Di Ruang Itu



Assalamualaikum wb.

Di hati saya, lapangan terbang adalah suatu tempat yang penuh emosi.

Lapangan terbang adalah lambang sama ada pertemuan atau perpisahan. Saat berjumpa, kita selalunya gembira, walaupun tidak semestinya. Begitu jua bila berpisah. Ada yang gembira bila berpisah, namun biasanya perpisahan hanya menjanjikan kesedihan.

Perasaan dan pendapat ini  telah lama saya rasai. Saya melanjutkan persekolahan di Semenanjung dan lapangan terbang merupakan gerbang utama untuk saya berjumpa atau berpisah dengan keluarga tercinta. Berjumpa hanya untuk beberapa ketika tetapi sekiranya berpisah, untuk satu jangka masa yang lama.

Emosi saya yang berkaitan dengan lapangan terbang berterusan sehingga ke zaman universiti dan dilanjuti sehingga ke kehidupan bekerja. Dengan kawasan geografi yang luas di negeri saya, perjalanan udara merupakan pilihan pengangkutan yang paling cepat. Urusan rasmi di luar stesen kebanyakannya memerlukan saya berada di lapangan terbang.

Sementara menunggu penerbangan atau menunggu kenderaan menjemput pulang, saya selalu memerhati tingkah laku dan emosi yang terserlah di pintu ketibaan atau pintu bertolak. Itu lah titik emosi yang paling jelas yang dapat saya rasai.

Anak- anak kecil yang memeluk ibu/ bapa yang keluar melintasi pintu itu. Jelas wajah ceria mereka. Saat bertemu, ada yang tangan mereka terus tergenggam erat bagai tidak mahu lagi dilepaskan. Rasa rindu yang terlerai jelas bermain di wajah.

Sebenarnya itu hanya andaian saya sahaja kerana tidak pernah diluahkan apakah hubungan di antara orang yang menghantar dan yang dihantar bertolak atau orang yang menunggu dan yang ditunggu. Malahan ada ketika, saya boleh menghasilkan satu plot drama yang lengkap dalam minda saya berdasarkan adegan- adegan di ruang itu. Ada kalanya, cerita itu saya reka sehingga perjalanan kehidupan mereka di destinasi seterusnya.

Saya selalunya akan buat jalan cerita sendiri berdasarkan usia para pemain watak dan juga reaksi wajah dan bahasa badan mereka. Sebab itu saya merasakan ruang menunggu di lapangan terbang menyimpan pelbagai misteri dan cerita yang hanya diketahui oleh si pemain watak sahaja.

Telah lama saya ingin meninggalkan terus dunia khayalan saya yang muncul setiap kali saya berada di lapangan terbang. Namun semalam dalam perjalanan balik dari menjalankan urusan rasmi di luar daerah, emosi saya kembali diusik.

Semasa melalui ruang dari pintu pesawat ke bangunan utama lapangan terbang, saya terpandang sebuah ambulan berhampiran dengan pesawat yang baru saya naiki. Menurut rakan perjalanan, kalau siren ambulan berbunyi, maknanya mereka menunggu pesakit tetapi kalau sebaliknya, maka sebaliknya lah pula yang ditunggu. Ambulan itu hanya menunggu dengan senyap. Sebuah kenderaan di sebelah ambulan turut menunggu. Saya menunggu sebentar tetapi tidak berkesempatan untuk melihat apa- apa.

Namun, dari sketsa itu saya boleh menyambung cebisan- cebisan kisah yang lompong untuk saya reka penghujungnya. 

Berjalan keluar untuk menunggu suami menjemput, tumpuan saya beralih ke sebuah keluarga di tepi kenderaan mereka. Seorang wanita berusia sekitar 60 an mendakap seorang wanita muda. Pemandangan biasa di lapangan terbang. Namun, emosi saya terusik apabila melihat wanita muda itu menangis teresak- esak bagai berat untuk melepaskan wanita yang lebih berusia itu pergi. Selepas seketika, masing- masing melambaikan tangan sehingga pintu utama lapangan terbang tertutup dan mereka lenyap dari pandangan masing2.

Di ruang itu
ada cerita
ada rahsia
yang mengusik jiwa

di ruang itu
dua dunia bertemu
bercantum menjadi satu
 mencipta ruang yang baru

di ruang itu
serpihan jiwa berserak
usah dikutip kembali
biar ia menjadi saksi
babak yang baru bermula

di ruang itu
aku adalah pemerhati
kepada kisahku sendiri.




Comments

Popular posts from this blog

Sajak Dr Lim Swee Tin

Al- Wida