Menantu oh Menantu...
Dua tiga hari lepas, Asiah terjumpa koleksi album gambar sewaktu Fatihah dan Maryam masih bayi. Rasa macam tak percaya yang bayi- bayi kecil saya tu dah nak jadi anak dara dah sekarang. Fatihah dah 11 tahun dan Maryam pula 8 tahun. Rasanya, esok lusa tiba- tiba je terima menantu...
Petang semalam, tanpa sebarang perancangan awal saya berbual dengan Fatihah mengenai Hadith Nabi SAW yang menyentuh mengenai 4 ciri yang perlu dipertimbangkan semasa memilih pasangan hidup.
Mungkin rasanya terlalu awal untuk perkara tu sekarang. Tapi saya rasa, sesi pengenalan perlu dibuat sekarang memandangkan tahap kematangan remaja sekarang memang jauh lebih awal berbanding dengan remaja zaman saya dulu. Pendirian saya, lebih mudah untuk mencegah dari mengubati.
Sebelum perasaan ingin disayangi oleh pihak berlawan jenis mula menyusup, baik saya kawal dulu emosinya dengan hadith tersebut. Dengan pengaruh media yang berada di mana- mana, amat mustahil untuk ibu bapa mengawal anak- anak dalam tempoh yang lama. Telefon bimbit, internet, facebook, semuanya merupakan tajuk hangat dalam kehidupan mereka. Tanpa disedari, tanpa persediaan awal, kedudukan kita sebagai orang yang paling rapat mungkin akan jatuh ke nombor yang kesekian dalam senarai keutamaan anak- anak.
'Ala kullihal, saya melihat sesi pengenalan saya untuk tajuk itu mendapat sambutan yang baik. Fatihah bertanya mengenai makna- makna 4 ciri tersebut; rupa, nasab keturunan, harta dan agama. Saya cuma menerangkan dengan contoh secara ringkas sahaja. Nanti- nanti dia pasti akan mendapat pendedahan yang lebih lanjut lagi kerana tak dapat dinafikan, hadith ni memang di antara hadith yang kerap bermain di bibir dan telinga kita.
Wallahu a'lam....
Comments
Post a Comment