H pada pagi Jumaat. Nama Asiah saya pilih sempena nama sahabat baik saya dan juga sempena nama Asiah isteri Firaun yang terpilih kisahnya untuk disebut dalam AlQuran. Seperti kakak- kakaknya Nur Annisaa adalah nama surah dalam Alquran yang diabadikan pada sebahagian namanya.
Pada kebiasaannya doktor akan membenarkan untuk melalui proses kelahiran secara pembedahan sebanyak tiga kali sahaja. tetapi untuk kes saya, Doktor kami memberi peluang untuk sekali lagi kelahiran sekiranya kami ingin mencuba mendapatkan anak lelaki. Memandangkan Doktor juga ada menjelaskan mengenai keadaan rahim saya selepas tiga pembedahan, suami membuat keputusan untuk berhenti setakat tiga anak sahaja walaupun tidak dianugerahkan anak lelaki. bagi kami, tiga anak perempuan yang telah kami miliki adalah sesuatu yang jauh melangkaui jangkaan kami berdua. seperti meminta satu anugerah tetapi diberi tiga. rasa tidak layak lagi untuk mengharapkan lebih dari itu semata- mata kerana mengharapkan diberi pula anak lelaki.
Alhamdulillah tsumma alhamdulillah.
Asiah adalah penutup kepada cerita pengalaman kelahiran saya kerana saya menjalani BTL sebaik sahaja selamat melahirkan Asiah. Asiah juga adalah penutup kepada perjuangan saya untuk menamatkan pengajian Sarjana saya.
Asiah adalah teman setia saya sepanjang tahun akhir pengajian sarjana saya. dia bersama saya semasa bertungkus lumus menyiapkan kertas projek akhir dari mula sehingga selesai. dia menemani saya menyiapkan semua tugasan saya setiap malam dan menemani saya menghadiri kelas setiap hujung minggu.
Alhamdulillah, saya bangga kerana tersenarai di antara dua orang pelajar batch kami yang menerima anugerah Dekan di sebalik pelbagai kekangan yang saya hadapi. walau bagaimanapun, saya tidak menghadiri majlis konvokesyen kerana ia diadakan di UiTM Shah Alam.
Asiah dibina rumahnya di Syurga kerana berani menentang Firaun yang kejam. Semoga Asiah Nur Annisaa juga tegas sepertinya dan membesar bijaksana kerana 9 bulan bersama mama memenuhi impian menjadi sarjana. In sya Allah.
Comments
Post a Comment