Anugerah
Saya sentíasa merasakan anak sulung adalah "guru" saya dalam menjadi ibu.
Sebagaimana Fatihah belajar setiap perkara pertama dalam hidupnya, saya juga bersamanya belajar banyak perkara pertama dalam hidup saya. Selepas melahirkan anak pertama secara Ceaser, bagi saya tiada lagi perkara yang boleh menakutkan saya. Saya menjadi seorang yang lebih yakin diri. Bagi saya, kalau saya boleh melalui proses melahirkan yang paling saya takuti, saya juga boleh mengatasi apa sahaja cabaran kehidupan yang mendatang.
Tangisan pertama, langkah pertama, hari pertama ke sekolah, kali pertama membenarkan Fatihah mengikuti pasukan catur ke pertandingan, kali pertama melepaskan Fatihah tinggal di asrama dan kali pertama memberi kepercayaan untuk hidup sendiri tanpa pengawasan jarak dekat; semuanya memberi saya dan suami pengalaman baru. Kami membuat keputusan untuk menyahut cabaran melepaskan Fatihah pergi jauh semasa kebanyakan rakan pejabat saya memilih untuk menghantar anak mereka ke IPTA tempatan kerana enggan berjauhan.
Seperti juga perkara lain, pengalaman pertama tidak pernah sunyi dari kesilapan. Dan ia menjadi panduan untuk menangani isu yang sama semasa membesarkan anak- anak yang kemudian. Ia seolah- olah pelan perancangan yang telah diuji keberkesanan melalui ujian pilot terhadap anak sulung. Walaupun sepertinya anak sulung amat beruntung kerana tidak perlu berkongsi perhatian dengan adik- beradik yang lain, namun di bahunya terbeban harapan ibu bapa yang ingin memastikan kejayaan mereka yang pertama.
Namun semakin jauh perjalanan kami sebagai ibu bapa, semakin banyak kami belajar.
Bahawa, akan sampai suatu saat di mana, kami perlu menapak ke belakang dan membiarkan anak- anak melangkah ke depan, untuk mereka bersedia mendepani kehidupan dengan lebih yakin kerana tidak selamanya kami mampu bersama.
Terima kasih anak pertama,
kehadiranmu menghadiahkan pengalaman berharga
kepada setiap ibu bapa.
Comments
Post a Comment