Projek Nilam Keluarga


Assalamualaikum wb...

Saya dan suami mempunyai peruntukan khas untuk membeli bahan bacaan sama seperti perbelanjaan rumah yang lain.

Setiap kali menjenguk kedai buku, amat sukar untuk keluar tanpa membeli sebarang buku; sama ada untuk diri sendiri atau anak- anak.

Selalunya buku yang saya dan suami beli dari bahan bacaan yang boleh dibaca berulang kali seperti buku agama, buku kraf atau buku bacaan umum. 

Sebaliknya,  untuk anak- anak pula selalunya adalah buku cerita yang mereka akan baca sekali sahaja. Lepas tu akan dibiarkan berhabuk dan anak- anak akan merengek pula untuk dibelikan buku baru selepas menghabiskan bacaan dalam masa cuma beberapa hari. Rasa macam membazir pulak bila tengok buku- buku yang masih elok disimpan begitu sahaja.

Jadi, sebagai penyelesaiannya, suami lancarkan Projek Nilam Keluarga.

Fatihah dan Maryam ditawarkan hadiah yang mereka pilih sendiri setiap kali mereka mencapai sasaran jumlah buku yang ditetapkan; 30, 50, 70, 100. Nilai hadiah bergantung dengan jumlah buku. Semakin banyak yang dibaca, semakin tinggi nilai hadiah yang boleh dituntut. Kali ini, buku diperolehi dari Pustaka Negeri yang terletak 10 minit memandu dari rumah kami.

Pada mulanya memang saya rasa kelakar, tapi bila dikira- kira semula, boleh diterima akal. Kalau kami beli sendiri buku tersebut, jumlahnya tidak mustahil mencecah ratusan ringgit. Jadi, melalui kempen ini, anak- anak akan membaca buku yang dipinjam dari perpustakaan dan nilai yang sama akan diberi kepada anak- anak dalam bentuk hadiah. Lagipun, boleh selesaikan masalah nak beli permainan anak- anak.

Dalam erti kata lain, anak- anak akan tetap dapat membaca buku dan pada masa yang sama mereka akan dapat memiliki barang yang mereka inginkan. Seperti kata pepatah : To cast two birds with one stone.

Saya rasa idea ni suami dapat bila dia terima pamplet Toy R Us melalui pos dan anak- anak mula merengek nak mintak belikan permainan yang ada di dalamnya.

Kempen baru bermula minggu ini. Kita tengok perkembangannya nanti.

Wallahua'lam.




Comments

Popular posts from this blog

Sajak Dr Lim Swee Tin

Al- Wida