setabah namanya
semasa Fatihah berumur dua bulan, saya berpindah tugas mengikut suami ke Mukah. awal tahun 2003, saya diarahkan berpindah ke Mukah dan memulakan operasi pejabat Perbendaharaan Bahagian di sana bersama 2 orang lagi pegawai.
Saya mengandungkan anak kedua semasa saya di Mukah pada penghujung tahun 2004. Tanpa sebarang tanda kecuali rasa tak selesa seperti dijentik di bahagian tepi perut, saya membuat pemeriksaan sendiri dan didapati positif. tapi yang kelakar bila saya berjumpa doktor untuk pengesahan, doktor gagal mengesan kantung bayi melalui imbasan dan memberitahu adalah mustahil untuk merasa sebarang pergerakan bayi seawal tempoh tersebut yang dianggarkan hanya sekitar 3-4 minggu. Saya dimaklumkan untuk membuat pemeriksaan semula selepas 6 minggu. Saya tidak pasti apakah penjelasan saintifiknya, tapi selepas itu jentikan halus itu tidak lagi dirasai, seolah- olah ingin memaklumkan kehadirannya. ya, kalau tidak diberitahu memang mamanya akan menafikan segala tanda- tanda yang ada. Pengalaman pelik tapi benar.
kehamilan kali ini saya lalui bersama suami. alhamdulillah semuanya mudah. di kawasan kecil seperti Mukah, jarak antara tempat pula amat dekat. pun saya dihantar dan dijemput. tidak seperti sebelum ini, sehingga hampir melahirkan saya masih tetap memandu sendiri ke mana- mana kecuali bila sudah terlalu sarat, saya memohon bantuan abah menghantar dan menjemput ke tempat kerja.
kali ini saya tidak menghadapi masalah gula tinggi, tapi sebaliknya bacaan hemoglobin rendah. rupa-rupanya ini memang masalah yang saya hadapi kerana semasa pemeriksaan kesihatan untuk ibadah haji pada tahun 2017, saya juga diberi rawatan untuk mengatasinya sebelum mendapat surat pelepasan kesihatan.
Semasa pemeriksaan akhir bersama Doktor Pakar Bersalin, beliau menasihatkan untuk menjalani kelahiran melalui pembedahan berdasarkan sejarah kelahiran sebelum ini. Bagi kami, kami serahkan kepada kepakaran doktor kami.
Kali ini saya dibius separuh badan sahaja kerana bukan pembedahan kecemasan. kali pertama saya dibedah dalam keadaan sedar 😫😫. Pakar Bius saya masih doktor yang sama iaitu pakcik sepupu yang mengusik saya cengeng kerana mula menangis semasa dimasukkan ubat bius melalui tulang belakang sehinggalah sepanjang saya dibedah. (sabar jak). Suami pula duduk bersama (sambil mengelap air mata) saya dan tidak lagi berdiri bersama doktor melihat proses pembedahan. hanya anak pertama yang mendapat keistimewaan ayahnya menjadi saksi proses penuh kelahirannya.
15 Julai 2005, bersamaan 8 Jamadil akhir 1426 Hijrah, sekitar 8 pagi kami menyambut kedatangan Syarifah Maryam Insyirah. Alhamdulillah. Walaupun pada mulanya Doktor memaklumkan kemungkinan bayi bersaiz besar, tapi semasa kelahiran berat bayi di bawah normal iaitu 2.4 kg. kerana itu mengikut prosedur Doktor bayi perlu berjumpa dengan ibu bapa memaklumkan perkara tersebut. Kemungkinan besar terdapat silap pengiraan usia kandungan namun alhamdulillah semua selamat. kami bersyukur..
walaupun lahirnya bersaiz kecil, hanya selepas dua bulan Maryam sudah memiliki berat normal bayi seusianya. alhamdulillah ala kullihal.
Maryam Insyirah puteri kedua, tibanya tidak pernah dijangka. moga jiwanya sentiasa tabah dan tenang seperti Siti Maryam bonda Nabi Isa as.
Comments
Post a Comment