Posts

Perjalanan lautan

6 Ramadhan 1433H. Assalamualaikum wb... Di gigi air antara pasir dan ombak ada penghalang  untuk aku terus berjalan seandainya enggan berubah dan terus melangkah pasti akan lemas tanpa berjaya menatap biru lautan sebaliknya kalau benar ingin menyeberang atau belayar di laut dalam binalah bahtera yang kukuh  untuk menjelajah lautan kerana penghujung daratan bukanlah penamat kehidupan tapi permulaan perjalanan lautan yang amat panjang. Nota:  Rentetan pembacaan buku tulisan Prof Dr Hamka, Pandangan Hidup Muslim, Pustaka Dini Sdn Bhd (2004) ms 125 "Titik penghabisan daripada ilmu ialah permulaan dari falsafah, dan akhir kesudahan daripada falsafah, hanya dapat diselesaikan dengan agama"

Tadarrus- Ihya Ramadhan

5 Ramadhan 1433H. Assalamualaikum wb.... Zaman budak- budak dulu, kalau bulan Ramadhan, saya dan abang selalu menyertai kumpulan tadarrus di surau. Seronok, sebab boleh baca guna mikrofon. Kita akan duduk ramai- ramai dalam bulatan, bergilir baca ayat al- Qur'an. Bila dah nak selesai giliran, ketua akan bagi isyarat berhenti dengan menyambung bacaan yang sedang kita baca.  Sekarang, bila dah besar terutama bila dah berkeluarga, tak ada peluang dah. Solat Terawih pun berjemaah dengan keluarga sahaja di rumah. Tapi itu tak boleh dijadikan alasan untuk tidak m enyertai pesta Ramadhan.  Seperti tahun- tahun yang lepas, saya berazam nak khatam Al-Quran dalam masa sebulan tu. Ini bermakna saya sekurang- kurangnya kena tamatkan satu juzuk setiap hari. Bukanlah mustahil tetapi bukan juga perkara yang mudah. Waktu mula- mula memang bersemangat tetapi selalunya bila dah ketinggalan sebab uzur, mulalah hilang semangat. Dan setakat ni, memang tak pernah lagi saya berjaya...

Salam Ramadhan

Assalamualaikum wb... Hari ini 4 Ramadhan 1433 Hijriyyah. Secara umumnya saya amat teruja untuk menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadhan kali ini. Terutama bila mendengar dan membaca pelbagai kelebihan puasa pada status2 FB rakan. Saya dan suami juga berazam nak buat solat terawih penuh sepanjang Ramadhan. Kalau tak larat, sekurang2nya nak buat 8 rakaat dan witir. Namun hakikatnya, perlaksanaan tak semudah yang dirancangkan. Hari pertama dan kedua Ramadhan adalah hari cuti hujung minggu. Fatihah dan Maryam nampak terganggu walaupun ini bukan kali pertama mereka berpuasa. Tahun lepas tahun pertama Maryam menamatkan puasa penuh sebulan dan Fatihah dah mula puasa penuh sebulan sejak Tahun 1. Hujung minggu, tidak bersekolah dan sepanjang dua hari tak ada aktiviti sebab suami ada kelas. Maryam dan Fatihah merungut lapar. Saya pujuk Maryam untuk tidur bila dia mula rasa lapar. Fatihah pula cari alasan nak ke rumah sepupunya. Bila dilarang, dia boleh menangis pula macam b...

Manusia dan Kemanusiaan

Kian jauh mengembara kian lelah memikul beban untuk memahami  ketabahan insan saat ibu merenung kejauhan sempatkah anakku menatap fajar pagi semalam di suatu sudut gelap runtuhan batu dan titisan darah tidak lagi bisa bercerita saat anak kecil meraung kelaparan di dadanya ada bara dendam entah bila akan padam dan deruan angin kering berbaur debu harapan sampai bila menjadi teman setia pada hati yang telah lama luka adakah akan sembuh atau selamanya akan parah bukti keinsanan telah lama lenyap dari kehidupan manusia dan kemanusiaan.

Karnival Sukan

Assalamualaikum wb.. Panggilan dari rumah. Fatihah nak membuka gerai semasa karnival sukan di sekolahnya Sabtu ini. Mulanya saya malas nak layan sebab suami ada kelas hujung minggu ni. Kalau ikut serta, bermakna saya yang akan sepenuhnya mengendali gerai tu. Tapi suara Fatihah macam beria- ia benar. Rasa kasihan pulak kalau tak bagi sokongan. Katanya nak buka gerai makanan. Aduh.... Ni yang lemah ni. Dia ingat mama dia ni chef ke apa? ... :). Takkan nak jual keropok kat sekolah. Junk Food tuuu.... Tak elok untuk kanak- kanak. Kalau ibu bapa diorang sendiri beli kat kedai tak apa... Jgn pula saya yang jadi pembekalnya di sekolah. Dah tu, nak jual apa? Takkan nak pasang gerai kosong jer. Hmmm.... Tengoklah nanti macamana. Saya dah ada idea sikit2, tapi kalau menjadi nanti saya buat entri. Kalau tak menjadi, biarlah ia menjadi rahsia... :)

Buah Fikir

Usah dipersia buah fikir yang meranum di rimba takulan nun jauh di pergunungan sepi sesekali  terlihat kelibat haiwan liar  mengintai menguja manis dan harum entah bagaimana enak rasanya andai jiwamu lemah tiada pernah ditempa uji mengasak kukuhnya pasak saat ribut  taufan  menghenyak pastinya sesat di dalam terangnya mentari tapi sebaliknya jangan pernah mengaku alah sebelum melangkah kerana mana mungkin menebak dalamnya lubuk kalau selamanya hanya gegak bertempik di tepian kali.

Rahsia Alam

Di ruang yang asing detik waktu bagaikan malu menghitung ruang yang panjang berbisik pada udara kenapa alam terlalu berahsia setiap helaian daun  dan kelopak yang berkembang adalah kunci kepada misteri yang lama tersembunyi dari pandang seorang insan mungkin suatu ketika bila bulan bersuara dan bintang bercerita bumi yang terhampar dan laut yang mendampar bakal bersatu menjadi saksi tiada hadir sebiji benih  di dalam bumi yang tidak berzikir pada Penciptanya Yang Maha Tinggi. dan aku di sini tetap setia bersama janji dari azali.