Di Kaki Mimbar


Malam kelmarin saya telah mula mengisi masa lapang saya dengan membaca antologi cerpen Zaharah Nawawi. Malam semalam pula saya menamatkan antologi cerpen terbaru Ghazali Lateh yang bertajuk Di Kaki Mimbar terbitan Cerdik Publications Sdn Bhd pada tahun 2007. 
Berdasarkan perbandingan kedua-dua buku tersebut, saya lebih menikmati pembacaan hasil karya Ghazali Lateh. Hal ini mungkin kerana gaya penulisannya yang lebih santai berbanding dengan gaya Zaharah Nawawi yang saya rasa lebih berat dan memerlukan usaha lebih untuk memahami mesej  yang ingin disampaikan melalui penulisannya.
Kumpulan cerpen Di Kaki Mimbar mengandungi 20 cerpen yang menyentuh pelbagai sudut masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Dari segi tema, Ghazali Lateh berjaya menarik minat saya untuk menelusuri penceritaannya. Sebagai contoh, cerpen Di Kaki Mimbar sendiri membincangkan kehendak seorang bapa ke atas anaknya untuk menjadi seorang Imam manakala cerpen Mama, Papa dan Bunga Plastik pula menjenguk perhubungan harmoni di antara anak remaja pelbagai bangsa dalam menghadapi ancaman pencemaran alam sekitar.
Setelah membaca kesemua cerpen yang terdapat di dalam kumpulan cerpen tersebut saya mendapati sekurang-kurangya hampir separuh daripada cerpen mengambil dunia pendidikan sebagai latar cerita.  Cerpen Budi Berganti mengisahkan seorang pelajar yang membalas budi 
gurunya yang telah menyara pembelajarannya sehingga berjaya di dalam kehidupannya dengan mendermakan buah pinggangnya semasa guru tersebut memerlukan penderma. Kasut Kelopak Jantung juga memanipulasikan tema yang sama di mana sikap seorang guru telah mendorong muridnya yang miskin untuk berusaha bersungguh-sungguh sehingga menjadi seorang peniaga kasut yang berjaya. Namun pada masa yang sama pengalaman bersama murid tersebut telah mengubah sikap guru tersebut dari seorang guru yang tegas membuta-tuli kepada seorang pendidik yang lebih perihatin terhadap masalah muridnya.
Walaupun semua cerpen merupakan cerpen yang menarik namun saya amat terkesan dengan cerpen Set Antik Emak. Cerpen ini membicarakan sikap ibu bapa yang lebih mengutamakan perabot mahal sehingga mengekang anak-anak untuk bergerak dengan selesa di rumah. Malahan lebih malang lagi sehingga sanggup mendenda anak dengan berat apabila perabot mahalnya tercalar.
Secara ringkasnya, kumpulan cerpen ini memang sesuai dibaca oleh semua golongan pembaca kerana temanya yang mudah dan penggunaan gaya bahasa yang mudah. Justeru, saya mencadangkan kumpulan cerpen ini dimasukkan ke dalam senarai bacaan anda dan pastinya anda tidak akan kecewa. 
Selamat membaca...

Comments

Popular posts from this blog

Koleksi Buku Motivasi HM Tuah Iskandar (Terpakai)

Sajak Dr Lim Swee Tin