Lovers and Stranger


Sekarang saya sedang membaca buku ini yang ditulis oleh Robert Raymer. Penulis buku kumpulan cerpen bertajuk "Lovers and Strangers" ini merupakan seorang pensyarah Penulisan Kreatif di UNIMAS. Beliau berasal dari Amerika Syarikat dan telah menetap di Malaysia lebih dari 20 tahun.

Sebenarnya saya baru sahaja mengenal penulis ini apabila mengetahui blog Robert Raymer, borneoexpatwriter.blogspot.com dari newsletter MPH Quill. Melalui blog tersebut beliau telah mempromosi kumpulan beliau yang menggamit perhatian saya untuk segera mencari buku beliau di MPH Spring.

Membaca kumpulan cerpen Robert Raymer ternyata tidak mengecewakan. Setelah menikmati 15 dari 17 cerpen saya mendapati cara penulisan beliau begitu menarik terutama kerana kebanyakan latar cerita beliau menggunakan sudut pandang beliau sendiri sebagai seorang ekspatriat terhadap kebudayaan dan cara hidup rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Menerima hakikat bahawa Melayu merupakan kaum majoriti di Malaysia dan Islam pula merupakan ugama rasmi, Robert Raymer berjaya menyelami cara hidup dan konsep pengamalan Islam di Malaysia. Cara penulisan beliau menyerlah penghormatan beliau kepada hakikat tersebut. Hal ini terserlah melalui cerpen "Mat Salleh" yang mengisahkan situasi yang dihadapi oleh seorang rakyat Amerika Syarikat yang mengahwini wanita Melayu semasa beliau pertama kali mengikut isterinya balik ke Malaysia. Penulis ternyata peka dengan adat resam Melayu dan isu ini diketengahkan dengan pendekatan yang amat menyentuh perasaan saya.

Cerpen "The Neighbours" pula mengetengahkan senario masyarakat Malaysia berbilang kaum. Secara bijak penulis menyindir lumrah sesetengah masyarakat yang gemar bercerita mengenai orang lain. Keadaan ini ditimbulkan dengan bijak tanpa beliau prejudis kepada kaum tertentu. Hal ini boleh dikatakan berbeza dengan sesetengah penulis yang pernah menyentuh isu serupa tetapi cenderung untuk memihak kepada golongan tertentu.

Secara keseluruhan kumpulan cerpen Robert Raymer berjaya mengangkat suasana harmoni pelbagai kaum di Malaysia dengan sentuhan yang amat menarik dan bersahaja. Hal ini mungkin kerana beliau melihat keadaan tersebut secara adil sebagai seorang dari budaya dan latar belakang yang berbeza.

Saya mengkategori kan buku ini sebagai "mesti baca". Untuk sesiapa yang berminat untuk menikmati keharmonian kehidupan di Malaysia, buku ini boleh didapati di MPH, Spring.


Comments

Popular posts from this blog

Koleksi Buku Motivasi HM Tuah Iskandar (Terpakai)

Sajak Dr Lim Swee Tin