Pesan Bonda (Selamat Hari Guru)

Pesan Bonda

Anak- anak Bonda,

telah jauh perjalanan kalian,
dari merangkak,
kemudian bertatih,
berdiri,
berjalan
dan berlari,
menjengah usia remaja
kini kalian bersama bonda.

Anak- anak Bonda,

ada ketika
Bonda menegur,
bukan kerana benci.
Berdendam? Tidak sekali.


Anak- anak Bonda,

daerah ini tapak semaian
tunas benih insani
yang pasti akan ditinggal pergi
saat dewasa menjenguk diri

Lantas,
anak- anak Bonda,
Pesan Bonda sematkan erat
di lubuk jiwa,

siapkan minda
kukuhkan iman
tabahkan hati

Di sini andai kalian rasa diuji
hakikatnya
kehidupan di luar sana
bakal lebih menguji

Ingatlah anak- anak Bonda,

suatu hari nanti adalah pasti
kaki kalian melangkah pergi
untuk berjuang di belantara diri
melayar bahtera di samudera realiti
terbang bebas di langit tinggi

Pergilah ke mana sahaja ceruk dunia
Rekalah menara yang paling ternama
Atau menyelidik perkara yang bermanfaat kepada semua
Atau mungkin mendidik generasi muda warisan negara

Kuncinya tetap sama

Ilmu itu pelita diri
Iman itu kompas peribadi
Akhlak itu hiasan hati
Tabahmu tunjang kukuh
Saat diuji


Anak- anak Bonda,

andai Guru Pencetus Kreativiti
Penjana Inovasi
Kecemerlangan kalian di dunia dan akhirat
Adalah manifestasi kejayaan kami.




16.05.2014
(Sempena Hari Guru 2014)

Nota: Dihasilkan khas untuk dideklamasikan oleh Pengetua sekolah lama saya dahulu
sempena Program Sekolah bersama Alumni. Dimaklumkan pada pagi semalam untuk diserahkan kepada
Pendeklamator pada hari ini. Majlis akan berlangsung pada malam ini.

Pada mulanya, sukar nak mula memandangkan dah lama "berehat". Namun, setelah "dilembutkan" sedikit minda malam tadi, berjaya bermula separuh dan pagi tadi dimurnikan lagi separuh akhirnya.

Alhamdulillah. Walau belum pasti sama ada akan diterima, sajak ini tetap akan diabadikan di sini sebagai kenangan Hari Guru 2014.










Comments

Popular posts from this blog

Sajak Dr Lim Swee Tin

Al- Wida