Posts

Showing posts from September, 2013

Mencari Redha

Image
Pada nadi dan darah Mengalir doa cekal  dan semangat yang merah Mengorak tabah di heret langkah  Menggema azam di hela nafas Sesungguh solatku, ibadahku, hidupku dan matiku Hanya kerana  Mencari Redhamu semata.

Setia selamanya

Senja itu kau kembali ke sini Menekuni sajak usang Sekian lama terlantar sunyi Di birai kecewa Langsir kenangan yang kian pudar Biarkan ia di situ Aku dan dia Setia selamanya

Bulan tanpa cahaya

Semalam kau berbisik di telingaku Telah berputik mawar merah Saat musim bunga menyapa Dan resah pun bertapa Bila irama mesra kian menjauh Malam yang panjang Bulannya tidak lagi bercahaya

Sajak seorang pejuang

Dan dendam yang membarah adalah igau tanpa kesudahan Cerita duka seorang pejuang Tanpa kubur dan nisan Esok aku khabarkan Datukmu bara semangatnya  Tak pernah padam.

Bicara buat gadis melanau

Saat kau genggam bara Di jiwa mengalir sungai yang dingin Dan igau malammu Tidak lagi bertandang

Taman syurga

Biarkan kenangan bertandang Membawa bersama sejambak ceria Dan segeluk air mata Di anjung semalam Wahai kenangan Tidak pernah aku menyesal Memikul berkas kecewa Untuk dipersembah  Di persada kehidupan Kerna ikatan tabah Yang dirangkai setia Adalah lantai yang kukuh Untuk istana bahagia Yang tersergam hari ini Di taman syurga dunia.

Manusia

Pada manual ciptanya telah ditulis hauskan darah melimpah lantas saat penciptaannya  telah ditanya malaikat kepada Pencipta kenapa dicipta manusia yang cintakan tumpahan darah memang Pencipta Maha Mengetahui sifat makhlukNya "Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui". Dan diciptakan Adam as berbekalkan ilmu melimpah ruah maka terangkatlah martabat manusia melangkaui malaikat yang setia hanya seandainya insan masih tetap mendakap ilmu di dada dan jiwa.

Hantu!!!

Hantu!!! Lari!!! Apa yang ditakutkan? Mati?! Bukankah ke sana kita kan pergi, Walau ke mana kita nak lari... Yang kekal hanyalah Pencipta  Yang Maha Tinggi...

Kembara yang panjang

Image
Esok adalah perjalanan  yang maha panjang Bagi seorang pengembara Yang singgah sebentar di sini Mengumpul tenaga Dan sedikit bekal Agar cukup bersedia Saat menyambung semula Kembara yang tak pasti Noktah kesudahan Bila dan di mana Akan ada titik perhentian.

Langkah yang sumbang

Image
Langkah yang sumbang Usah berpencak di sini Pahlawan petang Tiada kami ingin Darah dan sanggah Hanya kami rindu harumnya  mawar di taman bonda Anak- anak kami Biarkan mereka bercanda mesra Tanpa sempadan bahasa dan bangsa Darah kami yang merah Biarkan hanya mengalur  Di jiwa dan raga setia Bukan melimpah di jalan raya.

Kota Sakinah

Image
Kemaskini (10.09.13):     Meniti perjalanan ini dalam debar dan sedar kita bina titik tujuan dari lorong yang bersimpang saat mata hati bergeser percikan api mula membakar dan ruang sedar pun bergetar lantas getar mengundang debar dari arah mula yang berbeza peta hidup kita bersua pada garisan yang sama usah gentar mencarta rasa kerna di setiap benua akan bersama kita bangunkan Kota sakinah mawaddah wa rahmah. (Asal) Meniti perjalanan ini Dalam debar dan sedar Kita bina titik tujuan Dari lorong yang bersimpang Saat mata hati bergeser Percikan api membakar Ruang sedar pun bergetar Dan debar  pun menggapai Dan getar mengundang debar Dari arah mula yang berbeza Peta hidup kita bersua Pada garisan yang sama usah gentar mencarta rasa Kerna di setiap benua Akan bersama kita bangunkan  Kota setia. sakinah mawaddah wa rahmah.

Raikan ujian

Image
(Kemaskini pada 10.09.2013) Sebenarnya kesukaran dicipta untuk kita lebih mengerti makna usaha, pengorbanan dan persahabatan. Raikanlah ujian, kerana ia menganjak nilai diri ke tahap yang lebih tinggi. “ Janganlah kita mengaku beriman sedangkan kita belum diuji”. (Asal) Sebenarnya kesukaran dicipta untuk kita lebih mengerti makna usaha makna pengorbanan makna persahabatan raikan ujian kerana ia menganjak nilai diri ke tahap yang lebih tinggi Janganlah kita mengaku beriman sedangkan kita belum diuji.

Mari menulis

Image
Bukan mudah nak mengatur kata. Di dalam minda memang macam- macam yang ada. Ada drama. Ada jenaka. Ada cerita. Tapi, bila nak diluah dalam tulisan, semuanya lari bercempera.  Kata orang, golongan penulis memiliki kelebihan berfikir secara berstruktur. Itulah sebabnya golongan ini mampu melahirkan pemikirannya mereka dengan mudah. Pemikiran mereka telah disusun dengan teratur di dalam minda. Dan apabila mengalir keluar, ia mengalir dengan mudah. Oleh itu, jangan pandang sebelah mata dengan aktiviti menulis. Ia merupakan salah satu dari kemahiran yang boleh dibanggakan sekiranya dimiliki dan tidak rugi untuk belajar sekiranya tiada. Memanglah gambar memberi seribu makna, namun peranan kata- kata dalam bentuk huruf yang boleh dibaca juga tidak boleh diketepikan. Lagipun, penulisan merupakan salah satu perakam sejarah yang mempunyai peranan tersendiri yang tidak dapat diganti oleh walau beribu gambar. Jadi....  Mari kita biasakan menulis....

Rintihan marhaen

Image
Pagi ini cahaya mentari berbeza hangatnya membahang hingga ke jiwa saat janji mula dikota rantai kuasa dipintal menjadi denda kerana enggan menyerah pada agenda dan propaganda yang dijaja memang di sini  ada yang berkuasa ada yang disiksa ada yang tak endah apa- apa namun jangan lupa wahai saudara setiap yang ditanam akan dituai di daerah sana.

Sebutir debu tanpa nama

Image
(Dikemaskini pada 10.09.2013) Berdiri di ruang ini segalanya adalah rahmat yang tidak ternilai walau bergunung harta menjadi galang sekali nafas kuhela terlalu amat berharga namun kerap aku terlupa akan lautan nikmatNya sehingga semuanya kuanggap milik selamanya berdiri di ruang ini betapa aku terasa kebesaranNya dan rupanya aku hanya sebutir debu tiada bernama... (Asal) Berdiri di ruang ini Segalanya adalah rahmat Yang tidak ternilai Walau selautan harta Menjadi ganti nya Sekali nafas kuhela Terlalu amat berharga Namun amat kerap aku terlupa Akan nikmatNya Berdiri di ruang ini Betapa aku terasa KebesaranNya Dan aku hanya Sebutir debu tiada bernama...